Jumaat, 4 September 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 15)


Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak 


Peribahasa bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak bermaksud menyelesaikan suatu masalah dengan cara yang bijaksana(penuh hikmah) sehingga kedua- dua belah pihak yang berbalah atau menghadapi masalah sama-sama berasa puas hati dan tidak berasa dirugikan.

Semua orang tahu apa itu tepung dan rambut. Rambut yang dimaksudkan ialah rambut yang panjang (biasanya rambut wanita). Untuk menarik sehelai rambut yang berada dalam selonggok tepung sudah pasti memerlukan ketelitian atau kebijaksanaan bagi memastikan tepung tidak berserak dan rambut yang ditarik pula tidak putus.

Peribahasa ini menggambarkan bagaimana orang-orang Melayu dahulu menyelesaikan satu-satu masalah menurut adat dan budayanya, sama ada dalam hal pergaduhan sesama sendiri, perebutan harta pusaka dan seumpamanya. Setiap masalah yang dihadapi dapat diselesaikan oleh ketua yang dilantik dengan penuh kebijaksanaan. Penyelesaian yang dibuat pula cukup memuaskan hati kedua-dua pihak yang berbalah.

Dalam zaman serba maju ini, tidak ramai orang yang mahu mengamalkan dan menghayati akan maksud peribahasa ini, justeru, kita dapat menyaksikan pergaduhan, persengketaan, malah peperangan berlaku di sana sini sehingga membawa ke mahkamah. Akhirnya, yang menang jadi arang , yang kalah jadi abu atau yang lebih malang situasi ini diambil kesempatan oleh pihak lain yang suka menangguk di air keruh.

Oleh yang demikian, saya kira sudah sampai masanya untuk kita kembali menyelami dan menghayati semangat peribahasa ini dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Dalam situasi tidak menentunya hubungan antara Malaysia-Indonesia sejak akhir-akhir ini, maka pemimpin kedua-dua buah negara seharusnya duduk semeja agar perasaan tidak puas hati yang wujud tidak bertambah parah. Dalam hal ini, semangat peribahasa bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak wajar dijadikan pegangan. Mudah-mudahan hubungan harmoni dua negara serumpun ini dapat dikembalikan seperti sedia kala.

2 ulasan: