Selasa, 24 November 2009

Fragmen Banjir

Paras buku lali
jangan ke mana-mana, sayang
sorok resahmu di balik pintu harapan
sidai baju gusarmu di ampaian kasih
ke sini aku lipatkan kaki seluarmu.

Pada paras lutut ini
tutuplah diri dengan gebar nyali besar
lenalah dulu, bermimpilah jika mahu
nanti aku kejutkan – aku kejutkan
andai air tak surut-surut
masih mahu meladeni desa sendu ini.

Paras pinggang sekarang
bersedialah.
Sudahkah kausimpan dokumen ke syurga?

Simpanlah baik-baik dalam beg iman
pabila air tak mahu memaafkan lagi
usah lupa – bawalah bersama-sama.

Telah hampir ke dada
amaran untuk berpindah
tidak dapat kita tunggu lagi
rumah amal ini
air telah menyapa tangga
bagai ingin membasuh
noda yang dipalitkan
di dalam sedar
di luar sedar.

Berpindahlah
dari leher hampir hapuskan hidung
tak mungkin dapat bernafas lagi
carilah ruang yang lain – sementara
pabila nanti telah reda – kembalilah
namun jangan kauulangi
jangan kauulangi bejat yang lalu

Banjir datang mengingatkan
insaflah.

Nukilan:

Rimanilzah
Semanggol, Perak

Sumber :http://penyair.wordpress.com/

1 ulasan:

  1. Salam cikgu,

    Saya dah senaraikan blog ini dalam senarai blog pilihan saya. Sudikan jenguk dan tinggalkan jejak di blog saya http://brahimnyior.blogspot.com

    Sudilah juga berkongsi ilmu pendidikan dengan saya.

    Salam

    BalasPadam