Jumaat, 29 Januari 2010

Juruteknik sambilan didakwa hina kesultanan Johor

SEREMBAN 29 Jan. - Seorang juruteknik komputer sambilan yang bakal melangsungkan perkahwinan esok, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina institusi kesultanan Johor dan rakyat menerusi penulisannya dalam laman blog adukataruna.blogspot.com.my.

Khairulizam Abdul Ghani, 29, membuat pengakuan tersebut hari ini selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zambri Abu Bakar.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No. 297 Rumah Rakyat Panchor di sini antara pukul 7.25 malam dan 9.05 malam, 22 Januari lalu

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport antarabangsanya.

Peguam Mohd. Radzlan Jalaludin yang mewakili Khairulizam pula memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh bakal melangsungkan perkahwinannya esok.

Zambri kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Hakim turut menetapkan 31 Mac ini bagi sebutan semula kes itu.

Mengikut laporan akhbar, Khairulizam menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 4.40 petang, 26 Januari lalu.

Dia dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam satu artikel dan disiarkan dalam blog berkenaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Nota hujung:

Bagi penulis tindakan ini memberi pengajaran kepada kita agar menjaga tatasusila agama dan budaya dalam mengeluarkan apa-apa jua pandangan yang menyentuh peribadi orang lain. Apatah lagi jika hal tersebut menyentuh peribadi insan yang telah meninggal dunia. Memperkatakan perilaku negatif orang lain tergolong dalam istilah 'mengumpat' yang dilarang dalam agama. Peribahasa Melayu ada menyatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Semoga alam perkahwinan yang bakal ditempuhi tertuduh menjadikan dirinya lebih matang dan bertanggungjawab. Selamat Pengantin Baru!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan