Jumaat, 31 Julai 2009

ISU SELESEMA BABI ( INFLUENZA A H1 N1)


Sekat pergerakan di kawasan penularan H1N1

HAMPIR setiap hari kita disuapkan dengan berita peningkatan jumlah mereka yang dijangkiti selesema babi yang disebut sebagai influenza H1N1.

Mungkin kerana berita mengenainya sering disiarkan, ia tidak lagi begitu menggemparkan walaupun tahap bahaya penyakit itu adalah serius.

Keadaan itu boleh dilihat di pintu-pintu masuk ke negara ini seperti di lapangan terbang. Rakyat dan pelancong tidak mempedulikan keperluan untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Kita seolah-olah bermain "aci-aci buka pintu" dengan virus selesema itu.

Kita sedia maklum beberapa langkah telah diambil oleh pihak-pihak yang berwajib bagi mengelak merebaknya selesema tersebut di kalangan penduduk negara ini. Namun, langkah-langkah tersebut tidak berkesan kerana jumlah kes semakin bertambah dari sehari ke sehari.

Persoalannya ialah sama ada langkah-langkah dan tindakan-tindakan yang diambil itu menepati keperluan bagi mengatasi atau menyekat merebaknya penyakit itu. Bagi mencari ketepatan langkah-langkah berkenaan, amat perlu kita mengenal pasti isu utamanya terlebih dahulu dan bukannya melihat masalah-masalahnya.

Dalam hal ini, isu utamanya bukan keperluan mengubati orang yang sudah dijangkiti penyakit. Bukan juga kerana ia boleh menyebabkan banyak kematian. Jauh lagi daripada kemungkinan menimbulkan ketakutan yang amat sangat hingga menjejaskan ekonomi negara. Ini semuanya hanya kesan-kesan daripada wabak penyakit itu yang sememangnya mengkhuatirkan dan tidak boleh diabaikan.

Namun sebenarnya semua itu tidak menepati persoalan pokok. Yang perlu difahami ialah fakta bahawa selesema babi merebak dari manusia kepada manusia melalui kontak udara pernafasan. Inilah isu utamanya. Merebaknya kuman itu bukan sentiasa daripada babi kepada manusia atau melalui perantaraan binatang atau medium-medium lain.

Konteks pernafasan di sini bererti seseorang itu boleh dijangkiti hanya apabila dalam kedudukan fizikal yang amat rapat dengan pesakit atau pembawa virus atau berada bersama mereka dalam kedudukan terkurung seperti dalam sebuah teksi atau pesawat.

Jika demikian, maka langkah-langkah yang perlu diatur bagi mengelak merebaknya selesema babi ini ialah menjurus kepada menyekat atau mengelakkan berlakunya konteks antara orang yang telah terkena kuman selesema itu dengan orang yang belum dijangkiti.

Bagaimanapun memang sukar untuk mengasingkan orang prajangkitan dengan pembawa kuman tersebut kerana pembawa virus itu tidak menunjukkan tanda kecuali ia berada pada peringkat telah jatuh sakit atau melalui pemeriksaan perubatan.

Ini bererti, bagi mengelakkan jangkitan maka langkah-langkah ketat perlu diambil untuk mengelakkan pergerakan manusia keluar masuk dari kawasan atau tempat yang diketahui telah berlaku penularan virus selesema tersebut. Mungkin hanya mereka dalam kalangan pekerja perubatan sahaja yang boleh keluar masuk kawasan berkenaan. Itu pun perlu 'ditapis' terlebih dahulu.

Bagaimanapun, langkah seperti itu akan mendatangkan pelbagai kesulitan. Tetapi adakah kita mempunyai pilihan yang lebih baik? Persoalannya, jika kita takut melakukan sekatan pergerakan keluar masuk maka penyakit itu pastinya akan terus- menerus merebak.

PENULIS ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan