Selasa, 24 November 2009

Komitmen swasta, awam banteras rasuah


RASUAH merupakan barah ekonomi negara. Inilah hakikatnya yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa sahaja. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan laporan Transparency International 2009 bahawa Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH berdasarkan dapatan kajian Bank Dunia, menganggarkan bahawa rasuah menyebabkan kos kepada Malaysia sehingga sebanyak RM10 bilion setahun. Ini merupakan satu jumlah yang cukup besar yang boleh memberi implikasi amat besar kepada sektor ekonomi negara.

Namun sejauh manakah usaha yang dijalankan dapat membendung gejala rasuah ini? Amat menyedihkan kerana menurut PEMUDAH secara per kapita, Malaysia hanyalah membelanjakan sebanyak RM5 bagi menangani rasuah. Bahkan, statistik juga menunjukkan bahawa hanya 7,223 kes rasuah yang disiasat daripada 71,558 yang dilaporkan di antara tahun 2000-2006. Jumlah yang dapat dibuktikan bersalah melakukan rasuah hanyalah sekadar 0.7 peratus atau 524 kes sahaja.

Maka sesuatu yang tidak mengejutkan apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2009 yang dikeluarkan oleh Transparency International, baru-baru ini, menunjukkan bahawa kedudukan Malaysia turun ke tangga 56 pada tahun ini berbanding berada di kedudukan ke-47 dan 43 pada tahun 2008 dan 2007.

Ini menggambarkan bahawa usaha-usaha yang lebih ampuh perlu dilakukan bagi membanteras gejala rasuah ini. Oleh itu, apabila kerajaan menjadikan perkara ini sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), semua pihak tidak kira orang awam, swasta dan sektor awam perlulah bersama-sama berganding bahu membendung gejala ini sebelum ia menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan seperti menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melaksanakan reformasi seperti memperkenalkan Akta Pemberi Maklumat untuk melindungi saksi rasuah, dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas kakitangan awam yang terlibat dalam gejala rasuah dan penyelewengan seperti yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan kerjasama oleh pihak swasta dan orang awam.

Tanggungjawab membanteras rasuah ini tidak seharusnya terbeban kepada SPRM sahaja. SPRM tidak mampu bertindak tanpa maklumat yang mencukupi dan kerjasama oleh semua pihak terutamanya saksi-saksi kes rasuah.

Peratusan kecil kes yang dapat diselesaikan berbanding jumlah aduan menggambarkan bahawa proses siasatan merupakan satu aspek yang amat penting dalam semua kes rasuah. Bahkan, proses siasatan SPRM perlu diselesaikan dengan lebih pantas lagi kerana segala maklumat daripada saksi-saksi hanya boleh diperolehi pada waktu pejabat sahaja.

Menurut Presiden Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia (CFE), Akhbar Satar, jika siasatan ditangguhkan, saksi boleh lari, sorok bukti atau hapuskan keterangan dan ini akan menimbulkan banyak masalah kepada SPRM. Bermakna, proses menyoal saksi dalam waktu pejabat merupakan satu cabaran kepada pihak SPRM untuk memastikan segala bukti dapat dikumpul dengan mencukupi supaya semua pihak memperoleh keadilan yang sewajarnya tanpa perlu menangguhkan siasatan dengan tempoh yang lama.

Oleh itu, janganlah hanya mengharapkan usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan sahaja. Usaha-usaha berterusan untuk menangani gejala ini memerlukan komitmen semua pihak kerana peratusan orang awam dan kakitangan swasta yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan rasuah pada tahun lepas adalah hampir sama berbanding sektor awam iaitu sebanyak 54 peratus dan 46 peratus bagi sektor awam.

Peratusan ini memberi petanda bahawa gejala rasuah ini melanda semua pihak termasuklah orang awam dan pihak swasta bahkan peratusan golongan ini tinggi sedikit berbanding kakitangan awam.

Di pihak swasta, penubuhan Jabatan Audit Dalaman dengan kerjasama juruaudit luar mampu mengurangkan kes-kes rasuah. Dua golongan ini sewajarnya diletakkan dalam kedudukan yang tersendiri agar mampu menyiasat sebarang penyelewengan dan kes rasuah yang berlaku sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Mereka merupakan golongan barisan hadapan yang cukup mahir dalam sektor swasta untuk mengesan dan membanteras sebarang penyelewengan, penipuan dan rasuah meskipun skop kerja mereka berbeza di antara satu sama lain.

Namun, apalah gunanya jika dua golongan ini tidak dapat kerjasama secukupnya daripada pihak atasan sektor swasta. Dengan kata lain, pihak atasan ini mestilah bersikap terbuka tentang kepentingan menangani penyelewengan dan rasuah. Sikap terbuka ini perlu disusuli dengan tindakan. Sudah tentu jawapan kepada tindakan ini ialah melaksanakan tadbir urus yang terbaik.

Ini kerana tadbir urus yang terbaik mengajar seseorang tentang akauntabiliti, ketelusan dan integriti sebagai elemen-elemen yang terpenting yang sewajarnya diterapkan sebagai budaya dalam sesebuah syarikat.

Di pihak awam dan individu, hindarilah gejala rasuah dan salurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengetahui sebarang kes rasuah yang berlaku di depan mata. Berilah sokongan kepada pihak kerajaan kerana usaha membanteras rasuah merupakan satu 'jihad' yang bukan hanya dilakukan secara bermusim tetapi sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dan tanpa mengenal erti putus asa.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan