Rabu, 23 Disember 2009

Mutiara Kata Najib Sepanjang 2009


KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Tahun 2009 membuka lembaran baru kepada Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada 3 April.

Sebagai Perdana Menteri baru, kata-kata beliau menjadi perhatian umum, dan berikut antara petikan kata-katanya yang menarik sepanjang 2009.

*Saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan". (Perutusan penerimaan jawatan Perdana Menteri).

*BN akan pastikan bahawa janji-janji kita akan kita tunaikan dan kita sempurnakan. Apa yang kita tidak hendak ialah projek yang bersifat 'mi segera'. Kalau sesuatu projek itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan kita dah buat janji atau komitmen pada pilihan raya, kita akan tetap laksanakan. (Ketika mengulas komitmen kerajaan ekoran pilihan raya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai)

*Saya tak gilakan kuasa hanya kerana hendak dapatkan kuasa tetapi saya perlukan kuasa untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan kejayaan pembangunan negara. (Ucapan pada majlis keraian dan Jasamu Dikenang di Kementerian Kewangan)

*1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang diterjemah dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

*Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. (Ketika menjawab soalan mengenai 1Malaysia di Dewan Rakyat)

*Kita tidak perlu label "membangun bersama Islam" kerana kita telah lama memperjuangkan Islam dan telah memberi keselesaan hidup kepada umat Islam kerana kita tidak mahu umat Islam miskin dan tidak ada kekuatan. (Ketika menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur)

*Saya pergi banyak tempat. Ini ibarat kalau ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Kita sebagai pemimpin, jika turun ke bawah tanpa protokol, tanpa hamparan merah, tanpa bunga manggar tanpa apa-apa sambutan, tetapi kita duduk minum bersama rakyat, ambil berat masalah rakyat, rakyat akan tetap bersama dengan kita. (Berucap di Tawau sempena majlis berbuka puasa)

*Saya ingin melihat bahawa kita semua ada "sense of belonging" kepada negara Malaysia, tidak kira apa jua kaum tetapi kita merasakan inilah negara kita, inilah tempat tumpah darah kita, inilah negara yang kita akan menumpahkan taat setia dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.

*Kalau kita dapat merasakan perasaan itu, maka maknanya kita dah sampai pada penghayatan konsep 1Malaysia. Saya selalu sebut "One Dream, One People, One Nation" (Satu Impian, Satu Bangsa, Satu Negara). (Wawancara eksklusif dengan Bernama sempena Perhimpunan Agung Umno 2009)

*Persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan.

*Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah Umno, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan dengan penuh gilang-gemilang.

*Walau apapun dugaan, walau apapun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung.

*Setelah pindaan kita lakukan, berhijrahlah meninggalkan gejala negatif seperti politik wang, supaya kita menjadi parti yang bersih dan dihormati. (Ucapan dasar sulung selaku Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti).

*Kita akan berubah untuk yang lebih baik. Saya beri komitmen itu, kita akan berubah untuk yang lebih baik...tapi saya mintalah, bukan saya sahaja, jangan tengok PM saja, kita semua mesti menampakkan perubahan itu. Ini macam kereta api, (apabila) kereta api itu bergerak, tidak boleh boleh lokomotif itu sahaja, semua orang yang lain mesti bekerjasama.(Ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional parti Gerakan)

*Saya bukan Presiden Umno sahaja, saya pengerusi Barisan Nasional. Saya bukan sahaja Perdana Menteri untuk orang Melayu, saya Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia. (Ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional parti Gerakan)

*Kita mempunyai pendirian jelas bahawa asalkan untuk kebaikan, kita sanggup mengadakan rundingan. Ia bukan semestinya kita terikat tangan atas apa-apa persetujuan.

*Kita hendak cari sesuatu yang baik...sesuatu yang baik adalah tuntutan agama. Umno membuat sesuatu itu bukan berdasarkan politik tetapi tuntutan agama. (Bercakap kepada pemberita pada Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .

*Kita akan bertukar kepada sekolah satu aliran hanya apabila kita telah bersedia dan hanya jika inilah yang dikehendaki oleh rakyat. (Blog 1Malaysia:Sekolah Satu Aliran)

*Bukan kita marah dia, atau mencampak fail tetapi jemput dia ke bilik kita dan terangkan kepada dia kerja saudara/saudari tidak sampai kepada tahap kualiti yang saya kehendaki sebagai ketua jabatan. Hanya perkataan seperti itu, ia sudah memadai.

*Tak payah tumbuk meja, tak payah nak bertempik. Sebagai ketua jabatan anda hanya sebut beberapa perkataan, saya jamin, pegawai anda, pada satu masa nanti, akan menghasilkan kerja yang bermutu. (Perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri.

*Subsidi ialah penyakit, sekali anda menikmatinya, sukar untuk menolaknya. (Jamuan makan tengah hari Bankers Club).

*Saya percaya sebagai Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia, sangat penting bagi saya sendiri mengawasi pelaksanaan belanjawan pertama di bawah pentadbiran saya. (Blog 1Malaysia:Melaksanakan Belanjawan 1Malaysia)

Sumber : http://www.bernama.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan