Khamis, 17 Disember 2009

SYABAS MALAYSIA JUARA


Pemain dan pegawai skuad bola sepak negara meraikan kejayaan manis bersama pingat emas yang terkalung di leher masing-masing selepas menewaskan Vietnam pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Utama Kompleks Nasional Laos dekat Vientiane, semalam.

SKUAD negara mengakhiri kemarau 20 tahun pingat emas dengan penuh bergaya selepas membenam keegoan Vietnam menerusi kemenangan tipis 1-0 pada perlawanan akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA, semalam.

Bagi anak-anak buah jurulatih, K. Rajagobal, mereka bukan sahaja berjaya membalas dendam kekalahan 1-3 di tangan Vietnam pada peringkat kumpulan lalu, malah menerima penghormatan menjadi sukan yang menyumbang pingat emas ke-40 buat kontinjen negara pada temasya kali ini.

Walaupun gol kemenangan disumbang jaringan sendiri pemain Vietnam, keseluruhannya skuad negara berjaya mempamerkan kerjasama sepasukan dan komitmen tinggi sehingga terhasilnya jaringan emas itu pada minit ke-83.

Kemenangan itu turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan sekumpulan kecil penyokong Malaysia yang terpaksa berada di tengah ribuan penyokong Vietnam yang membanjiri stadium.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA ialah pada temasya 1989 di Kuala Lumpur dengan menewaskan Singapura 3-1.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota Hujung:

Tahniah pasukan muda Malaysia atas kejayaan mereka menewaskan ego pasukan Vietnam. Mereka sememangnya berhak untuk menang kerana semangat melawan kental yang ditunjukkan di sepanjang perlawanan tersebut. Ini hadiah manis buat penyokong bola sepak tempatan. Yang diharapkan, semoga kejayaan ini menjadi titik tolak ke arah kejayaan lebih bermakna pada masa akan datang. Malaysia Boleh!!!

1 ulasan:

  1. Salam Cikgu Taufik,

    Yang disasarkan 30 emas, tapi kita memperoleh lebih dlm Sukan SEA kali ini.

    Kebanggaan ini ditambah dengan kejayaan skuad bola meraih emas mengalahkan Vietnam 1-0.

    Mulanya, Vietnam memandang sinis kejayaan kita. Tapi berputih mata juga setelah 90 minit.

    TAHNIAH MALAYSIA.

    BalasPadam