Khamis, 1 Oktober 2009

Melayu patut agungkan bahasa sendiri

Jami'ah Shukri

SEGELINTIR rakyat di negara ini masih malu, rendah diri dan tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu sedangkan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ia bahasa kebangsaan lebih lima dekad lalu.

Lebih parah, orang Melayu sendiri bukan saja segan bercakap dalam bahasa Malaysia, malah lebih selesa mengagungkan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan rasmi, mesyuarat dan aktiviti lain. Apa akan jadi jika senario itu berterusan terutama kepada generasi kini yang banyak terdedah kepada bahasa penjajah itu. Mahukah bahasa Melayu turut pupus seperti bahasa Latin, Sanskrit dan Jawa yang suatu ketika dulu begitu diagungkan oleh masyarakatnya?

Hakikatnya, rakyat negara ini patut berbangga kerana bahasa Melayu antara lima bahasa terbesar dunia selepas bahasa Inggeris, Cina, Hindi dan Sepanyol yang dituturkan masyarakat global. Ketika ini, lebih 300 juta orang bertutur bahasa Melayu di seluruh dunia dengan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura menjadikannya bahasa rasmi.

Justeru, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berfungsi sebagai badan menyebar luas dan memartabatkan bahasa Melayu, sejak 1960-an sudah menjalankan pelbagai program memberi kesedaran rakyat terhadap bahasa kebangsaan itu bermula dengan Minggu Bahasa Kebangsaan, Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Bulan Bahasa dan Sastera Negara dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Sepanjang lima dekad DBP tanpa jemu mengadakan kegiatan seperti forum, pidato, sayembara puisi dan pantun serta debat membabitkan pelbagai peringkat di sektor kerajaan dan swasta.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, menegaskan sepanjang 1960 hingga 2003, kesedaran orang ramai terhadap memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam apa juga kegiatan dan urusan dianggap amat baik.

Bagaimanapun, sejak tiga empat tahun lalu, penggunaannya semakin merosot dengan program seperti membabitkan institusi kewangan dan insurans mengutamakan bahasa Inggeris.

Dalam bidang perniagaan dan perdagangan, bahasa Inggeris lebih banyak digunakan dan ini dilihat tidak melambangkan jati diri rakyat Malaysia. Tambah parah, apabila kerajaan sebelum ini, melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah.

“Keadaan ini sekali gus memberi persepsi negatif masyarakat yang menganggap kerajaan tidak menekankan kepada penggunaan bahasa Melayu. Bagaimanapun, keputusan kerajaan sekarang memansuhkan PPSMI adalah tepat dan langkah bijak ke arah memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga sepatutnya terus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan, papan tanda dan pertuturan supaya pelancong dapat merasakan berada di Malaysia.

Malangnya, apa yang dilihat, masih ada pelancong tidak begitu merasakan mereka benar-benar berada di negara yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Ini berbanding dengan Perancis, Thailand, China dan Korea yang terserlah identiti dan imej negara berkenaan yang dipaparkan menerusi papan tanda bertulis bahasa ibunda dan rakyatnya bercakap bahasa rasmi mereka.

Namun, Termuzi berkata, sepanjang tempoh enam tahun terutama ketika pelaksanaan PPSMI, DBP terus memainkan peranannya untuk meningkatkan kesedaran, kecintaan serta memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ilmu menerusi Bulan Bahasa Kebangsaan.

DBP juga menghantar pekeliling sebagai peringatan kepada agensi kerajaan yang mengetepikan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan sebagainya.

Beliau berkata, kempen secara berterusan berkaitannya akan diaktifkan sepanjang masa khususnya pada Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober setiap tahun.

Oleh itu, Bulan Bahasa Kebangsaan bagi tahun ini akan dilancarkan dengan kerjasama kerajaan Sarawak di Stadium Perpaduan Kuching oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa depan akan membawa mesej jitu Bahasa Jiwa Bangsa.

Termuzi dapati ada orang Melayu sendiri yang rasa rendah diri menggunakan bahasa ibunda, sedangkan kita perlu tahu bahasa itu adalah yang kelima terbesar di dunia iaitu dengan 300 juta penutur.

“Berbanding negara lain, bahasa Melayu tidak ketinggalan dan bukan dianggap kolot. Ketika ini, bahasa Inggeris dituturkan kira-kira 1.5 bilion orang di seluruh dunia diikuti China (1 bilion); Hindi (700 juta) dan Sepanyol (350 juta)."

“Mengapa kita harus malu bertutur bahasa Melayu yang sudah sampai ke peringkat bahasa ilmu. Sudah 20 tahun ia menjadi bahasa penghantar utama di sekolah rendah hingga ke peringkat universiti,” katanya.

Beliau juga tidak hairan jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa berkaitan isu ini, tidak mustahil ia akan pupus atau mati dengan sendirinya. Sebenarnya, 6,000 bahasa dituturkan di seluruh dunia. Bagaimanapun ia dilihat semakin berkurangan dan sesetengahnya sudah pupus.

“Mungkin disebabkan ketidakprihatinan rakyat sendiri, kini hanya 20 bahasa dianggap sebagai bahasa rasmi apabila 50 juta orang bertutur dalam bahasa itu,” katanya.

Termuzi berkata, kekuatan bahasa Melayu yang diamalkan di negara ini juga hebat kerana ramai pakar sains dan teknologi di negara ini daripada aliran Melayu.

Kini 1,073 pakar dilahirkan dalam bidang fizik, kimia, biologi dan kedoktoran sejak 20 tahun lalu. Jika dilihat dari segi penerbitan buku, 1,082 buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu diterbitkan DBP dan institusi pengajian tinggi.

“Pensyarah juga mesti menyampaikan syarahan dalam bahasa Melayu. Di Universiti Kebangsaan Malaysia, 19 syarahan perdana dibuat dalam bidang sains dan teknologi. Oleh itu, bahasa itu mampu menjadi bahasa ilmu,” katanya.

Apa yang penting penggunaan bahasa Melayu tidak akan menjadikan negara mundur. Sejarah sudah membuktikan, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea dan China berada pada puncak kemajuan dan kemodenan walaupun mereka menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa ilmu.

Bagaimanapun bagi negara yang menggunakan bahasa penjajah seperti Amerika Selatan, Asia dan Afrika pula tidak nampak maju dan seakan statik pada kedudukannya tersendiri.

Sumber : http://www.bharian.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan