MERUJUK jawapan Kementerian Pelajaran Malaysia bertajuk Kementerian mahu kurangkan kadar keciciran pelajar yang tersiar di ruangan ini pada 17 November 2009, ada dicadangkan supaya aliran vokasional dan aliran asas kemahiran (AAK) diperkenalkan.
Begitu juga syor supaya pendidikan kemahiran ini diperkenalkan lebih awal di tingkatan 1.
Saya berpendapat saranan ini amat tepat dengan tuntutan pendidikan sekarang dan perlu diperkasa segera. Diperkasa di sini bermaksud diperluas dan ditingkatkan keupayaannya agar aliran kemahiran ini mampu menampung bilangan permohonan daripada pelajar yang semakin meningkat jumlahnya. Ini selaras dengan dasar pendidikan wajib yang sering diperkatakan iaitu memberikan pendidikan percuma dari tahun 1 hingga tingkatan 5.
Maksudnya semua pelajar yang memohon ke aliran kemahiran hendaklah diterima sama seperti sekolah harian biasa yang menerima kemasukan pelajar ke tingkatan 4, asalkan memenuhi syarat minimum.
Sungguhpun disarankan pendidikan kemahiran ini dari tingkatan 1, tetapi eloklah diberi keutamaan di peringkat tingkatan 4 terlebih dahulu berdasarkan kepada keperluannya yang begitu mendesak.
Pertama, terdapat ramai pelajar lepasan tingkatan 3 yang berminat ke aliran vokasional dan kemahiran tetapi tidak semua permohonan mereka berjaya kerana tempat terhad.
Kedua, berdasarkan tahap pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang rendah, mereka gagal menguasai kemahiran yang sewajarnya untuk membolehkan mereka berupaya mengikuti pelajaran di peringkat yang lebih tinggi aliran akademik di tingkatan 4. Memang ini pun sebenarnya tujuan utama peperiksaan iaitu untuk menguji sejauh mana pelajar mengusai kemahiran yang dipelajari dan menilai kesesuaian mereka melanjutkan pelajaran seterusnya.
Ketiga, di tingkatan 4 inilah peringkat paling sesuai pelajar disalurkan ke aliran yang diminati setelah sembilan tahun mereka mengikuti pendidikan umum dari tahun 1 hingga tingkatan 3.
Oleh itu dasar naik ke tingkatan 4 yang diamalkan sekarang amat perlu dikaji semula. Selama ini sekolah harian biasa dikehendaki menerima pelajar meneruskan pelajaran ke tingkatan 4, walaupun berdasarkan pencapaian PMR ada pelajar yang tidak berkemampuan dan tidak berminat mengikuti aliran akademik.
Akibatnya timbul pelbagai masalah disiplin seperti tidak membuat kerja rumah, bising dalam kelas dan ponteng sekolah walaupun guru telah berusaha sedaya upaya mengajar dengan sabar, jujur dan gigih. Janganlah pula ada pihak dengan mudah menganggap pelajar ponteng kerana guru kurang minat mengajar atau pengajaran guru kurang menarik.
Tidak seperti sekolah pilihan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah kawalan, sekolah elit dan sebagainya yang mensyaratkan hanya pelajar cemerlang PMR layak diterima masuk ke tingkatan 4 di sekolah tersebut, bagi sekolah harian biasa mereka tiada pilihan. Semua pelajar hendaklah diterima masuk. Sebab itulah apabila menilai kecemerlangan sesebuah sekolah, misalnya untuk menetapkan anugerah Sekolah Berprestasi Tinggi, kita tidak boleh samakan tahap pencapaian antara sekolah pilihan tersebut dengan sekolah harian biasa.
Jika sekolah harian biasa berjaya diurus dengan baik, pelajarnya cemerlang dalam kegiatan sukan, persatuan dan pasukan unit uniform, pengurusan kurikulumnya sempurna, guru berdedikasi, pelajar berbudi bahasa, minat pelajar terhadap sekolah meningkat, disiplin terkawal, kadar ponteng telah berjaya dikurangkan, maka sekolah seperti ini adalah sekolah cemerlang dan wajar diberikan anugerah walaupun masih ada segelintir pelajar yang ponteng atau tahap akademiknya di peringkat sederhana.
Bahkan tidak keterlaluan dikatakan sekolah seperti ini lebih cemerlang daripada sekolah pilihan tadi kerana berjaya mengurus sekolah dengan berkesan walaupun pengambilan pelajarnya terdiri daripada pelbagai tahap pencapaian akademik.
Pontian, Johor.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Nota Hujung:
Usaha memperkasakan ALIRAN TEKNIK DAN VOKASIONAL di sekolah perlu dilaksanakan segera. Bagi penulis, sepatutnya aliran tersebut diwujudkan di setiap sekolah menengah sejak dahulu lagi sebagai aliran alternatif bagi pelajar-pelajar yang kurang cemerlang dari sudut akademik. Kebanyakan pelajar seumpama ini sukar untuk mengikuti sesi pembelajaran mata-mata pelajaran akademik yang ditawarkan di sekolah harian biasa. Mereka lebih cenderung untuk mempelajari kemahiran. Sementelahan pula, sekolah-sekolah aliran teknik dan vokasional sedia ada tidak dapat menampung permintaan pelajar-pelajar dalam kategori ini, justeru langkah mewujudkan aliran kemahiran teknik dan vokasional di sekolah-sekolah harian biasa adalah jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ini. Sekurang-kurangnya, pelajar-pelajar ini memperoleh kemahiran asas dalam bidang tertentu dan berpotensi untuk diperkembang ke tahap yang lebih tinggi bagi memenuhi tuntutan industri negara menjelang Wawasan 2020. Dengan adanya inisiatif ini, masalah disiplin dan keciciran dalam kalangan pelajar seumpama ini akan dapat diatasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan