Isnin, 5 Oktober 2009

Kempen saban tahun gagal perkasa bahasa Melayu

Oleh Jami'ah Shukri
jamiah@bharian.com.my

BAHASA Jiwa Bangsa, slogan yang diguna pakai dalam program dan kempen bulan bahasa sejak lima dekad lalu, tetapi masih gagal meletakkan bahasa Melayu ke tahap tertinggi. Kekaguman terhadap bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh sekumpulan tertentu di negara ini hanya dilihat sebagai mitos dan tidak mendapat sokongan penuh daripada yang sepatutnya.

Sebilangan besar korporat Melayu pula dilihat lebih menebal dan terlalu taksub dengan kehebatan bahasa Inggeris serta menganggap tidak mahir berbahasa global itu, akan menyebabkan sesuatu bangsa itu tidak boleh maju dan berada di puncak kecemerlangan.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, berkata kerajaan tidak perlu mengadakan kempen Bulan Bahasa kerana bahasa Melayu sudah menempa nama yang besar dari segi sejarahnya sejak beratus tahun lamanya.

"Saya menganggap kempen seumpama itu sebagai budaya kalangan masyarakat di negara ini. Saya lihat, hanya Malaysia satu-satunya negara di dunia menganjurkannya," katanya yang juga Pengerusi Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, sepatutnya dasar berkaitan bahasa itu perlu diperkukuhkan dan pelaksanaan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Ramai yang masih mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris terutama ketika berkomunikasi. Lebih malang, ramai kalangan pemimpin, ahli korporat dan perniagaan yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama

"Saya tidak fikir dengan berbahasa Melayu kita tidak maju dalam perniagaan atau pekerjaan. Lihat saja, senarai jutawan di Malaysia, ada antaranya tidak tahu berbahasa Inggeris tetapi mampu menunjukkan kemampuan dari segi pencapaian hidupnya.

"Rakyat di Jepun dan Perancis tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan, tetapi tetap menjadi sebuah bangsa yang maju. Bagi saya, kita tidak mempunyai masalah atau berdepan dengan isu bahasa, sebaliknya hanya sekumpulan masyarakat tertentu yang sudah merosakkannya," katanya.

Justeru, Yayasan Karyawan tidak menjalankan sebarang kempen untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu kerana menganggap bahasa Melayu tidak ada sebarang masalah, sebaliknya, Yayasan Karyawan lebih aktif menerbitkan semula karya agung pada abad ke-14.

Mengenai fungsi bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, Hassan berpendapat matlamat ke arah itu masih belum tercapai kerana orang Melayu sendiri tidak bersungguh-sungguh dan lebih ghairah mengagungkan bahasa Inggeris. Ini menyebabkan kaum lain juga melihat, orang Melayu sendiri tidak serius ke arah itu.

"Lihat saja papan tanda, mengapa perlu ada bahasa lain. Mengapa tidak digunakan bahasa Melayu saja. Kita sudah ada konsep 1Malaysia, jadi mengapa perlu ada banyak bahasa pada papan tanda itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain, berkata DBP seharusnya membuat bedah siasat terhadap program Bulan Bahasa yang dilancarkan selama ini kerana ia dianggap sebagai program rutin setiap tahun sedangkan ia dilihat seakan gagal mencapai matlamat memartabatkan bahasa Malaysia.

Katanya, DBP perlu mengupas secara holistik program itu di samping mendapatkan pandangan daripada pakar serta pejuang bahasa supaya ia mampu memenuhi konteks baru dan situasi semasa, dengan melihat semula status bahasa kebangsaan dalam keseluruhan sistem pentadbiran, pendidikan serta sektor swasta.

"Kita berharap supaya bulan bahasa kebangsaan dilaksanakan pada masa depan mampu menjadi pelengkap ke arah memperkasakan bahasa itu. Tidak banyak kesan dicapai selama ini," katanya.

Pada masa sama, kerajaan perlu menanamkan keazaman untuk memulihkan bahasa Melayu yang semakin terpinggir terutama ketika pelaksanaan PPSMI dan seterusnya dijadikan asas pembangunan moden negara ini.

Katanya, kerajaan sewajar-nya memulihkan keazaman dan mengembalikan semula kecemerlangan bahasa Malaysia sama seperti pada zaman pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

"Apa yang dilihat penggunaan bahasa Melayu tidak menyeluruh termasuk dalam sektor awam. Lihat sajalah pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), lebih suka bercakap bahasa Inggeris. Kepemimpinan melalui teladan tidak diterap di situ, bagaimana orang bawahan akan mengikut.

"Pengurusan tertinggi GLC ini melahirkan kelas elit yang tidur, rasa diri terpisah daripada budaya bahasa. Isu bahasa Melayu juga masih pincang pada peringkat pengajian tinggi. Ketika ini, pendirian mengenai pengajaran dalam bahasa Melayu sudah dicapai di sekolah rendah dan menengah, tetapi tidak di institusi akademi itu," katanya.

Apa yang penting, pandangan pejuang bahasa berkaitan isu ini tidak seharusnya dikesampingkan kerana mereka adalah sekumpulan entiti elit yang mewakili sebahagian suara rakyat di peringkat akar umbi.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan