Sabtu, 12 September 2009

Keperluan wajib sebelum balik kampung

Oleh Kamal Affandi Hashim

Kaedah terbaik maklumkan kepada balai polis berhampiran agar premis dapat dipantau

Setiap kali musim perayaan, ramai mula 'tersedar' keperluan memastikan rumah dan harta benda yang bakal ditinggalkan di dalamnya dalam keadaan selamat. Ada yang sudah mula mencongak bajet membayar perkhidmatan kawalan keselamatan statik daripada pihak ketiga. Ada pula yang sudah merangka jadual penggiliran tugas berjaga minggu pertama Aidilfitri. Bahkan, ada pula yang terpaksa menjadi pengawas rasmi atau wajib rumah jiran semata-mata kerana tidak pulang ke kampung pada tahun ini!

Sebenarnya, prinsip pengurusan risiko adalah seperti berikut:

a) Mengelak risiko

b) Memecahkan risiko

c) Mengalihkan risiko

d) Menyubahati risiko

e) Mengandaikan risiko

Sama ada seseorang tinggal di rumah banglo, teres atau pangsapuri sekalipun, semuanya tetap tertakluk kepada kaedah sama. Bahkan, memang benar kata orang saiz tidak penting. Tidak kira besar atau kecil saiz sesebuah premis itu, kaedah pecah masuk sama yakni melalui tingkap, pintu atau bumbung.

Pintu

Apa yang perlu dilakukan kita ialah memastikan jalan masuk/keluar ini dapat membantu mengelak risiko pecah masuk di samping diperkukuh untuk menghindar harta benda daripada dicuri atau dilarikan. Cuba perhatikan daun pintu ini dari sebelah luar mahupun dalam dan lihat keadaan tombol dan engselnya.

Sekiranya posisi anda adalah di luar rumah dan untuk membuka pintu perlu ditolak ke dalam, anda hanya perlu memeriksa/mengukuhkan telinga gril (dengan membuat kimpalan lipan) dan juga memasang kunci tambahan pada daun pintu dari jenis dead-bolt saja. Itu saja keperluannya dan pintu anda sudah dinaiktarafkan darjah kekebalannya!

Keadaan sebaliknya bagi pintu jenis yang ditarik ke luar untuk membukanya. Sebenarnya pintu anda tidak kukuh kerana sudah dipasang terbalik! Ini kerana bahagian kerjanya seperti engsel dan mekanisme kunci terdedah dan boleh dimanipulasi dengan mudah. Anda perlu menukar tombol itu kepada yang lebih baik (mahal), menambah dead bolt lock, selak di bahagian atas dan bawah daun pintu serta barangkali tidak balik kampung pada raya ini!

Pada masa sama, gril yang ada di sebelah dalam itu juga perlu dikemaskini dengan menambah selak di atas dan di bawahnya. Posisi selak ini pula bukan di penjuru, se-baliknya di tengah-tengah bagi mengelirukan bakal penjenayah yang bercadang memecah masuk selepas berjaya membuka pintu yang anda tidak mahu kukuhkan tadi!

Bagi pintu gelungsur atau sliding door, ada yang masih menggunakan batang kayu penyapu yang diletak di atas landasannya. Ini kaedah yang lazim digunapakai oleh hampir semua penghuni rumah. Keburukannya hanya tiga; pintu masih boleh dibuka dengan mengangkat saja panel gelungsur itu, batang kayu terpaksa disorok bila ada tetamu datang dan sakit pinggang kerana banyak membongkok!

Cara paling mudah, murah dan lebih berkesan yakni sekitar RM25 ialah dengan membeli kunci khas pintu gelungsur di kedai perkakasan DIY. Jika bajet anda hanya RM5, usah khuatir kerana anda masih boleh membeli selak dan memasangnya di setiap bingkai panel pintu gelungsur ini.

Tingkap

Jenis tingkap yang paling popular ialah panel kaca bersusun atau lebih dikenali sebagai Naco (sebutan; nako). Ia dilengkapi dengan bar besi dan didatangkan dengan set bingkai lengkap. Hanya perlu pilih jenis kaca hendak diguna dan panjangnya saja. Kelemahan Naco cuma ia boleh dimanipulasi dari luar tanpa perlu membuka cermin satu persatu seperti tanggapan umum.

Tidak banyak yang perlu anda lakukan bagi tujuan memastikan ia tidak dapat dibuka dari luar. Anda cuma perlukan sedikit masa, pemulas skru dan sebatang skru saja. Sebelum meninggalkan rumah, skru betul-betul di bahagian bawah pemegang tuas pembuka itu. Tinggalkan sedikit kepala skru tadi di paras tuas pembuka. Tujuannya untuk mematikan tuas pembuka tadi. Dengan cara itu, ia tidak dapat langsung dibuka dari luar.

Bumbung

Bagi yang memiliki bumbung dan atap, kebimbangan ialah apabila kemasukan dilakukan melalui jalan ini. Apatah lagi yang tinggal di rumah teres berkembar dan kawasan perumahan baru, ia adalah mimpi ngeri tuan rumah. Sebelum tidur asyik lihat ke siling rumah dan terpaksa membayangkan pelbagai senario menakutkan? Kebetulan pula kebanyakan bukaan lubang akses siling ialah di bilik tidur utama!

Ya, benar ada kes pecah rumah yang berlaku yang mana penjenayah turun ala Spiderman melalui siling. Tetapi yang pasti, mereka akan membuka sekeping panel akses ke siling itu sebelum turun/naik melaluinya. Belum ada yang memecahkan bahagian lain siling rumah untuk turun.

Selain daripada sistem penggera moden, anda boleh meletakkan perangkap tikus jenis spring di beberapa tempat di dalam siling rumah. Ini dapat membantu dalam banyak cara. Sekiranya terpijak atau terpegang ketika penjenayah merangkak dalam gelap, prapp!!, barang sudah tentu cap jari dan bukti DNAnya melekat di situ!

(Ada kenalan saya meletakkan papan berpaku di merata tempat di dalam silingnya). Jangan lupa pastikan pintu bilik yang ada bukaan siling ini ditutup sepenuhnya apabila meninggalkan rumah nanti. Jika tidak ditutup, ia berupaya membantu penjenayah turun/naik nanti. Pada masa sama, tambah dead bolt lock supaya ia langsung tidak dapat dibuka kecuali dengan kunci.

Perkara lain

Perlindungan insurans adalah antara kaedah memindahkan risiko. Bayar premium dan harta anda terjamin sekiranya dicuri dalam kejadian jenayah.

Di samping itu, maklumkan jiran dan kenalan jangkaan tarikh anda pulang ke kampung dan kembali semula ke kediaman. Kalau premis anda sebuah kedai, jangan tampal notis tarikh dan dijangka tutup!.

Apabila selesai sambutan dan sebaik saja sampai semula di kediaman, jangan ulangi kesilapan orang lain. Ramai yang terus saja keluar dari kenderaan dan berebut-rebut masuk ke dalam rumah. Ini bahaya kerana manalah tahu kalau-kalau pada masa itu ada penjenayah di dalam rumah. Parah dibuatnya!

Yang penting, bapa akan keluar dari kenderaan terlebih dulu, masuk rumah, buka lampu dan buat pemeriksaan pintu belakang, bilik atas dan semuanya sebelum membenarkan anak-anak masuk.

Sempena dengan cuti perayaan, kita bernasib baik kerana polis kita berbanding kepolisan negara lain sentiasa menganjurkan Kempen Rumah Selamat Ketika Bercuti. Anda mungkin tidak tahu bahawa dalam 10 tahun program ini dilaksanakan, semua rumah yang berdaftar pada tempoh kempen ini masih mempunyai rekod cemerlang iaitu sifar peratus pecah!

Elok rasanya anda menghubungi balai polis terdekat dan mengisi borang yang disediakan. Apatah lagi perkhidmatan ini percuma. Di samping jimat, ia juga boleh memberikan ketenangan minda apabila pulang ke kampung halaman hujung minggu ini.

Penulis adalah penganalisis jenayah.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan