PENGGUNAAN bahasa untuk berkomunikasi perlu kena pada tempatnya dan digunakan dalam lingkungannya berpandukan prinsip komunikasi sebenar supaya mesej yang mahu disampaikan dapat difahami kedua-dua pihak dalam konteks komuniti.
Maksudnya, tidak semua bahasa boleh digunakan secara membuta tuli dalam semua kelompok kerana ia akan menyebabkan kegagalan dalam komunikasi boleh berlaku sekali gus merosakkan fungsi berbahasa itu sendiri.
Pakar komunikasi yang juga Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Abdul Muati Ahmad, berkata bahasa slanga hanya sesuai dalam kelompok remaja, dialek Kedah hanya sesuai dalam kalangan orang Kedah dan begitu juga bahasa dalam SMS hanya sesuai digunakan dalam mesej di telefon bimbit.
Justeru, katanya, semua pengkhususan bahasa itu tidak boleh dikeluarkan daripada konteks sebenar penggunaannya sama sekali dan jika berlaku, ia dianggap melanggar dan merosakkan prinsip komunikasi dalam menyampaikan mesej.
"Pakar bahasa di Indonesia, Sutan Takdir Ali Sjahbana pernah berkata, bahasa adalah satu simbol arbitrari iaitu dicipta manusia untuk tujuan komunikasi sesama sendiri. Justeru, jika bahasa itu sendiri tidak mampu menyampaikan mesej dengan sempurna, ia bukanlah ejen komunikasi yang sesuai.
"Dalam hal penggunaan SMS, telefon bimbit adalah satu perantara dalam komunikasi dan tidak boleh disamakan dengan komunikasi lisan atau bersemuka. Jadi, ia perlu sekadar digunakan dalam SMS saja. Tidak boleh keluar dalam konteks itu, malah adalah satu kesalahan jika ia turut digunakan dalam e-mel.
"Ini kerana, e-mel adalah satu konsep penulisan komunikasi surat yang menggunakan sistem dalam talian (online). Ia sepatutnya menggunakan kaedah penulisan yang sama seperti kita menulis surat. Tidak boleh diringkaskan dan menggunakan singkatan seperti di SMS," katanya.
Beliau berkata, tidak ada alasan bahasa dalam penulisan lain perlu diringkaskan kerana berbanding SMS, ia tidak membabitkan sebarang kos tambahan jika ia ditulis secara sempurna dan mengikut laras serta gaya bahasa yang betul.
Namun, beliau berkata, tidak menjadi sebarang kesalahan menggunakan singkatan dalam SMS selagi ia difahami kerana hakikatnya singkatan itu dibuat untuk menjimatkan ruang dan kos yang perlu dibayar.
"Namanya pun khidmat pesanan ringkas. Memanglah perlu diringkaskan seboleh mungkin. Selagi ia boleh difahami dan mesej itu sampai, tak ada sebarang kesalahan berlaku dalam komunikasi itu. Terpulang sama ada ringkasan itu dibuat bagaimana sekalipun, ia tak salah.
"Contohnya, memang ada yang marah apabila orang menaip 'askum' (Assalamualaikum), namun sebenarnya dalam konsep komunikasi ia tidak salah kerana sepatutnya si penerima perlulah membacanya sebagai Assalamualaikum, bukan 'askum'.
"Sama juga dalam singkatan lain. Kita selalu guna Rasulullah SAW, tapi apabila dibaca orang akan menyebutnya Sallalahu Alaihi Wassalam. Mana ada orang sebut 'saw'. Jadi, ia sepatutnya tak jadi isu sensitif. Penerima SMS itu sewajarnya menyebutnya dengan betul dan jika dia faham bahawa 'askum' itu mewakili Assalamualaikum, apa masalahnya?" katanya lagi.
Abdul Muati bagaimanapun berkata, bahasa SMS tetap tidak boleh dipakai dalam konteks lain, sama juga bahasa slanga yang popular dalam kalangan remaja tetap hanya sesuai dalam kelompok mereka juga dan menjadi satu kesalahan apabila digunakan dengan kelompok lain seperti orang tua.
"Konsep komunikasi mudah. Ia mesti membolehkan mesej sampai dan difahami. Sebagai contoh, kurang sesuai dan menjadi kesalahan sebenarnya jika orang Kedah menggunakan dialek Kedah di Johor sehinggakan orang tak faham. Sama juga dengan SMS.
"Berkenaan penyaluran emosi pula. Diakui memang sukar untuk memahami emosi dalam bahasa SMS kerana ia tiada intonasi tetapi jangan lupa bahawa sekarang ini ramai yang sudah suka menggunakan simbol emosi (emoticons) dan ia secara jelas melontarkan maksud dan emosi pengirim SMS ketika itu.
"Namun, ada juga orang masih tak faham simbol yang digunakan sekali gus membuktikan begitu terhad sekali kaedah komunikasi dalam penulisan terutama SMS. Namun, ia tetap teknologi terbaik dan jimat" katanya.
Beliau turut mengakui bahawa akibat penggunaan SMS secara berlebihan ketika ini memungkinkan ia bakal mempengaruhi penggunaan bahasa dalam konteks lain seperti penulisan e-mel dan surat rasmi tambahan pula telefon bimbit kini menjadi alat wajib yang dimiliki oleh hampir semua orang tak kira kanak-kanak, remaja mahupun dewasa.
Sumber : http://www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan