Ahad, 20 Disember 2009

Rombakan menyeluruh sistem pertahanan kembalikan kredibiliti


Pesawat pemintas JET F-5E

MISTERI berhubung kes kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E bernilai RM50 juta perlu dirungkai segera. Tindakan tegas mesti dikenakan terhadap semua yang bersekongkol melakukan jenayah itu. Langkah segera perlu diambil bukan saja kerana nilai enjin J-85 keluaran General Electric (GE) itu besar, tetapi juga kerana implikasinya. Kita akur bahawa perbuatan mereka yang terbabit dalam jenayah itu satu pengkhianatan kepada negara. Bagaimanapun, yang lebih membimbangkan ialah ia seolah-olah memberi gambaran wujud kelemahan dalam aspek pertahanan negara. Kita tidak boleh menyalahkan jika ada pihak yang kini gusar kerana berpendapat jika enjin sebesar itu boleh ‘lenyap’ daripada kawalan pihak tentera, bagaimana pula dengan maklumat sulit atau rahsia ketenteraan. Tambahan pula, dokumen rekod penyelenggaraan enjin jet F-5E itu yang sepatutnya berada dalam kawalan ketat tentera, turut lesap. Ini tentunya menyebabkan ada yang yang membuat tanggapan tahap keselamatan negara mudah dikompromi. Sebab itu, susulan kejadian kehilangan enjin itu, satu rombakan wajar dilakukan terhadap keseluruhan proses, operasi dan sistem keselamatan pertahanan negara jika tidak pun struktur kepemimpinan pasukan terbabit. Tanpa sebarang niat atau prejudis, perubahan yang dilakukan mesti menjurus ke arah memulihkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kewibawaan pertahanan negara.

Kita akur kejadian kehilangan enjin pesawat F-5E itu yang kini dikesan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Amerika Selatan, adalah kes terpencil. Kita juga amat menghargai kepantasan dan kecekapan pihak berkuasa menyiasat kejadian itu serta melakukannya secara senyap. Bagaimanapun, pendedahan bahawa ia berlaku berikutan syarikat itu berjaya mengupah ejen daripada kalangan ‘orang dalam’ pasukan tentera untuk melarikan enjin terbabit, tetap membimbangkan. Apa yang penting sekarang ialah proses dan prosedur berhubung kait bidang strategik ketenteraan, khususnya berkaitan maklumat sulit keselamatan negara perlu diketatkan. Mungkin prosedur sedia sudah agak ketinggalan, atau mungkin juga ia terkini, tetapi wujud kelemahan dari segi pematuhan. Dalam pada kita bersyukur kerana yang hilang dalam kes ini sekadar sebuah enjin yang sudah usang, kita mesti berusaha meyakinkan semua pihak dan diri sendiri bahawa tiada data lain lebih penting yang sudah terlepas ke tangan pihak yang tidak sepatutnya. Kejadian ini mesti dijadikan pengajaran untuk semua pihak memastikan sebarang aset, khususnya maklumat strategik negara dijaga sebaiknya. Selain mengetatkan prosedur, semangat patriotik yang menjadi teras roh pasukan ketenteraan perlu diperkukuhkan di segenap lapisan warganya bagi memastikan ia tidak dapat dijual beli. Walau mungkin tidak ketara, kita mesti insaf ancaman terhadap kedaulatan negara sentiasa ada dan semua pihak tidak harus alpa walau sedetik pun. Pelanduk mungkin melupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Sumber: http: //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan