Sabtu, 30 Januari 2010

Hamka - Penjalin hubungan Malaysia-Indonesia

Oleh Dr. RAIS YATIM

SASTERAWAN-mualim Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang lebih terkenal dengan nama pendeknya Hamka masih dalam kenangan dan penilaian tinggi walaupun telah meninggal dunia 29 tahun lampau.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) serta pihak-pihak lain baru sahaja selesai mengadakan seminar mengenang kembali sumbangan pujangga nusantara itu 25 Januari lalu dengan penuh kejayaan.

Seminar itu dimajukan menerusi pelbagai kertaskerja dan penyelidikan yang menyerlahkan kembali satu-satunya tokoh agama dan sasterawan ulung Indonesia yang mampu menghasilkan 68 buah buku sepanjang hayat 73 tahun. Seminar yang asalnya bingkisan mahasiswa anak-anak Minang UKM diserikan dengan persembahan seni budaya dengan penglibatan pelbagai personaliti, budayawan, ahli politik, penyelidik dan penulis, termasuk anakanda Hamka sendiri, Bapak Rusdi Hamka. Beliau berkunjung khas dari Jakarta untuk bersama-sama khalayak karyawan seni di Malaysia.

Walaupun seminar UKM itu menarik perhatian dan lantas menyingkap dan menyumbang pelbagai aspek kehidupan al-buya itu, elemen yang tetap menonjol ialah kehidupan dan sumbangan Hamka kepada masyarakat ilmuan, kerukunan hidup sebagai Muslim dan pembudayaan cara hidup yang positif.

Masyarakat pembaca Indonesia dan Malaysia tidak lupa akan sumbangan dan peranan besar Hamka dalam mensejagatkan nilai-nilai murni kehidupan. Sama ada melalui pidato atau penulisan buku, majalah, rencana dan lain-lain bentuk penyampaian, hakikatnya ialah ketokohan dan keahlian Hamka dalam dunia komunikasi dan penulisan tradisional sudah terbukti. Beliau juga merupakan seorang pejuang bahasa, sastera, penyumbang falsafah dan pencetus. Beliau senang dengan Albert Camus, Leo Tolstoy dan lain-lain penulis dunia yang berjiwa besar di samping berkemampuan berlunas dengan pelbagai aspek Islam.

Seorang yang hanya sempat belajar hingga ke peringkat sekolah rendah di Maninjau, Sumatra Barat sebelum Perang Dunia Pertama, beliau bangkit dengan kesungguhan mempelajari bahasa Arab atas dorongan bapanya. Beliau selanjutnya menajamkam gaya penyampaian bahasa Indonesia yang mudah dan menarik; melahirkan novel-novel klasik seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (1937, Merantau ke Deli (1940) Di Bawah Lindungan Kaabah (1936) dan 64 buku penulisannya yang lain.

Pada tahun-tahun 1970 hingga 1980-an buku-buku Hamka menjadi bahan bacaan wajib bagi kursus-kursus sastera di Malaysia dan Singapura. Di Brunei juga Pak Hamka menjadi personaliti cendekiawan ulung. Pada thun 1936 sahaja beliau menghasilkan lapan novel dan penulisan bukan fiksyen. Sifat prolifiknya diakui di Nusantara dan dunia Arab.

Sekalipun beliau tidak pernah belajar di universiti, penulisannya menembusi bukan sahaja universiti tempatan di Indonesia tetapi juga di Malaysia dan di Timur Tengah. Pada tahun 1958 Universiti Al-Azhar menghargai beliau dengan anugerah Honoris Causa. Pada tahun 1974 UKM pula memberi pengiktirafan sama.

Mesej

Hamka sentiasa menganjurkan mesej kesejagatan manusia melalui Islam di samping menyuarakan aspek-aspek kemurnian berfikir dalam konteks kehidupan masyarakat Indonesia-Malaysia. Beliau juga amat prihatin dengan kehidupan masyarakat adat di Minangkabau walaupun beliau mengajukan banyak pembaharuan di dalam kehidupan masyarakat beradat di Minangkabau. Buku karangannya Adat Minangkabau Menghadapi Revolusi (1946) mencerminkan perihal ini.

Selepas beberapa hari menerima Honoris Causa dari UKM pada tahun 1974 Hamka menerima jemputan Almarhum Tuanku Jaafar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Dalam ceramahnya di Masjid Sri Menanti beliau mengajukan supaya keturunan masyarakat Minang di Negeri Sembilan turut lentur dan memperjuangkan kebenaran dengan keindahan alam di Sri Menanti. Berikut pantun yang digubahnya di ceramah itu:

Pisau raut di bonkok hulu

Dibentang tilam tengah alaman

Pasir dan laut menjadi guru

Alam terbentang jadi pedoman

Antara 1970 hingga 1978 Hamka kerap berkunjung ke Malaysia atas anjuran pelbagai pihak. Setiap kali beliau berceramah usaha merapatkan Malaysia-Indonesia tidak pernah dilupai. Anjuran Hamka ialah supaya masyarakat sentiasa mengambil langkah-langkah kemasyarakatan dan keagamaan dalam merapatkan kedua-dua negara ke arah persaudaraan intim. Beliau sentiasa mencari asas-asas perpaduan budaya melalui Islam, adat Perpatih dan lain-lain lingkungan hidup. Gaya Hamka berpidato agak biasa, termasuk yang disampaikannya melalui Radio dan Television Malaysia (RTM) ketika itu, tetapi perbandingan bayangannya yang sering cenderung kepada keadaan di Minangkabau dan Tanah Jawa amat ketara. Penggunaan ayat-ayat al Quran dan hadis memang beraliran mudah di bibirnya di samping menyelitkan kata-kata dan perbilangan adat.

Sewaktu Presiden Sukarno mengasakkan dasar konfrontasi terhadap Malaysia sebelum Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, Hamka banyak memainkan peranan untuk kontra dasar "ganyang Malaysia" anjuran Sukarno. Masih diingati kata-kata beliau dari Jakarta, "Mengapa perlu bertingkah senjata dengan jiran yang sebangsa, seagama dan sebudaya. Bukankah kita serumpun?". Kata-kata itu amat ketara untuk menonjolkan pendirian kasihnya terhadap Malaysia.

Cekal

Lantaran pendiriannya yang cekal menyanggahi dasar ganyang Malaysia, pemerintahan Sukarno mengenakan Hamka hukuman tahanan rumah bagi tempoh 1964-1966.

Tuanku Jaafar memang tertarik dengan penulisan, pidato dan komunikasi Hamka yang lunak terhadap Malaysia. Yamtuan Negeri Sembilan itu pernah mengutus seorang sahabat ke Jakarta untuk menziarahi beliau dalam tahanan. Malangnya permohonan untuk menemui Hamka telah tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Indonesia ketika itu.

Dalam tempoh tahanan itulah Hamka menyiapkan karya besarnya Tafsir al-Azhar dalam lima jilid. Beliau pernah mengakui secara positif bahawa penahanannya selama dua tahun itu memberi peluang kepadanya menyudahkan karier hebatnya itu.

Seminar mengenai sumbangan Hamka yang dikendalikan di UKM minggu lalu membawa banyak kenangan di samping manfaat sampingan. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan lantas menyumbang dermasiswa penyelidikan mengenai Hamka, peranannya sebagai seorang pujangga, seorang guru, pejuang kebenaran dan khususnya sebagai pembina jambatan muhibah Indonesia-Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen