Oleh Ibrahim AbdullahSEWAJARNYA acuan hidup Rasulullah sebagai gambaran penampilan diri yang amat istimewa sentiasa dicontohi umat Islam. Secara fizikal, tingkah laku, sikap, tutur kata, pemikiran, emosi hingga keikhlasan hati dan keluhuran jiwa baginda terserlah sekali gus mencerminkan bentuk keperibadian yang nyata. Ia menyentuh dan membekas begitu mendalam pada sanak saudara, sahabat, tetangga dan kawan.
Tidak hairan selepas Rasulullah wafat, sahabat bertanya kepada Aisyah  bagaimanakah gambaran baginda selama hidupnya? Aisyah tidak mampu  menahan linangan air mata sambil berkata: “Segalanya begitu menakjubkan  bagiku,” dan pada waktu lain Aisyah menjawab: “Sesungguhnya akhlak  baginda adalah al-Quran.”
Secara fizikal, Rasulullah digambarkan sebagai lelaki yang kuat,  gagah, berani, dada bidang dan itu ditandakan dengan kuatnya baginda  melakukan banyak ibadat, mengerjakan pekerjaan biasa sebagai lelaki dan  bahkan turut berperang. Tidak ada pilihan terbaik dalam mencontohi  penampilan diri kecuali apa-apa yang Rasulullah ajarkan.
Al-Quran menginformasikan Rasulullah adalah teladan utama bagi  umat manusia. “Sungguh ada pada diri Rasulullah itu suri teladan baik  bagi kamu sekalian iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan  kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah  Al-Ahzab: 21).  
Keteladanan Rasulullah tidak hanya terbatas sejak baginda  diangkat menjadi nabi dan rasul bahkan sejak baginda dilahirkan hingga  wafat. Seluruh perjalanan hidup dan perjuangan baginda menjadi uswah  hasanah dan teladan yang baik bagi umat manusia.    
Dalam istilah agama, perjalanan hidup dan perjuangan baginda  dinamakan as-sunnah. Secara bahasa, perkataan as-sunnah bererti  kebiasaan atau tradisi. Namun dalam istilah agama, as-sunnah adalah apa  yang menjadi kebiasaan Nabi Muhammad, perkataan, perbuatan mahupun  persetujuan baginda mengenai suatu perbuatan yang dilakukan sahabat,  sejak diangkat menjadi nabi dan rasul mahupun sebelumnya.  
Ringkasnya as-sunnah adalah sirah atau perjalanan hidup baginda  sejak lahir hingga wafat keseluruhannya adalah uswah, teladan agung bagi  umat manusia.
Contoh uswah keteladanan, keunggulan, ketrampilan Rasulullah  dalam kehidupan baginda dari remaja sehingga menjadi nabi dan rasul,  juga pemimpin negara dan pemerintahan dapat dilihat meskipun baginda  lahir sebagai anak yatim kerana kehilangan ibunda tercinta sejak berusia  empat tahun. Baginda membesar sebagai remaja yang cerdas (fatanah),  jujur dan boleh dipercayai (amanah), serta benar (siddiq) dalam ucapan  dan perbuatan.  
Muhammad Husain Haikal, penulis sirah (biografi) terkenal dari Mesir menyatakan, rahsia kejayaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib tidak hanya ditentukan oleh empat sifat yang menjadi kredibiliti seorang nabi dan rasul tetapi juga kerana baginda sejak remaja memiliki kebiasaan ta’ammulat, mengamati, memikirkan, merenungkan keadaan sekitar, alam maya, geografi, sosial, politik dan kebudayaan termasuk adat istiadat masyarakat Arab waktu itu.
Hasil proses ta’ammulat yang dilakukan secara tekun dan teliti itu menjulang baginda menjadi remaja yang mempunyai teladan dan peribadi cemerlang. Baginda juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit antara kabilah di Makkah ketika meletakkan Hajaral Aswad di tempat asalnya di Kaabah. Kehadiran baginda menjadi rumusan bagi pelbagai masalah dengan kreatif, inovatif dan cerdas pemikiran mahupun tindakan.
Dalam rumusan yang diusulkan baginda ada nilai kearifan, kecerdikan dan kepintaran yang boleh menjadi inspirasi bagi pejuang perdamaian, keadilan dan kemanusiaan. Bahkan dalam kata hikmah disebutkan ‘yadullah maal jamaah’ (tangan Allah berada dalam jemaah kebersamaan).
Jelas, banyak lagi contoh teladan boleh diambil untuk mencontohi dan mengikuti jejak langkah yang ditampilkan Rasulullah dalam kehidupan harian bagi kaum Muslimin bersempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.
Firman Allah bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyya': 107).
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan