Jumaat, 12 Jun 2009

PEMBAKARAN TERBUKA DI SABAH DAN SARAWAK DIKATAKAN PUNCA JEREBU

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Jerebu yang melanda negara ketika ini dipercayai berpunca daripada kegiatan pembakaran terbuka yang dikesan di Sabah dan Sarawak.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam dalam kenyataannya menyebut, Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mengesan 23 titik panas di Malaysia iaitu 16 titik panas di Sarawak dan tujuh di Sabah.

Menurut kenyataan itu, titik panas berkenaan menunjukkan berlakunya kebakaran yang menyumbang kepada masalah jerebu di se-luruh negara terutama ketika cuaca panas dan kering pada masa ini.

Pelepasan asap kenderaan, habuk oleh aktiviti kerja tanah dan industri juga menyumbang kepada fenomena jerebu di seluruh negara.

Sehubungan itu, JAS mempertingkatkan rondaan udara dan darat bagi tujuan pemantauan, pencegahan dan pengesanan awal aktiviti pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar.

"Penguatkuasaan bagi mengawal pelepasan asap dan gas daripada kenderaan bermotor, pelepasan asap dan habuk daripada industri dipertingkatkan bagi mengawal masalah pencemaran udara dalam negara.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan menyelenggara kenderaan masing-masing supaya dapat mengurangkan pelepasan asap hitam, manakala pihak industri perlu memastikan pelepasan benda asing daripada proses pengeluaran mematuhi piawaian peraturan alam sekitar ditetapkan," katanya.

Kelmarin, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, berkata status kualiti udara di kebanyakan kawasan seluruh negara pada masa ini sedikit merosot dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan adalah antara 51 hingga 100 menjadikan keadaan berjerebu.

Jabatan Meteorologi pada Isnin lalu turut melaporkan jarak penglihatan di beberapa kawasan Prai dan Bayan Lepas di Pulau Pinang serta Subang, Petaling Jaya, Melaka dan Kuantan merosot antara enam hingga sembilan kilometer.

Jabatan itu turut meramalkan sehingga September ini, negara akan mengalami cuaca panas dan kering semasa Monsun Barat Daya yang menyebabkan pembentukan fenomena El Nino.

Sementara itu, kenyataan itu menyebut, sepanjang tempoh 24 jam lalu, bacaan IPU dari 51 stesen pengawasan kualiti udara Jas yang direkodkan pada jam 11 pagi semalam mencatatkan 17 kawasan berada pada tahap baik dan 32 lagi berada pada tahap sederhana.

Sumber : http://www.bharian.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan