Sabtu, 5 Disember 2009

Perjuangan bahasa Melayu bermusim

BULAN Bahasa Kebangsaan sudah hampir sebulan berlalu tanpa ada suatu pun program yang boleh dibanggakan untuk dikenang sebagai usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Kalau pada hari pelancarannya kita lihat begitu berkobar-kobar dan bersemangat hendak memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan bahasa dunia.

Pejuang bahasa yang teramat lantang dulu entah ke mana menghilang. Tiada seorang pun yang bersuara mengenai kecelaruan penggunaan bahasa sekarang ini seolah-olah menjadi pejuang bermusim yang hanya bersuara pada waktu tertentu. Seperti ayam yang hanya berkokok pada waktu dinihari.

Sedikit masa dulu, pejuang bahasa begitu ghairah mengkritik kerajaan mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hingga membawa kepada penghantaran memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tokoh seperti A Samad Said dan Hassan Ahmad yang berkeras meminta kerajaan menarik balik PPSMI atas alasan mahu memartabatkan bahasa Melayu terus menyepi selepas peristiwa demonstrasi jalanan yang bersejarah itu.

Selepas itu tidak kedengaran apa-apa lagi. Barangkali mereka sudah puas setelah berjaya memaksa kerajaan menghabiskan entah berapa juta ringgit untuk menghasilkan buku teks baru, menggantikan buku teks PPSMI dulu. Kemudian berapa juta ringgit pula untuk menjalankan kursus bagi guru yang terbabit dengan pelaksanaan dasar baru memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris.

Sekarang semuanya kembali kepada asal malah semakin jauh daripada matlamat hendak meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dan bahasa ilmu. Pemimpin masih juga cenderung berbahasa Inggeris walaupun berucap kepada khalayak dari Malaysia sendiri. Tokoh korporat tetap dengan penuh ego menyampaikan maklumat dan mempromosikan produk mereka kepada rakyat Malaysia sendiri dalam bahasa Inggeris seolah-olah bahasa itu menjadi satu kemestian dalam bidang mereka.

Tiada siapa yang peduli dengan lambakan drama Melayu yang menggunakan dialog bahasa rojak. Tiada siapa peduli iklan yang terang-terang mencabar usaha memartabatkan bahasa Melayu. Malah Petronas sendiri yang dianggap sebagai sebuah syarikat nasional, membuat iklan dengan empat bahasa sekali gus seolah-olah bukan hanya bahasa Melayu saja bahasa rasmi negara ini.

Pejuang bahasa seperti bisu dan hilang taring. Kalau dulu begitu lantang dengan pelbagai kritikan, sekarang oleh kerana bukan musimnya, semua berdiam diri begitu saja. Seolah-olah kemunculan mereka bermusim.

Atau menanti tibanya musim pilihan raya atau sewaktu ada demonstrasi jalanan untuk mereka menjaja isu bahasa ini semula kerana kemunculan mereka pada waktu sensasi itu menjadikan mereka sedikit 'glamor'. Kita tunggulah apabila tiba musimnya nanti.

ILHAM SYAKIMA,
Yan, Kedah.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

1 ulasan: