KEHILANGAN dua enjin pesawat tempur F-5E milik TUDM menyebabkan kerajaan rugi RM100 juta mengikut harga pasaran enjin berkenaan. - Gambar hiasan
DEWASA ini kita sering didedahkan dengan pelbagai kejadian salah laku, penyelewengan dan kecuaian.
Ada yang melibatkan pembaziran wang rakyat dan tidak kurang juga membabitkan kecederaan dan kemalangan jiwa.
Rakyat kita memang kaya dengan pelbagai idea, perancangan dan kepakaran. Namun aspek pemantauan dan penyelenggaraan sering dikesampingkan atau tidak dititikberatkan.
Akibatnya sering kali ramai yang terpaksa menerima nasib malang dan menjadi mangsa keadaan. Bermacam-macam malapetaka dan kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian kita sendiri. Statistik kecederaan dan kemalangan jiwa terus meningkat.
Apabila sesuatu berlaku, kita sering menuding jari menyalahkan orang lain sebagai punca.
Runtuhan bumbung stadium dan terminal pengangkutan awam di Terengganu, runtuhan jambatan gantung di Perak, kehilangan enjin pesawat dan penyelewengan dalam perolehan jabatan kerajaan adalah antara beberapa contoh.
Tiada gunanya kita menyalahkan kontraktor atau pembekal semata-mata. Jika kita melakukan tugas pemantauan secara rapi dan berkala, maka kesalahan mereka pastinya dapat dikurangkan atau tidak berlaku langsung sebarang kecuaian.
Jelas keadaan ini tidak berlaku. Ternyata budaya memantau, mengawasi dan menyelenggara sesuatu tugasan tidak mendapat tempat dalam budaya kita.
Kita sudah terbiasa dengan budaya lepas tangan. Tidak peduli untuk memantau kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan sesuatu tugas berkenaan.
Akibatnya mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak masing-masing. Asalkan projek siap. Ada juga kerja-kerja yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.
Seharusnya pihak yang telah dilantik untuk memantau perlu lebih bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas pengawasan tersebut.
Mereka perlu dipertanggungjawabkan jika berlaku apa-apa kesilapan atau insiden yang jelas berpunca daripada kecuaian manusia.
Dalam hal ini tanggungjawab pegawai pemantau dilihat cukup penting supaya dapat memastikan setiap projek yang dilaksanakan itu disiapkan bukan sahaja mengikut tempoh tetapi mengikut peraturan dan juga spesifikasinya.
Mahu tidak mahu perlu diakui bahawa kebanyakan insiden melibatkan jabatan kerajaan, justeru ketua-ketua jabatan perlu memainkan peranan lebih serius dan efektif.
Ia perlu dilakukan terutama dalam memilih dan melantik pegawai pemantau yang benar-benar berdedikasi untuk tugasan sebegini.
Cukuplah kemalangan jiwa yang sudahpun berlaku selama ini. Usahlah menyalahkan takdir. Tindakan segera perlu diambil bagi membudayakan aspek pemantauan terutamanya di kalangan penjawat awam bagi mengatasi masalah ini.
Tiada gunanya kita membina bangunan tinggi, menyediakan kemudahan dan prasarana kelas pertama, membeli peralatan yang canggih namun akhirnya kesemua itu runtuh, rosak atau hilang akibat kecuaian dalam soal pengawasan dan penyelenggaraan.
Untuk itu, mekanisme pemantauan dan penyelenggaraan mungkin perlu dirombak secara menyeluruh agar ia lebih berkesan dan memberikan hasil yang lebih baik.
Marilah kita sediakan payung sebelum hujan daripada sedar apabila sesuatu telah terjadi. Kita perlu memberi penekanan kepada tindakan pencegahan daripada asyik melaksanakan pembetulan. Tidak guna membetulkan keadaan sesudah ada nyawa yang melayang atau ramai yang cedera parah.
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan