Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
MELALUI gambar kita cepat mengenali seseorang, lebih-lebih lagi dari sudut wajah yang bukan saja memantulkan ketampanan dan keayuan, malah melukiskan watak serta sikap individu terbabit.
Bagi sesetengah pihak seperti selebriti dan ahli politik, gambar memainkan peranan penting khususnya dalam me raih populariti, tetapi pada masa sama, gambar juga men jatuhkan maruah seseorang dalam sekelip mata. Secara umum gambar adalah satu medium komunikasi yang sangat berpengaruh dan kerana itu hari ini kita dibanjiri dengan pelbagai jenis dan bentuknya, termasuk yang bersifat fitnah, kurang sopan dan berunsur lucah.
Bagaimanapun, Islam mengharamkan gambar kurang sopan dan berunsur lucah, tidak kira ia datang dalam bentuk apa sekali pun, sama ada hasil daya kreativiti melalui kemahiran tangan, media cetak mahupun elektronik.
Tetapi apakah pengharaman mengenainya terhenti setakat itu saja?
Bagaimana dengan yang lain, misalnya gambar dihasilkan melalui teknik fotografi, lukisan potret, anak patung mainan dan ukiran berupa makhluk?
Al-Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan hadis daripada Aisyah r.a yang berkata: “Rasulullah s.a.w kembali dari pelayaran dan saya menutup sehelai kain di dinding yang padanya ada gambar lukisan.
“Apabila Rasulullah s.a.w melihat gambar itu, serta-merta bertukar warna wajahnya, lalu berkata: ‘Wahai Aisyah! Se berat-berat seksa yang diterima oleh seseorang daripada Allah pada hari kiamat ialah orang yang cuba meniru rupa makhluk Allah.’
“Selepas mendengar ancaman Rasulullah itu saya pun mengambil kain lukisan itu dan saya potong-potongkan untuk dijadikan kain alas bantal.”
Menurut Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, hadis terbabit menunjukkan pengharaman gambar dan patung, sama ada ia berbentuk, berbayang, dibuat untuk diagungkan atau tidak kerana semua itu penyerupaan dengan penciptaan Allah.
Cuma, katanya, yang dikecualikan daripada gambar tadi iaitu melukis gambar seperti pohon dan rumah iaitu yang tiada roh padanya.
Ini sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari daripada Said bin Abul Hasan, katanya: “Pernah pada suatu hari aku berada di majlis Ibnu Abbas r.a, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki lalu berkata: ‘Hai Ibnu Abbas! Sesungguhnya aku ini, mata pencarianku daripada kerja seni tanganku dan aku membuat gambar-gambar dan patung-patung itu, apa katamu?’
Lalu Ibnu Abbas menjawab kepada orang yang bertanya itu: “Aku tidak akan memberitahumu melainkan apa yang aku sendiri mendengar daripada Rasulullah s.a.w sebagai jawapanku.
“Aku mendengar baginda berkata: ‘Sesiapa yang menggambar suatu gambar (patung yang berjisim), sesungguhnya Allah akan menyeksanya sehingga dia dapat meniupkan roh padanya sama sekali.’”
Mendengar jawapan Ibnu Abbas, orang itu kelihatan sangat gelisah kerana tidak senang mendengar jawapan terbabit dan berasa tersinggung.
Ibnu Abbas berkata lagi kepadanya: “Celaka engkau! Kiranya engkau mesti menggambarkan atau melukis juga, buatlah gambar-gambar pepohon, gambar pemandangan dan apa saja gambar yang tidak mempunyai roh.” (Hadis riwayat Bukhari)
Menurut Abdullah, dibenarkan juga daripada jenis patung permainan untuk kanak-kanak kerana tiada padanya tujuan untuk mengagungkan atau menimbulkan bangga diri dan sombong.
Ini sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim da ripada Aisyah, Ummul Mukminin r.a yang berkata: “Dahulu pernah aku bermain anak-anak seperti juga anak-anak perempuan yang lain di sisi Rasulullah s.a.w.
“Kemudian datang kepadaku teman-temanku dan mereka sentiasa bersembunyi daripada Rasulullah s.a.w kerana takut kepadanya, padahal Rasulullah berasa gembira melihat me reka datang untuk bermain-main denganku.”
Di dalam riwayat Abu Daud pula, Nabi s.a.w berkata kepada Aisyah suatu hari: “Apa ni?” Jawab Aisyah: “Ini anak-anak perempuanku.” Kata baginda lagi: “Apa yang di tengah-tengah ini?” Jawabnya: “Kuda.”
Tanya baginda: “Apa ini yang di atasnya?” Jawabnya: “Dua kepak.” Kata baginda: “Kuda ada dua kepak?” Jawabnya: “Apakah kau tidak pernah dengar yang (Nabi) Sulaiman bin Daud ada kuda yang berkepak?”
Nabi s.a.w pun ketawa geli hati, sehingga kelihatan gigi-gigi gerahamnya.”
Asy-Syaukani berkata: “Ternyata dari hadis ini ada dalil yang membolehkan kita memberikan anak-anak kecil patung permainan yang berupa, umpamanya bentuk pengantin suami isteri.”
Tetapi Imam Malik meriwayatkan pula, makruh bagi orang lelaki membelikan anak patung untuk anak perempuannya.
Al-Qadhi Iyadh berkata: “Bermain anak patung yang berbentuk anak perempuan untuk anak perempuan adalah harus.”
Abdullah berkata, antara hal yang menarik perhatian kita, apabila gambar ini bertujuan bukan untuk dibesar-besarkan dan tidak sempurna bentuknya, ia halal dan boleh dimanfaatkan.
Mengenai gambar dengan alat fotografi, iaitu kamera, beliau mengatakan secara menyeluruh termasuk dalam nas yang mengharamkan, melainkan gambar yang wajib dan memang ketara kebaikannya.
Ini seperti gambar untuk kad pengenalan, pasport, gambar orang jahat dan orang yang dituduh disebabkan semua ini termasuk dalam kaedah umum yang mengatakan darurat itu mengharuskan yang dilarang.
Bagi Pensyarah Kanan di Institut Islam Toronto, Ontario, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, fotografi sebagai medium komunikasi tidak jatuh dalam kategori gambar yang di larang.
Menurutnya, Nabi s.a.w memang mengutuk orang yang membuat gambar dan ukiran yang melambangkan patung kerana ia membawa kepada syirik, selaras dengan kaedah usul fiqah (prinsip perundangan Islam) sesuatu yang membawa kepada haram ia adalah haram.
Tetapi, katanya, fungsi fotografi hari ini tidak jatuh kepada kategori terbabit, malah sesetengah ulama yang dahulunya mengecam keras fotografi kemudian menukar posisi terhadap hukum berkenaan.
“Malah, mereka juga membenarkan gambar mereka diambil untuk disiarkan dalam akhbar, syarahan melalui rakaman video dan pembentangan.
“Sebelum ini mereka hanya membenarkan dalam kes pengecualian seperti urusan pasport, lesen memandu dan sebagainya.
“Perubahan pandangan mereka terhadap fotografi adalah berasaskan penilaian mereka ke atas peranan fotografi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, seseorang tidak boleh membuat kenyataan yang semua fotografi adalah halal (dibenarkan).
“Ia bergantung kepada penggunaan dan fungsinya. Jika ia untuk tujuan pendidikan serta tidak dicemari dengan tujuan sanjungan dan penyembahan, ia tidak dilarang,” katanya.
Sementara itu, menurut Dr Yusuf al-Qardhawi, melalui bukunya Halal dan Haram Dalam Islam, menghasilkan gambar dengan alat fotografi (kamera), yang paling dekat dengan jiwa syariat Islam dalam permasalahan ini ialah dibolehkan dan jika tidak pun hukumnya jatuh makruh.
“Itupun kalau gambar yang diambil tidak termasuk gambar yang diharamkan oleh Islam seperti gambar yang menampakkan tempat sulit kaum wanita atau lelaki yang boleh menimbulkan fitnah atau menggambarkan lelaki sedang bercium-ciuman dengan wanita atau seumpamanya,” katanya.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan