Sabtu, 12 Disember 2009

MUHASABAH KAEDAH INSAN INSAFI KESILAPAN

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

TAHUN baru 2010 bakal menampakkan sinarnya bererti umur manusia bertambah setahun lagi dan pastinya tahap kematangan fikiran semakin meningkat. Tahun 2009 yang ditinggalkan tentunya meninggalkan bermacam-macam nostalgia dan kenangan sama ada yang indah untuk diteladani atau tidak baik sebagai sempadan.

Islam amat menganjurkan amalan bermuhasabah sebagai agenda penilaian diri selepas setiap amal atau perbuatan selesai dilaksanakan. Sebagai seorang manusia, setiap saat dilalui adalah kehidupan. Manfaat diperoleh harus disyukuri dan segala mudarat mestilah cuba dielakkan agar tidak berulang kembali. Di sinilah letaknya peranan muhasabah diri yang sepatutnya dijadikan bahan pengukur keupayaan dan pencapaian diri.

Dalam konteks pengurusan, bedah siasat dilakukan selepas selesainya pelaksanaan sesuatu perancangan supaya sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan kekurangan itu dijadikan pengajaran supaya tidak berlaku berulang kali. Maka, dalam kehidupan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang tersandang di bahunya pelbagai tanggungjawab perlu lebih menilai pencapaian dirinya adakah semakin baik amalan dan ketaatanya kepada Allah atau sama saja seperti hari berlalu.

Memasuki 2010, pastinya azam dan perancangan 2009 disemak semula adakah terlaksana atau sebaliknya dan begitu juga apakah untuk tahun yang mendatang ini masih mengekalkan azam sama atau inginkan sesuatu yang lebih baik dan cemerlang. Justeru, di sini letaknya kepentingan muhasabah diri kepada setiap individu Muslim.

Berdasarkan Kamus Dewan, muhasabah ialah perbuatan menilai dan meninjau perasaan diri sendiri. Maka, individu yang bermuhasabah ialah individu yang membuat penilaian terhadap diri sendiri. Manakala, Kamus Pengetahuan Islam mendefinisikan muhasabah kepada beberapa pengertian iaitu:

Membuat perhitungan terhadap diri sendiri ketika berada di dunia sebelum datangnya hari perhitungan di akhirat kelak. Setiap orang itu perlu membuat perhitungan amalan baik yang dilakukan agar dapat ia menambahkan kebaikan. Jika amalan buruk yang sudah terlanjur dikerjakannya dapatlah ia menghentikannya.
Membuat rencana perkara kebajikan yang hendak diamalkan pada masa depan sebagai bekalan di akhirat kelak.
Mengadakan perhitungan amalan manusia di akhirat untuk menentukan siapakah yang patut menduduki syurga atau neraka.

Sebagai dalil rujukan, Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat)”. (Surah al-Hasyr ayat 18).

Ayat itu menjelaskan seseorang hendaklah sentiasa memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan apa yang sudah dilaksanakan sebelumnya kerana perancangan teliti hasil daripada muhasabah akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Rasulullah sendiri sering berpesan kepada sahabatnya dengan mengingatkan mereka melalui sabdanya yang bermaksud ‘perbaharui iman kamu’ supaya kualiti iman dapat dipertingkat dan tidaklah hanya berada pada takuk sama tanpa ada sebarang anjakan.

Umar al-Khattab pula pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur “hisablah (hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak”.

Ia menunjukkan individu Muslim yang mendambakan kebaikan dalam hidup mestilah menghiasi dirinya dengan sentiasa menghitung diri mencari dan mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dirinya bukannya hanya menghitung segala kebaikan yang pernah dilakukan. Jika dihitung amalan kebaikan semata-mata sudah pasti tiada keaiban diri yang disedari, tetapi jika kecacatan diri sendiri yang diperhati, maka sudah pasti seseorang itu akan berusaha menghilangkan keburukan itu agar diganti dengan kecantikan diri.

Peribadi Umar al-Khattab sendiri sebagai Amir al-Mukminun haruslah dijadikan idola dan contoh. Beliau selalu meminta orang ramai supaya menyatakan kekurangan dirinya. Tujuannya ialah untuk diperbaiki kesilapan yang beliau sendiri tidak menyedarinya. Lembaran sirah mencatatkan Umar pernah ditegur wanita dalam persoalan mengehadkan jumlah mahar. Malah, beliau pernah diacukan pedang oleh rakyat pimpinannya untuk diperbaiki kesalahan yang mungkin dilakukan olehnya ketika menjadi khalifah.

Lihatlah resmi setiap Khulafa al-Rasyidin Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali akan bangun berkhutbah selepas selesai perlantikan sebagai pemimpin masyarakat Islam. Antara inti pati ucapan mereka ialah mengharapkan agar orang Islam membetulkan apa-apa kesilapan yang mereka lakukan semasa memimpin dan memberi sokongan selama mereka berada benar di atas landasan al-Quran dan menolak mereka apabila mereka mengetepikan pimpinan wahyu dan sunnah rasul.

Inilah konsep muhasabah yang dipegang oleh pemimpin Islam terkemuka pada awal pemerintahan Islam selepas kewafatan Rasulullah. Maka, apabila pemimpin tertinggi negara secara terbuka meminta orang ramai membuat penilaian atas kepemimpinannya, maka masyarakat umum adalah lebih penting bermuhasabah diri sendiri di hadapan Allah adakah kita ini hamba yang benar-benar taat mematuhi perintahnya dan menjalankan kewajipan sebagai khalifah Allah yang diamanahkan sebagai pemakmur bumi ini?

Muhasabah diri mempunyai beberapa kelebihan kepada individu Muslim. Orang yang sentiasa bermuhasabah akan sentiasa menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas akan melakukan perubahan ke arah kebaikan. Secara tidak langsung apabila seseorang berasakan kelemahan dirinya, pasti dia akan cuba merangka strategi memperbaiki diri supaya kekurangan itu tidak selama-lamanya ada dalam dirinya. Ia hanya boleh dilakukan dengan menjauhkan perasaan ego dan sombong dalam diri. Jika fikiran, perasaan dan minda dikuasai perasaan bahawa dirinya baik tanpa kekurangan, maka selama itulah tiada perubahan yang dapat dilakukan ke arah pembaikkan diri yang lebih sempurna.

Muhasabah diri juga adalah satu jalan untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan hidup di akhirat. Dia akan sentiasa berasa kurang dan lemah diri di hadapan Allah dan cuba untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Bagaimanakah kaedah untuk mengetahui kekurangan dan kelemahan diri? Mungkin dirasakan amat susah untuk mengenal pasti keaiban dirinya sendiri berbanding aib orang lain kerana ramai manusia lebih mudah melihat kepada orang lain daripada melihat kepada dirinya sendiri.

(* tahun diubahsuai daripada artikel asal)

Sumber : http://www.islam.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan