Isnin, 15 Jun 2009

ISU HUKUMAN ROTAN DI SEKOLAH

Rotan = Disiplin?

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

ISU hukuman rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan langkah terbaik mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar peraturan.

Walaupun dulu ramai anggota masyarakat yang tidak menyokong hukuman ini dan lebih memilih sesi kaunseling, kini masyarakat merasakan ia jalan penyelesaian terbaik.

Jika mengimbau persekolahan zaman 60-an dan 70-an, jika guru merotan pelajar yang melakukan kesalahan, ia perkara biasa dan mendapat sokongan ibu bapa.

Murid atau pelajar sedar jika dirotan, ia adalah kerana kesalahan sendiri dan mereka tidak berani mengadu kepada ibu bapa kerana aduan itu tidak dilayan, sebaliknya mereka mungkin dirotan lagi.

Memang sakit apabila dirotan, tetapi kebanyakan pelajar yang pernah menerima hukuman itu, kini menjadi manusia berguna, memegang jawatan tinggi dan disegani masyarakat.

Malah, ada pelajar yang pernah dirotan berterima kasih kepada guru kerana mengambil tindakan berkenaan.

Tetapi, suasana kini berbeza kerana hukuman merotan dianggap ketinggalan zaman dan guru yang melakukan perbuatan itu mungkin menerima 'hukuman' ibu bapa.

Ada ibu bapa mengambil tindakan undang-undang, membuat laporan polis atau memukul guru yang merotan anak mereka.

Disebabkan takut dikenakan tindakan undang-undang, rotan hanya disimpan dalam laci meja dan akibatnya, pelajar semakin liar dan tidak terkawal.

Saban hari, ada saja kes membabitkan disiplin pelajar dilaporkan malah polis terpaksa campur tangan.

Rentetan daripada perkembangan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Pejabat Peguam Negara membuat keputusan segera berhubung pelaksanaan hukuman merotan pelajar sekolah.

Beliau berpendapat sudah sampai masanya satu tindakan drastik dilakukan bagi menangani masalah disiplin pelajar sekolah.

"Peraturan sekarang yang melarang guru menyentuh pelajar menjadi kekangan utama melaksanakan hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar.

"Justeru, bagi mengelak ibu bapa menggunakan saluran undang-undang terhadap guru yang merotan anak mereka, keputusan itu sangat diperlukan," katanya.

Katanya, pelajar tidak dihukum tanpa sebab dan ibu bapa perlu memahami guru merotan anak mereka bertujuan membendung mereka mengulangi kesalahan.

Dari segi kuasa merotan, hanya pengetua dan guru besar boleh melakukan, tetapi mereka boleh menurunkan kuasa itu kepada guru lain.

Bagaimanapun, hukuman rotan hanya boleh dilakukan selepas amaran bertulis dikeluarkan kepada pelajar.

Hukuman itu tidak boleh dilakukan di tempat terbuka, kesalahannya itu mesti direkodkan dan ada saksi ketika hukuman merotan.

Hakikatnya, boleh atau tidak hukuman merotan ini?

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Azreena Wan Jaafar, berkata kesesuaian hukuman rotan itu bergantung kepada usia anak atau pelajar.

Dari segi psikologi, bagi pelajar sekolah hukuman rotan pelajar adalah langkah terakhir, tetapi bagi murid sekolah rendah, ia tidak sesuai.

"Jika hukuman rotan dikenakan terhadap murid sekolah rendah, ia akan meninggalkan kesan negatif kepada mereka.

"Parut di rotan pasti boleh hilang, tetapi parut di hati mungkin menjadi dendam," katanya.

Azreena tidak menolak kemungkinan, tindakan itu mengakibatkan murid murung dan tidak mahu ke sekolah kerana takut dirotan.

"Apa yang paling membimbangkan, mereka juga mungkin terdorong untuk menjadikan rotan itu sebagai hukuman kepada sesiapa yang mereka rasakan melakukan kesalahan.

"Pada usia sekolah rendah, otak mereka cepat menangkap apa yang dilakukan orang dewasa.

"Ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat terhadap tumbesaran mereka," katanya.

Bagi pelajar di sekolah menengah, mereka mungkin boleh menerima hukuman berkenaan.

"Namun, kita juga perlu melihat, siapa yang merotan dan di mana ia dilakukan.

"Jika dilakukan pengetua atau guru disiplin dan dilaksanakan di tempat tertutup, ia tiada masalah.

"Bagaimanapun, jika yang merotan itu guru biasa dan dilakukan di khalayak ramai, mereka mungkin berdendam," katanya.

Emosi guru adakalanya tidak stabil dan tertekan. Jadi, jika guru biasa yang menjatuhkan hukuman, Azreena khuatir mereka akan memukul pelajar sekuat hati bagi menghilangkan tekanan itu.

Tetapi, itu tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak boleh dihukum. Elak memukul di bahagian sensitif seperti muka, perut atau kepala.

Pukul pula jangan terlalu kuat, cukup sekadar memberi 'pengajaran dan peringatan' supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud).

"Jika mahu memukul, lebih baik ibu bapa atau guru memukul anak dengan tangan kerana mereka dapat merasakan sendiri kesakitan dialami si anak," katanya.

Sementara itu, bapa kepada empat orang anak lelaki, Mohd Zaidi Syukri, 48, berkata beliau tidak ada masalah apabila anaknya dirotan kerana melakukan kesalahan.

"Jika hukuman itu boleh menyedarkan anak, kita patut menyokong, bukan membela anak yang melakukan kesalahan.

"Jika ibu bapa selalu membela, anak lebih berani melakukan kesalahan dan mungkin menconteng arang di muka kita nanti," katanya.

Menurut Zaidi, hukuman rotan bukanlah hukuman yang kejam kerana kesakitan dek rotan itu akan hilang juga.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan