Oleh ROSMIDZATUL AZILA MAT YAMIN
KEDATANGAN tahun baru 1431 Hijrah mengingatkan kita kepada rentetan peristiwa penting yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa tersebut merupakan hari bersejarah yang cukup istimewa bagi seluruh umat Islam dan menyingkap rahsia yang tersendiri.
Ia bukan sahaja membawa kepada bermulanya perkiraan Takwim Hijrah, bahkan ia juga merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi.
Hari bersejarah ini disambut setiap tahun oleh seluruh umat Islam di Malaysia bagi memperingati peristiwa penghijrahan tersebut. Konsep sambutan kebiasaannya dengan mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri.
Sambutan sedemikian merupakan satu inisiatif dan pendekatan yang baik kepada seluruh masyarakat Islam dalam mengimbau kembali sejarah penghijrahan Rasulullah SAW.
Intipati semangat cekal yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW semasa penghijrahan baginda wajar diteladani dan diaplikasikan oleh seluruh umat Islam, terutamanya dalam mengemudi bahtera kehidupan ke arah yang lebih baik demi mencapai keredaan Ilahi.
Jika diimbas kembali sejarah penghijrahan Rasulullah SAW, pelbagai laluan sukar, risiko berbahaya dan cabaran genting yang terpaksa baginda harungi terutamanya dalam menangkis serangan musuh demi mencapai keadaan yang lebih baik.
Cabaran-cabaran yang dihadapi tidak pernah mematahkan semangat baginda, malah ia berjaya ditangani dengan baik melalui perancangan, strategi dan tindakan bijak baginda dan para sahabat sehingga membawa kepada kejayaan penghijrahan tersebut.
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam konteks hari ini tiada lagi corak penghijrahan seumpama yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat. Namun demikian, konsep hijrah tetap berterusan di kalangan umat Islam. Ia tidak hanya statik kepada penghijrahan dari satu tempat ke destinasi yang lain sahaja. Bahkan ia mempunyai pengertian yang lebih luas dan menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan.
Dalam erti kata lain, konsep penghijrahan pada hari ini menjurus kepada hijrah daripada kejahatan kepada kebaikan dan daripada kebaikan ke arah yang lebih baik. Konsep penghijrahan pula perlulah secara istiqamah (konsisten) dan berterusan dalam meningkatkan iman kita menerusi usaha membersihkan sifat keji (mazmumah) dan melazimkan diri dengan sifat terpuji (mahmudah).
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik, dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahuinya.Mereka itu ialah orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya. (Surah an-Nahl, ayat 41-42).
Jika diamati secara terperinci, konsep hijrah dewasa ini menuntut umat Islam memanfaatkan segala peluang yang ada dan meningkatkan jati diri bagi memantapkan lagi keimanan untuk menghadapi pelbagai onak duri dalam era globalisasi yang serba mencabar.
Ia merupakan aspek penting yang perlu ditekankan bagi menggapai kemajuan mengikut acuan berlandaskan syariat Islam.
Dalam konteks ini, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah diri dan berusaha memperbaiki diri serta kehidupan dari semasa ke semasa. Jika usaha memperbaiki diri serta kehidupan dapat dilaksanakan secara berterusan dan memberi impak positif, ia memberi gambaran bahawa pengertian hijrah berjaya dihayati dan dilazimkan dalam kehidupan seharian.
Titik peralihan hijrah tidak hanya terhad kepada perubahan sikap diri sendiri dan kehidupan sahaja. Malah ia juga turut merangkumi titik perubahan terhadap persekitaran yang didiami. Misalnya, sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini kita diancam oleh perubahan iklim global yang cukup serius sehingga membawa kepada beberapa bencana alam yang besar.
Masalah ini tidak pernah lekang walaupun telah banyak usaha dan persidangan dilakukan bagi memperolehi jalan penyelesaian yang sewajarnya. Malah, usaha tersebut seperti dipinggirkan dan tidak membuahkan kejayaan ekoran tidak mendapat kerjasama daripada beberapa negara termasuk negara yang tergolong sebagai ‘gergasi dunia’.
Namun demikian, persidangan yang berlangsung di Copenhagen, Denmark yang dijadualkan berakhir pada hari ini diharap dapat memacu penghijrahan sikap yang besar terhadap usaha penggemblengan isu perubahan iklim yang kian meruncing dari hari ke hari.
Daripada komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua negara anggota (dengan kehadiran 15,000 peserta dari 192 negara) sepanjang persidangan berlangsung, ia telah menampakkan petanda dan titik peralihan positif dalam tindak balas antarabangsa berhubung isu perubahan iklim.
Mesyuarat tersebut yang beragenda untuk mencapai perjanjian baru mengenai pelepasan gas rumah hijau serta mengumpul berbilion-bilion dolar dana bagi menyalurkan bantuan dan teknologi hijau kepada negara-negara miskin diharap mampu mencapai matlamatnya tidak seperti usaha-usaha sebelum ini yang hanya termateri di atas kertas dan ‘hangat-hangat tahi ayam sahaja’ dek kerana tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada semua negara anggota.
Justeru, dengan kedatangan tahun baru hijrah ini diharap agar semua negara anggota terutamanya negara-negara Islam mengambil ‘roh’ hijrah Rasulullah agar matlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan melestarikan alam sekitar dapat direalisasikan dengan jayanya.
Sikap curiga antara negara miskin dan negara kaya dalam berkongsi kos pengurangan gas rumah hijau perlu dikikis agar tidak mencabuli matlamat asal penganjuran sidang kemuncak tersebut.
Sudah tiba masanya untuk setiap negara Islam menghayati pengertian konsep hijrah untuk disuaipadankan dengan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kepentingan bersama. Tidak ada ruginya negara-negara pengeluar utama membuang sikap egoistik mereka demi mencapai satu penyelesaian kepada permasalahan yang tidak pernah menemui titik noktahnya.
Dengan menginjaknya tahun baru hijrah ini, setiap negara khususnya negara Islam perlu menanam azam dan tekad yang kukuh untuk berhijrah daripada teknologi yang tidak mesra alam kepada teknologi hijau yang lebih selamat dan sihat kepada alam sekitar.
Hijrah ke arah pelestarian alam ini penting bagi menghentikan rintihan derita alam yang telah lama menagih sekelumit belas ihsan dan pengertian daripada sang khalifah.
Mudah-mudahan secangkir keprihatinan khalifah bumi dapat melorongkan penghijrahan yang tulus bagi memberi nafas baru kepada alam untuk terus teguh berdiri dan menyumbang bakti kepada seluruh penghuni bumi.
Tugas pelestarian alam tidak hanya terletak di bahu tampuk kepimpinan negara semata-mata, sebaliknya ia juga perlu digalas oleh setiap individu. Sudah sampai masanya setiap umat Islam berhijrah dari segi sikap iaitu mengusir sikap pesimis terhadap alam dan menyuburkan sikap optimis dengan disusuli niat kerana Allah SWT.
Firman Allah S.W.T. bermaksud: “…Sesungguhnya aku berhijrah kepada Tuhanku” (Surah al-Ankabut, ayat 26). Bahkan, dari segi pembangunan dan kemajuan umat, ia juga perlu selari dengan tuntutan agama dan dikembangkan secara berperingkat dan teliti demi meraih hasil yang positif.
Justeru, sempena ulang tahun 1431 Hijrah, setiap umat Islam perlu menetapkan tekad dan iltizam baru sejajar dengan matlamat serta aspirasi agama, bangsa dan negara.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Sumber : http: //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan