Jumaat, 11 Disember 2009

SKUAD BOLA SEPAK KE SEPARUH AKHIR

PEMAIN Malaysia merai detik gemilang selepas Ahmad Fakri meledak gol kemenangan 2-1 ke atas Thailand petang semalam.

Singkir juara lapan kali berturut-turut untuk ke separuh akhir

TANGISAN bukan milik Malaysia apabila skuad negara gah menempah tiket mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, petang semalam.

Ketika segalanya ibarat sudah ternoktah, apabila Thailand menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-53, anak buah K Rajagobal menjelmakan kebangkitan luar biasa dengan dua jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir untuk menebus kehampaan dua tahun lalu di Korat.

Kejayaan itu menjamin pertemuan dengan tuan rumah, Laos, Isnin ini, ketika Thailand dipaksa pulang berduka selepas rekod 36 tahun tidak pernah gagal mara ke peringkat empat terakhir itu, akhirnya dileburkan.

"Hari ini, pasukan yang lebih baik menang dan pasukan itu adalah Malaysia. Saya amat gembira untuk pemain saya. Mereka tidak pernah mengalah biarpun ketinggalan. Saya bangga kerana mereka membuktikan punya kemampuan bangkit biar pun dalam situasi sesukar ini," kata Rajagobal sebaik tamat perlawanan.

Sememangnya pada peringkat mula, segalanya menuding ke arah pintu keluar. Malaysia perlukan kemenangan ketika Thailand hanya mencari seri untuk melangkah.


PEMAIN negara meraikan kejayaan luar dugaan mereka selepas mengejutkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand 2-1.


Petanda bahaya terjelma seawal minit keenam, apabila Ahmad Sharbinie Allawee berdepan situasi satu lawan satu dengan Sompong Soleb. Rembatan deras dijelmakan lawan, namun Sharbinie kemas mendakapnya.

Dua kesempatan dimiliki skuad negara pada babak pertama kedua-duanya menerusi gerak serang balas pantas. Sayangnya, Safiq Rahim tertampan sipi umpanan silang Norshahrul Idlan Talaha ketika Shahrul kemudian lambat menolak bola umpanan Safiq untuk benteng lawan cepat mengeluarkannya.

Minit ke-53, apa yang dibimbangkan bertukar menjadi nyata. Daripada sepakan percuma sedikit di luar kawasan penalti, Arthit Sunthorphit melencongkan bola cantik terus menerjah jaring tanpa Sharbinie mampu berbuat apa-apa.

Tetapi kemasukan Mohamad Azmi Muslim kemudiannya menyuntik kebangkitan apabila benteng lawan kerap kali dipaksa berundur. Hasil gerak balas pantas pada minit ke-81, lintangan pemain itu yang berlalu di hadapan pintu gol Thailand disambut Nasriq Baharom untuk mengikat kedudukan.

Selepas itu, Malaysia terus mengasak tanpa kenal erti mengalah. Dua minit pada masa kecederaan, usaha itu dibalas gol kemenangan Ahmad Fakri Saarani yang menghulur kaki untuk menyambung umpanan Norshahrul terus ke sasaran.

Kesebelasan Thailand rebah kecewa, diiringi tangisan, ketika seluruh pemain negara melonjak gembira apabila manisnya kejayaan berjaya direalitikan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

3 ulasan:

  1. Nak lawan Laos, tuan rumah dalam semi final. Dari segi rangking, Laos lebih bawah dari Thailand tapi semangat mereka memuncak sebab mereka bermain di laman sendiri.

    Pemain Malaysia mesti tunjukkan semangat melawan seperti mana dalam perlawanan menentang Thailand.

    Yang saya bimbangkan, skuad kita macam yoyo...

    Bimbang semangat hanya hangat-hangat tahi ayam.

    BalasPadam
  2. Feomena yoyo pemain Malaysia kerap kali menjadi faktor penggagal pasukan negara apabila bertanding di peringkat antarabangsa. Oleh yang demikian, para pemain perlu mengekalkan momentum yang ada sekarang dan seharusnya lebih fokus apabila berhadapan dengan pasukan Laos andai ingin menang pada tahap ini. Tidak ada yang mustahil jika kita berusaha. Rakyat Malaysia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anda.

    BalasPadam
  3. Kira nasib baik la kalau Malaysia ke final. Jangan puji lebih2 sangat skg, sebab selepas ini kita terpaksa kutuk dan hantam balik.
    Selepas ini jika meeka jadi 'star' maka akan berteraburlah semula bola sepak kita.
    http://gedungakal.blogspot.com

    BalasPadam