Isnin, 1 Februari 2010

Agenda nasional melebihi etnik

Oleh Syed Azwan Syed Ali

MELEWATI 40 tahun episod rusuhan kaum 13 Mei 1969, masyarakat negara ini tidak pernah berputus asa untuk menjadikan impian bangsa Malaysia sebagai realiti.

Bermodalkan toleransi, pelbagai cabaran antara kaum dan agama berjaya ditangani secara berhemah.

Buktinya, kesepaduan sosial masih kukuh di negara ini sekalipun setiap rakyat yang tergolong dalam kelompok masing-masing masih mempunyai isu dan masalah yang belum selesai.

Misalnya isu kalimah Allah sejak awal tahun ini benar-benar menguji sejauh mana hubungan "stable tension" antara kaum itu (keadaan hubungan kaum di negara ini seperti disifatkan Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik UKM).

Insiden cubaan membakar beberapa gereja dan terbaru insiden kepala babi hutan diletakkan di perkarangan masjid di Petaling Jaya ekoran isu itu dilihat sebagai cubaan pihak tertentu untuk menggugat hubungan kaum di negara ini.

"Ini bukan sentimen rakyat Malaysia," kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia menyuarakan pandangan majoriti rakyat Malaysia menolak perbuatan tidak bermoral itu.

Namun persoalan timbul sejauh manakah toleransi mencukupi untuk negara berhadapan dengan tempoh 50 tahun akan datang? Ini kerana senario sekarang amat berbeza berbanding tahun 1970-an di mana sumber maklumat kini pantas, pelbagai dan tanpa batasan.

Antara tiga teras gagasan 1Malaysia ialah penerimaan, yang menerangkan kepentingan semua pihak untuk bergerak daripada toleransi kepada penerimaan sepenuhnya apabila seseorang individu itu akan menerima sesuatu perkara yang beliau memahaminya dan bukan kerana terpaksa seperti mana toleransi.

Faham 1Malaysia

Tinjauan Bernama mengenai pemahaman 1Malaysia dalam kalangan rakyat contohnya dari aspek keadilan sosial mendapati setiap kaum memberikan maksud keadilan mengikut perspektif kaum masing-masing.

Secara analoginya, jika suatu kelompok mendapat sebuah rumah maka kelompok lain juga mahu sebuah rumah.

Sebelum ini, aktivis sosial Dr. Chandra Muzaffar dalam program temu bual di TV1 melihat keadilan bukan dari sudut kaum sahaja tetapi dari sudut keadilan itu sendiri iaitu cabaran utama masyarakat negara ini.

Beliau memberikan contoh bagaimana dasar afermatif, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dipersalah sedangkan dasar itu berjaya mengurangkan jurang kemiskinan kaum serta melahirkan ramai golongan pertengahan Bumiputera sekali gus mengelakkan insiden 13 Mei daripada berulang ketika berlakunya krisis kewangan 1997.

Jika struktur ekonomi masih sama seperti sebelum 1970-an, maka keadaan sama yang berlaku di Indonesia, di mana kaum minoriti Cina yang menguasai ekonomi diusir keluar, mungkin berlaku di Malaysia, kata Dr Chandra.

Dalam hal ini, beliau menekankan sepatutnya kepincangan dalam pelaksanaan DEB dipersoalkan bukan menyalahkan dasar itu.

Persoalannya, andaian seumpama ini mungkin berlaku ekoran kecenderungan melihat sesuatu perkara dari sudut etnik sehingga mengaburkan nilai sebenar 'keadilan' yang dirumitkan dengan kepentingan sempit sesetengah pihak.

Penerimaan kaum

Felo penyelidik utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Prof Dr. Teo Kok Seong berkata konsep penerimaan hanya akan berlaku, sekiranya semua pihak meletakkan agenda nasional melebihi kepentingan etnik masing-masing.

"Negara yang utama, identiti etnik kedua. Ini tidak bermakna kita harus bersikap pesimistik tapi insaf pada realiti," kata Prof Kok Seong menyifatkan jurang antara kaum dan agama semakin meluas pada ketika ini kesan polarisasi di semua peringkat termasuk di sekolah dan tempat kerja.

"Pemahaman antara kelompok dengan kelompok lain makin kurang. Kalaupun ada perpaduan, ukurannya amat rendah dan berlaku secara simbolik," katanya.

Prof Kok Seong merujuk kepada 'perpaduan' yang hanya digambarkan pada papan iklan dan drama atau filem di mana lazimnya ditonjolkan watak Melayu, Cina dan India sebagai mewakili Malaysia sedangkan terdapat lebih 20 suku kaum di negara ini.

Mahasiswa jurusan Kesusasteraan Inggeris daripada UPM, Gan Wee Liang, 23, turut bersetuju dengan pandangan Kok Seong mengenai perpaduan yang bersifat superficial itu.

Anak kelahiran Muar, Johor yang pernah mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLNK) berkata semua pihak sepatutnya menumpukan kekuatan masing-masing untuk memajukan negara bersaing dengan negara lain dan bukannya bergaduh sesama sendiri.

Harapan pada 1Malaysia

Sambil menaruh harapan tinggi pada gagasan 1Malaysia, Wee Liang mahu kerajaan mengkaji kenapa ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di luar negara terutama dalam kalangan kaum bukan Melayu.

"Mungkin mereka merasakan negara tidak sayangkan mereka kerana menganggap kerajaan hanya memberi tumpuan kepada satu kumpulan," kata Wee Liang merujuk kepada kepincangan dalam pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan sebelum ini.

Felo utama Institut Kajian Etnik UKM Datuk Dr. Denison Jayasooria berkata dalam hal berhubung isu sensitif, kerajaan mestilah dilihat jujur untuk menjadi 'orang tengah' dan tidak memihak kepada golongan tertentu.

Apa yang dilihat, polarisasi kaum yang bermula di sekolah hingga ke alam pekerjaan (perkhidmatan awam dan swasta) menerangkan kenapa 'identiti etnik' semakin menebal dalam kalangan generasi muda kini.

Bagi pensyarah hubungan etnik Dr. Lee Yok Fee dari UPM semua pihak perlu menerima 'kepelbagaian budaya' sebagai hakikat yang menterjemah negara ini, jika mereka mahu masa depan negara terus terjamin.

Perlembagaan Persekutuan juga perlu dijadikan rujukan, kata Yok Fee. Dengan menjadikan Wawasan 2020 sebagai ukuran, perjalanan negara untuk maju hanya tinggal kurang 10 tahun lagi. Justeru, semua pihak perlu meletakkan agenda negara melebihi kepentingan etnik bagi memastikan survival negara pada masa akan datang.

Seperti mana kata Prof Kok Seong, "benteng etnik yang ada seharusnya saling melengkapi bukannya saling menyaingi. Tuntutan tentang sesuatu perkara perlulah berasaskan kepada keperluan semasa bukannya atas kepentingan sempit".

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan