Ahad, 13 September 2009

Fenomena serba baru sambut Hari Raya

Oleh MOHAMMAD ISMAIL

TINGGAL beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut kedatangan Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan mengharungi puasa di bulan Ramadan. Sekarang masa paling sibuk dan kemuncak bagi kebanyakan kita membuat persiapan menjelang Hari Raya.

Dalam kepala masing-masing seboleh-bolehnya ingin memastikan semuanya baru, dari segi pakaian, perabot, langsir, kereta dan sebagainya.

Pendek kata kalau boleh dari kaki sampailah ke kepala semuanya ingin ditukar kepada yang baru. 10 malam yang terakhir sepatutnya masjid-masjid dipenuhi dan diperbanyakkan amal ibadat tetapi cuba kita tinjau di kompleks membeli-belah, pasar raya-pasar raya setiap hari dipenuhi oleh umat Islam untuk persiapan Hari Raya.

Ibu-ibu di rumah pula sibuk menyiapkan biskut raya dan mengukur langsir untuk dipasang dengan yang baru. Lebih mendukacitakan apabila sofa, perabut yang dah ada dan masih elok pun ingin ditukar asalkan semuanya mesti baru. Bak kata pepatah membesarkan kerak nasi iaitu menambah atau membeli sesuatu yang tidak perlu.

Bagi mereka yang berkemampuan, mereka akan menggunakan 'kuasa poket' dan 'kuasa tunjuk' untuk membeli apa sahaja demi untuk memuaskan nafsu berbelanja.

Lebih membimbangkan jika ada yang sanggup berhutang, bergolok bergadai dan yang paling menakutkan jika ada yang sanggup menghulurkan salam Aidilfitri pada ahlong demi untuk memastikan kelengkapan rumah dan pakaian menjadi baru.

Terdapat juga yang mengambil pertimbangan munasabah dengan ansuran mudharabah. Walaupun nampak mudah dibayar secara ansur-ansur tetapi kita sebenarnya terbeban secara ansur-ansur. Janganlah sampai kita berbelanja melebihi kemampuan, ukurlah baju mengikut saiz badan sendiri bukannya mengikut saiz kawan-kawan atau jiran-jiran.

Pada saat inilah kebanyakan iklan akan memainkan peranan mereka dengan pelbagai tawaran diskaun untuk memancing pengguna supaya berbelanja.

Tidak kurang juga ada syarikat yang menawarkan guna dulu, bayar kemudian, ini telah menaikkan lagi nafsu berbelanja di kalangan masyarakat dan ternyata kebanyakan kita tewas dengan pujukan tersebut.

Tanpa kita sedari bahawa Ramadan sebenarnya mengajar dan mendidik kita untuk mengawal nafsu, bukan setakat nafsu makan dan batin tetapi juga nafsu berbelanja atau lebih tepat lagi pembaziran.

Ramadan juga mendidik kita agar berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja sehingga melakukan pembaziran. Mungkin ramai yang menganggap Hari Raya hanya setahun sekali maka kita perlu membeli apa sahaja, itu adalah fahaman salah tentang Hari Raya bahkan sebulan Ramadan sebenarnya adalah bekalan untuk mengharungi hidup dalam bulan-bulan seterusnya agar berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat.

Islam tidak menggalakkan umatnya membazir dan berlebihan-lebihan malahan kesederhanaan amat dituntut.

Kita perlu memahami hakikat bahawa menyambut Aidilfitri bukanlah bermakna semuanya mesti ditukar menjadi baru. Cukuplah sekadar membeli baju sepasang dua sahaja bukannya membeli pakaian untuk dipakai di Hari Raya pertama warna dan pakaiannya lain, Hari Raya kedua lain fesyennya, Hari Raya ketiga pula semakin bergaya dan seterusnya.

Malahan baju untuk rumah terbuka pun dibeli beberapa pasang untuk memastikan rakan-rakan menyedari bahawa kita memiliki baju baru. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk berpakaian baru dan cantik pada Hari Raya tetapi tidaklah sampai sehingga melakukan pembaziran dan berhutang.

Fenomena untuk menukar kepada serba baru secara berlebihan ini telah lama sebati dalam kebanyakan masyarakat kita dan tanpa disedari kita telah melanggar etika nilai-nilai murni yang ditetapkan dalam Islam tentang pembaziran atau boros berbelanja. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada perintah tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 27).

Ayat tersebut jelas memberi gambaran kepada kita tentang pembaziran adalah sesuatu yang patut dijauhi dan ditinggalkan oleh kita umat Islam.

Dalam mengharungi bulan yang penuh keberkatan ini, janganlah kita lupa kepada mereka yang kurang berkemampuan. Kita digalakkan bersedekah kerana kekayaan dan kesenangan bukanlah milik kita tetapi kurniaan daripada Allah SWT. Adalah menjadi tanggungjawab golongan yang berada untuk membantu yang miskin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidak terlalu berlebihan dan tidak pula bakhil (kedekut); dan adalah (perbelanjaan yang baik itu) di antara kedua-duanya (boros dan bakhil)." (Surah al-Furqan,ayat 67).

Justeru, jadikan Ramadan dan Aidilfitri kali ini sebagai satu titik permulaan untuk perubahan dalam diri masing-masing agar menjauhi daripada sifat-sifat membazir dan bakhil. Gunakanlah kesempatan Ramadan yang tinggal ini untuk kita menuai keberkatan dan pahala yang ada untuk bekalan di hari akhirat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan