Natrah sentiasa rindu keluarga angkat di M’sia
KEMAMAN 10 Julai — Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya, sentiasa merindui keluarga angkatnya di Malaysia ketika beliau sakit teruk akibat leukemia sebelum meninggal dunia dua hari lepas.
Saudara angkat Natrah, Rokayah Mohd. Dahan, 63, berkata, Natrah sering meluahkan perasaannya itu sama ada melalui telefon atau e-mel kepada adiknya di sini dan anaknya yang tinggal di Kuantan.
Malah, beliau yang merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed berkata, Natrah juga mempelawa mereka menjenguknya di Belanda di saat beliau sakit teruk akibat penyakit berkenaan.
Rokayah berkata, beliau menerima berita kematian Natrah menerusi telefon pada pukul 8 malam semalam daripada anaknya, Mohd. Akram Abdul Aziz yang bekerja di Kuantan.
“Selepas menerima berita tersebut, saya terkejut dan sangat sedih kerana banyak kenangan bersama Natrah semasa dia berada di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini hari ini.
Beliau berkata, antara kenangan yang tidak dapat lupakan ialah Natrah masih petah bercakap bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 walaupun telah 46 tahun meninggalkan Malaysia.
``Pada 1997, Allahyarham balik ke Kemaman bersama suaminya warga Indonesia sambil diiringi dua wartawan Belanda. Ketika itu, Natrah tinggal di Kemaman tiga malam dan tidur di rumah saya satu malam.
“Masa itulah kami sempat berkongsi kenangan dengannya dan beliau juga masih gemar makan ketupat palas,” katanya.
Rokayah berkata, selepas Natrah meninggalkan Malaysia dan pulang ke Belanda, dia berkahwin dengan lelaki Belanda dan mempunyai 10 anak.
“Beberapa tahun selepas itu, Natrah berkahwin pula dengan rakyat Indonesia dan pernah pulang ke Kemaman pada 1997,” katanya.
Natrah meninggal dunia akibat leukemia pada usia 72 tahun di kediamannya di Huijbergen, Belanda, dua hari lepas.
Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.
Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam serta bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.
Namun begitu, undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin dan dia diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.
Sumber : http://www.bernama.com/
NOTA HUJUNG:
Sejarah Natrah boleh dibaca di mana-mana. Ada buku yang ditulis mengenainya. Ada artikel yang komprehensif di Wikipedia. Begitu juga dokumentari di Youtube dan di mana-mana. Bacalah, hayatilah, insafilah akan lipatan sejarah tragis negara kita di suatu masa itu.
Tetapi ada satu pengajaran besar yang jangan kita terlepas pandang mengenai tragedi Natrah.
Rusuhan 1950 di Singapura
1950 menyaksikan 18 orang terbunuh dan 173 orang cedera. Singapura dikenakan perintah berkurung selama dua hari. Temasek terbakar, sebagaimana rentungnya jiwa umat Islam Nusantara yang bangkit menentang usaha melari dan memurtadkan Natrah.
Itulah harga Islam di mata umat Islam tahun 1950.
Tanpa internet, tanpa SMS, semangat itu merebak dengan cepat dan menular merentas kota dan desa, harga iman Natrah bukan sebarangan.
Biar pun umat Islam masih dijajah British, jiwa mereka merdeka untuk bangkit bersuara.
Pada tahun 2009, tatkala Natrah kembali kepada Allah yang difasakhkan aqidah beliau dari-Nya itu, berita murtad bukan lagi berita yang menggemparkan. Usahkan mahu memandang dengan sebelah mata, kewajaran murtad pula mahu dipertahankan atas nama kebebasan beragama yang entah di mana asal usulnya.
Ketika umat Islam terbebas daripada penjajah British dan menjadi pemerintah di bumi sendiri, jiwa mereka yang pernah merdeka itu hakikatnya kembali terjajah terpenjara hingga tiada lagi suara yang membela.
Tiada lagi Profesor Dr Burhanuddin Al Helmy yang membakar semangat itu.
Tiada lagi Karim Ghani yang mengepalai kebangkitan di akar rumpun.
Tiada lagi Profesor Ahmad Ibrahim yang menjadi hakim membicarakan keadilan dan kebenaran.
Tiada lagi M.A. Majid yang membiayai perbicaraan mahkamah itu.
(sedutan daripada blog ustaz Hasrizal Jamil)Sesungguhnya,
“Kita dipukul gelombang riddah, dan tiada lagi Abu Bakr untuk mendepaninya…” – Abu al-Hasan Ali al-Nadawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan