Selasa, 22 Disember 2009

Amalan sihir perlu dikekang undang-undang

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

Hukuman tegas ke atas pengamal ilmu hitam elak perbuatan syirik merosakkan masyarakat

KEBELAKANGAN ini, stesen televisyen tempatan percuma mahupun berbayar dilihat begitu ghairah menayangkan drama berkisar kepada amalan sihir untuk tujuan yang tidak baik sama ada secara bersiri atau telemovie. Drama seperti Anak Betong, Cucu Betong dan Nenek Kebayan misalnya secara terang-terangan menceritakan amalan sihir atau ilmu hitam untuk kepentingan peribadi dan menganiaya orang lain kerana dikuasai sifat hasad dengki, benci serta dendam.

Kisah yang dipaparkan dalam drama itu tiada kaitan dengan orang yang hidup atau mati tetapi kadang kala sedikit melampau kerana diselitkan adegan tidak logik atau menjangkaui pemikiran manusia yang hidup pada zaman serba canggih ini. Namun apa yang boleh penonton khususnya umat Islam pelajari daripada drama yang kononnya seram itu ialah sihir boleh digunakan secara meluas kerana tiada undang-undang yang melarangnya.

Pengamal ilmu itu tidak juga boleh disabitkan kesalahan jika mangsa yang dianiayai menderita atau lebih teruk, meninggal dunia. Hampir semua drama itu diakhiri dengan pengamal sihir (orang yang membuat sihir atau pihak yang arahkan) menerima balasan sewajarnya dengan perbuatan jahat yang dilakukan seperti pepatah 'orang yang berbuat jahat dibalas jahat'.

Kita tidak boleh mempersalahkan pengarah drama itu atau menuduh pihak produksi cetek ilmu apabila tidak menyelitkan elemen perundangan kerana hakikatnya negara kita tiada undang-undang sihir. Dengan situasi semasa yang mana amalan sihir seperti menjadi keperluan untuk mencapai kepentingan peribadi termasuk kepada orang Islam, sudah sewajarnya pihak berkuasa memikirkan untuk merangka undang-undang bagi mengekang amalan syirik itu daripada terus berleluasa.

Seperti ditegaskan tokoh agama terkenal, Datuk Dr Haron Din, wujud keperluan mendesak supaya undang-undang sihir diwujudkan di negara ini kerana amalan itu semakin berleluasa dan mengancam akidah umat Islam.

"Berdasarkan keadaan semasa, eloklah difikirkan cara yang sesuai. Sudah tiba masanya kita ada undang-undang. Allah tidak akan ubah situasi tetapi masyarakat yang berhak mengubahnya," katanya selepas menjadi ahli panel pada Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis di Shah Alam, baru-baru ini.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid pula berpendapat semua mufti di setiap negeri seharusnya memikirkan permasalahan itu dengan serius kerana amalan sihir ibarat 'duri dalam daging' kepada umat Islam.

"Pengamal undang-undang boleh memberi idea untuk kerajaan mewujudkan undang-undang sihir supaya pengamal sihir boleh dikenakan tindakan sebagai pengajaran kepada orang lain," katanya.

Sihir adalah amalan menggunakan kuasa jahat yang sukar dilihat oleh pancaindera bertujuan menganiayai orang lain dengan pelbagai cara yang menyakitkan dan menyeksakan mangsa. Ibnu Khaldun mentafsirkan sihir sebagai ilmu untuk menghasilkan kesan negatif kepada mangsa dengan menggunakan anasir jahat daripada kekuatan kuasa ghaib (makhluk halus) bagi tujuan jahat yang tersembunyi.

Ad-Duktur Abdullah Mohd At-Toyyar pula mentafsirkan sihir sebagai azimat dan jampi mantera yang dilakukan pengamalnya yang memberi kesan negatif kepada hati (emosi) seseorang atau menyakitinya atau membunuhnya. Hujah bahawa pengamal sihir sukar dikenakan tindakan kerana pembuktiannya rumit tidak boleh dijadikan alasan oleh pihak berkuasa kerana ilmu hitam itu mempunyai rutin amalan.

Haron berkata, pengamal sihir kebiasaannya memerlukan bilik khas, tengkorak haiwan, tasbih, senjata lama seperti pedang dan keris, kain kuning atau biru, kemenyan dan semua itu boleh dijadikan bahan bukti untuk pendakwaan.

"Walaupun pembuktian amalan sihir lebih sukar berbanding kes bunuh, rompak atau jenayah
lain, semua rutin dan barang yang digunakan dalam pemujaan boleh dijadikan bahan bukti," katanya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW pernah disihir oleh ahli sihir pada zamannya dan Baginda mengambil tindakan sewajarnya yang menunjukkan fenomena sihir itu mesti ditangani pihak berwajib mengikut peredaran zaman.

Haron berkata, dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sihir adalah satu daripada tujuh perkara yang membinasakan pelakunya iaitu paling utama syirik kepada Allah, kedua adalah sihir dan ketiga kerana membunuh. Katanya, sudah jelas bahawa sihir lebih teruk daripada membunuh dan hukumnya sudah tentu haram berdasarkan keterangan itu dan beberapa dalil lain.

Katanya, dalil lain juga menjelaskan bahawa pengamal sihir itu kufur dan menyebabkan akidahnya rosak yang disengajakan, maka ia sama seperti murtad. Masyarakat Islam memahami dan menerima sihir adalah perbuatan syirik dan secara lisan menolak perbuatan itu tetapi masih ramai yang melakukan amalan yang menjurus kepada syirik.

Contoh paling ketara adalah sihir pengasih, ilmu bagi rumah tangga yang berdepan masalah orang ketiga, ilmu untuk pisahkan suami dengan orang ketiga, ilmu pemanis seri muka, ilmu supaya suami ikut cakap, ilmu pengikat kasih sayang suami, ilmu menggoda hati, minyak pengasih, minyak buluh perindu, serbuk mesra, ilmu pengasih Imam Mahadi dan ilmu penunduk untuk suami yang dikatakan mempunyai khasiat tiga dalam satu yang didakwa lebih mujarab daripada ilmu penunduk Nabi Sulaiman.

Walaupun sihir itu dinamakan pengasih, ilmu itu memudaratkan pasangan yang dituju kerana amalan itu mengandungi elemen paksaan pada pemikiran dan perasaan seseorang. Kesannya, institusi keluarga dan hubungan pasangan suami isteri akan bermasalah selepas mangsa menerima rawatan dan unsur paksaan pada pemikiran dan perasaan telah pun hilang.

Oleh sebab amalan sihir membawa kesan buruk seperti mangsa jatuh sakit dengan tiba-tiba tanpa sebab jelas, bermusuhan, bercerai-berai, gila, runsing yang kronik malah membawa maut, seharusnya pengamal dan orang yang mengarahkan sihir itu dikenakan hukuman berat. Amalan sihir juga seperti mencabar kuasa Allah, seolah-olah mereka lebih berkuasa membawa kemudaratan dan manfaat menyebabkan umat Islam keliru terhadap kekuasaan Allah.

Haron berkata, sihir itu haram mengikut syariat Islam kerana kesannya terhadap keimanan kepada Allah dan sumber ilmu diperoleh daripada syaitan. Atas dasar itu, katanya, pelakunya perlu dihukum bunuh seperti diriwayatkan At-Tirmizi bahawa hukuman terhadap ahli sihir adalah bunuh dengan pedang.

Haron bagaimanapun lebih cenderung mencadangkan supaya pengamal sihir itu dikenakan hukuman mengikut takzir iaitu diserahkan kepada hakim untuk menen-tukannya mengikut budi bicara dan bersesuaian dengan jenis kesalahan. Antara hukuman itu, buang daerah, penjara sekadar difikirkan patut, sebatan (mengikut syarak), mengikuti kursus pemulihan akidah selepas jalani hukuman dan dipantau rapi supaya kesalahan tidak diulangi.

Katanya, kes takzir memerlukan pembuktian lebih ringan dan mudah dengan bukti langsung, tidak langsung dan bukti sampingan lain berbanding hukum hudud yang memerlukan pembuktian tanpa sebarang syubhah. Dalam kes hudud, jika ada sedikit saja syubhah maka kes itu mesti digugurkan berdasarkan hadis Rasulullah yang menyuruh hakim melepaskan tuduhan hudud jika ada syubhah.

Orang Melayu khususnya di kampung dan pedalaman yang terlalu percaya kepada bomoh, dukun atau pawang perlu lebih berhati-hati kerana pengamal sihir kebiasaannya berselindung di sebalik gelaran itu.

Selain itu, mereka juga disyaratkan berzikir dengan perkataan yang tidak difahami bahasa dan maknanya (kemungkinan memuja nama syaitan), sembelih kambing, ayam atau merpati hitam dengan menyebut perkataan tertentu yang dilarang dan akhirnya membunuh orang Islam untuk diambil darah dan dipuja bagi menjamu makhluk halus.

Mereka perlu memastikan rawatan atau ikhtiar yang diberikan itu tidak bertentangan dengan hukum Allah, memastikan doa serta jampi dalam bacaan atau ruqyah memenuhi tiga syarat iaitu menggunakan ayat al-Quran, hadis atau doa yang difahami, berdoa menggunakan bahasa yang difahami dan berkeyakinan penuh hanya Allah yang menyembuhkan manakala manusia hanya berusaha.

Mufti, tokoh agama, pengamal dan penggubal undang-undang seharusnya memikirkan secara serius untuk merangka undang-undang sihir bukan saja untuk orang Islam malah bukan Islam kerana ilmu hitam itu merentasi agama dan bangsa.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan