Seolah-olah menjadi satu trend saban tahun sambutan tahun baru yang berpaksikan ‘gaya hidup’ moden Barat dijadikan peluang bagi remaja untuk meraikan sambutan tahun baru dengan kawan-kawan. ‘Sudah lewat malam’ dan tidak sempat untuk pulang ke rumah dijadikan alasan untuk bermalam dengan kawan atau teman lelaki.
Apa sudah jadi dengan remaja kita? Pastinya keluhan sahaja tidak memadai kerana persoalan ini melibatkan isu moral dan akhlak.
Dengan angka populasi yang menunjukkan jumlah keseluruhan generasi muda yang berumur antara 15 hingga 40 tahun meliputi seramai 11.2 juta orang atau kira-kira 41 peratus daripada 27.2 juta penduduk Malaysia, pastinya sumbangan generasi muda dalam menjayakan 1Malaysia dan NKRA yang diumumkan baru-baru ini amat dituntut.
Dalam realiti hari ini, pastinya negara memerlukan angkatan belia yang berwibawa, berwawasan, berpendidikan, bersahsiah dan mempunyai jiwa 1Malaysia. Hakikatnya, apa yang dapat diharapkan jika remaja kita terus hanyut dan terjerumus dalam kancah maksiat? Satu persoalan yang amat menuntut perhatian semua pihak.
Justeru amat penting golongan anak muda menjaga keterampilan diri dan moral kerana mereka bukan sahaja generasi pewaris keluarga, malah juga pewaris bangsa dan negara. Kemuliaan peribadi golongan belia melambangkan identiti sesebuah bangsa, jika baik peribadinya maka baiklah identiti sesuatu bangsa, jika sebaliknya maka buruklah pandangan masyarakat terhadap bangsa tersebut.
Madah pujangga Arab ada mengatakan “Jika kamu ingin melihat keagungan sesuatu bangsa maka lihatlah peribadi kaum belianya”. Jelas sekali keperibadian yang tinggi di kalangan belia mencerminkan kemuliaan sesuatu bangsa.
Remaja hari ini ternyata keliru tentang sambutan tahun baru. Mereka tidak dibimbing ‘sewajarnya’ erti sambutan tahun baru yang sepatutnya memberi keutamaan dan memanfaatkan kedatangan Maal Hijrah.
Kita menyedari cakap sememangnya senang, namun untuk melaksanakannya tidak semudah yang diungkap. Namun jika kita tidak bertindak, siapa lagi yang kita harapkan? Apa yang perlu kita sedari bahawa usaha ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah untuk kita semua laksanakan.
Menyedari betapa kuatnya pengaruh golongan ini terhadap usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah, adalah menjadi satu keperluan agar setiap individu belia disuntik dengan didikan dan asuhan agama yang secukupnya agar mereka tidak mudah terpedaya dan terjerumus.
Dalam memperkatakan soal ini, kita tidak boleh lari daripada membicarakan peranan ibu bapa, ibarat cubit paha kiri paha kanan terasa sakitnya. Tidak cukup sekadar menyediakan makan, minum, bantuan kewangan dan tempat tinggal tetapi peranan ibu bapa melangkaui aspek tersebut. Ibu bapa perlu mengawal perlakuan, pergaulan dan penampilan anak-anak kita kerana kemuliaan diri seseorang mencakupi jasmani dan rohani.
Oleh itu adalah penting dan menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga hati para remaja supaya tidak dicemari dan menjadi rosak kerana jika rosak golongan pelapis ini maka hancurlah sesuatu bangsa dalam sesebuah negara. Gagasan 1Malaysia, NKRA dan apa jua yang direncanakan tidak akan berjaya sepenuhnya jika golongan ini tidak bersama membantu kerajaan.
Negara amat memerlukan kudrat dan dinamisme golongan belia untuk memacu negara ke arah 1Malaysia yang bebas daripada jenayah dan ancaman sosial tetapi apakah yang dapat dijanjikan oleh golongan anak muda yang lemah, menghisap dadah, meminum arak, berpeleseran, berkhalwat dan sebagainya?
Apakah yang dapat disumbangkan oleh anak-anak muda yang hanya mementingkan hiburan dan keseronokan semata-mata? Anak-anak muda jelas lebih berminat program hiburan dan ‘realiti’ daripada menghadapi realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat.
Generasi muda perlu bangkit dan bermuhasabah kerana usia remaja hanya datang sekali sahaja seumur hidup. Kesempatan yang ada perlu digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan diri, menjaga nama baik ibu bapa dan memberi sumbangan kepada bangsa dan negara. Jika aspek sosial juga menjarakkan kita dengan bangsa lain, apa lagi yang tinggal untuk kita?
Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Perlis
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Remaja pewaris kepemimpinan; pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, tapi apa yang berlaku adalah pemuda merosakkan pemudi, anak zina bercambah di sana sini, mak ayah tak peduli, guru asyik fikir gaji, pemimpin masyarakat sibuk tambah rezeki, akhirnya kita semua yang rugi.
BalasPadam