Azam tahun baru
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
SEDAR tidak sedar tinggal kurang daripada dua bulan untuk kita melangkah ke tahun baru dan mungkin ada yang sudah mula merangka perancangan awal sama ada dari segi hubungan, kewangan, pelajaran atau percutian.
Setiap kali menyambut tahun baru, ada saja azam dibuat tetapi sebelum sampai ke waktu itu, renungkan sejenak adakah azam tahun ini sudah tercapai atau terhenti separuh jalan.
Bagi azam yang tergendala, kita masih ada baki tujuh hingga lapan minggu untuk mengusahakannya, terutama jika ia membabitkan kesihatan. Sebenarnya ada banyak langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kesihatan dalam tempoh singkat ini antaranya:
Cubit belakang tapak tangan anda. Lihat kepantasan ia kembali ke bentuk asal. Jika ya, ia menandakan badan anda cukup air. Jika tidak, mulakan daripada hari ini untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air masak sehari. Kekurangan air akan menyebabkan kulit mudah berkedut dan ia membuatkan kita tampak lebih cepat tua berbanding umur sebenar.
Pengambilan air yang mencukupi juga boleh membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan (mesti disertai dengan senaman dan penjagaan makan), melancarkan perkumuhan. Jika kekurangan air, kita akan terasa cepat penat dan lesu; sukar menumpukan perhatian, tahap kewaspadaan dan kepekaan merosot serta mudah alami sakit kepala.
Perunding Reumatologi Hospital Putrajaya, Dr Heselynn Hussein dalam satu forum kesihatan, berkata minum air antara satu hingga satu setengah liter sehari juga membantu memudahkan penjagaan kesihatan di kalangan pesakit gout untuk membantu buah pinggang menyingkirkan asid urik berlebihan dalam badan.
Jika anda bersenam, pastikan anda minum sebelum, ketika dan selepas sesi senaman. Ini kerana rasa dahaga ketika bersenam bermakna badan anda sudah mengalami kekurangan air.
Mulakan pemakanan sihat dengan mengurangkan pengambilan garam dan gula sebaliknya menambah satu hidangan sayur dan buah setiap kali makan sehingga anda mendapat tiga hingga lima hidangan sehari.
Antara kaedah untuk mencapai sasaran ini ialah dengan mengambil buah ketika sarapan atau menggantikan snek serta kuih muih ketika minum petang. Untuk makan tengah hari atau malam, isikan suku daripada pinggan makan anda dengan sayur-sayuran.
Anda juga boleh mengambil segelas jus buah setiap hari. Kajian Universiti Harvard mendapati segelas jus buah seperti oren setiap hari boleh mengurangkan risiko angin ahmar sebanyak 25 peratus, tetapi dengan syarat jus itu tidak ditambah gula.
Jangan tinggalkan sarapan. Ia adalah sajian paling penting dalam sehari. Kajian membuktikan orang yang sering tidak mengambil sarapan mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk gemuk dan bagi yang ada masalah berat badan, meninggalkan sarapan bermakna usaha untuk kurus menjadi lebih sukar.
Kurangkan makan di luar, sebaliknya cubalah masak sendiri makan malam walaupun sekadar hidangan yang ringkas. Cara ini anda boleh mengawal penggunaan garam, gula dan lemak.
Makan perlahan-lahan dan kunyah sekurang-kurangnya 20 hingga 25 kali sehingga makanan benar-benar lumat. Ia dapat meningkatkan kecekapan proses pencernaan dan merangsang penghasilan enzim pencernaan di dalam mulut.
Isyarat kenyang mengambil masa 20 minit untuk sampai ke otak. Jadi cara ini dapat mengelakkan anda daripada terlebih makan dan ia juga sangat berguna untuk mengurangkan masalah perut kembung terutama pada wanita.
Laburkan satu atau dua minit sehari untuk flos gigi setiap kali selepas memberus gigi. Flos adalah pelengkap kepada pembersihan gigi kerana dapat mengeluarkan sisa makanan yang terselit di celah gigi yang tidak boleh dicapai berus gigi.
Ramai menganggap flos gigi tidak penting tetapi hakikatnya adalah langkah mudah yang sangat berkesan untuk mencegah banyak penyakit gusi, masalah gigi dan mengurangkan risiko sakit jantung.
Kajian membuktikan bahawa penyakit gusi mempunyai kaitan dengan penyakit jantung. Ini kerana keradangan pada gusi boleh merangsang pembentukan plak dalam salur darah yang menyebabkan salur darah membengkak. Penyelidik mendapati individu yang ada penyakit gusi mempunyai risiko dua kali ganda mendapat masalah jantung.
Mulakan bersenam. Ramai memberi alasan tidak cukup masa tetapi sebenarnya anda boleh mencari masa dengan bangun pagi setengah jam lebih awal. Cari aktiviti yang anda gemari sama ada berjoging, bermain badminton atau tenis, aerobik atau menari pocho-pocho.
Jangan ‘sayang’ pada simpanan lemak yang terkumpul terutama di pinggang kerana lemak yang dipanggil lemak viseral ini akan memenuhi ruang di celah-celah organ penting di abdomen seperti hati, buah pinggang, limpa dan lain-lain kerana ia boleh menjejaskan fungsi semua organ ini.
Bersenam bukanlah mudah, terutama kepada individu yang terlalu gemuk hingga sukar berjalan. Cara alternatif untuk anda bersenam ialah melakukan aerobik air di kolam renang kerana daya apungan air akan membantu kaki menampung berat badan anda.
Kita menggunakan lebih banyak tenaga untuk bergerak di dalam air kerana ketumpatannya yang tinggi. Jadi ini secara tidak langsung akan merangsang pembakaran simpanan lemak dengan lebih berkesan.
Ingat, bersenam adalah antara kaedah pencegahan penyakit yang berkesan dan meningkatkan kesihatan minda. Malah senaman juga akan membantu meningkatkan keanjalan dan kekuatan otot, memperbaiki bentuk badan dan membuat kita awet muda.
(Sumber : http://www.hmetro.com.my/)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan