Selasa, 22 Disember 2009

6,600 pelajar terpilih ke tingkatan satu SBP

KUALA LUMPUR: Hanya 6,600 pelajar daripada 95,286 permohonan terpilih untuk meneruskan pengajian mereka ke Tingkatan Satu sekolah berasrama penuh (SBP) bagi tahun 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pengumuman mengenai mereka yang berjaya itu akan dibuat esok.

"Semakan dan keterangan lanjut mengenai kemasukan ini boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari laman web www.moe.gov.my, manakala bagi yang tidak berjaya mendapat tempat, mereka boleh membuat rayuan secara dalam talian di e-rayuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh rayuan adalah 20 hari, bermula esok hingga 12 Januari, namun keputusan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ada setelah proses pendaftaran murid yang menerima tawaran dibuat pada 11 Januari.

Seramai 517,908 murid darjah enam menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, dan daripada jumlah itu seramai 48,171 berjaya memperoleh A bagi setiap mata pelajaran yang diambil. - Bernama

1 ulasan:

  1. Salam Cikgu,

    Nampaknya tempat ke SBP semakin terhad, dek jumlah yang layak makin bertambah.

    Persoalannya, adakah kecemerlangan hanya wujud di SBP? Gurunya dan kemudahan lebih kurang sama. Malah, saya rasa guru SBP lebih bersifat fasilitator, tak seperti guru di sekolah harian biasa yang banyak menyudu hingga ke mulut pelajar...

    Perbezaan jelasnya ialah semangat bersaing. Itu yg tiada di sekolah harian biasa.

    BalasPadam