Sebagaimana maklum, di sinilah dahulu kita melancarkan buku demi buku ataupun program demi program yang berkaitan dengan seni budaya atau apa jua yang boleh melonjakkan tamadun di tanah air yang dikasihi. Atas usaha-usaha itu juga, kita berkumpul pada pagi ini bagi meningkatkan semula azam ke arah mencetuskan minat supaya tulisan jawi amnya dan Utusan Melayu hidup terus kembang dan maju.
Saya masih ingat bagaimana sukarnya kita pada 2006 untuk menghidupkan semula cetusan perasaan dan sokongan terhadap akhbar ini. Setelah kita melangkah sekian lama dalam jurusan-jurusan yang pada saat ini tidak wajar kita sebutkan satu persatu, maka timbul persoalan yang paling penting untuk dijawab iaitu bagi kita bertanya kepada diri sendiri, bagaimanakah akhirnya skrip budaya, skrip tamadun tulisan jawi ini di sisi masyarakat Melayu dan di sisi masyarakat Malaysia sendiri.
Saya memang sedar tulisan skrip Mandarin boleh mendokong industri penerbitan yang menguntungkan dan saya diberitahu bahawa, akhbar seperti Nan Yang Siang Pao, China Press serta Sin Chew Jit Poh melonjak dan terus melonjak, bukan sahaja dari segi penerimaan masyarakat rakan-rakan Tiong Hua kita tetapi dari segi perusahaan perniagaan itu sendiri.
Mengenai tulisan Tamil yang didokong oleh akhbar-akhbarnya juga menjadi tamparan hebat kepada masyarakat Melayu di negara ini tentang skrip tulisan jawi kita sendiri yang tidak dapat muncul ke tahap seperti yang dilaksanakan bagi rakan-rakan kita di bawah etnik yang dua itu.
Bagi saya, tentu sekali hal ini berkaitan dengan pelbagai aspek persoalan, antara persoalan-persoalannya adalah soal budaya, soal pendekatan yang kita harus pecahkan dan atasi iaitu pembudayaan itu sendiri. Soal ini amat berat dan mendalam, tentu sekali tidak wajar dan tidak mampu bagi kita berpolemik. Ia mesti menjadi sebagai satu ukuran kepada pemikiran orang Melayu sendiri.
Tetapi soalnya adakah masyarakat Melayu itu sendiri berfikir ke arah itu, atau mereka hanya senang melihat apa yang dianggap sebagai kesimpulan-kesimpulan bahasanya sendiri. Adakah orang Melayu kita sedar bahawa bahasanya sendiri sedang berada pada graf yang menurun dari segi sebenar. Saya tanya rakan-rakan, antara lapan yang menjawab, dua kata benarlah itu tetapi yang enam lagi hanya melebarkan senyum kepada saya.
Aspek pesimis ini kita lihat dahulu, kita lihat bagaimana Latin hilang daripada pengaruhnya, kita lihat bagaimana tulisan Palawi Melayu hilang setelah ia diinskripsi. Hal-hal ini bukan hanya menimbulkan inti pemikiran kepada para sarjana atau mereka yang menganggap diri mereka sebagai sarjana tetapi ini adalah landasan sejarah kita.
Apakah yang harus kita lihat semasa sempatnya kita bercakap secara spesifik sedikit tentang budaya dan tulisan serta bahasa kita. Pertama, saya tidak segan untuk menyatakan semula iaitu selagi orang Melayu tidak pasif terhadap budayanya, kepada seninya, kepada bahasanya, selama itulah kita terpaksa tanggal topi minta derma untuk menghidupkan budaya kita sendiri.
Ini merupakan satu perkara yang memalukan bagi kita. Sepatutnya Utusan Melayu diberi sebesar-besar sokongan, sepatutnya tulisan jawi orang berfikir dengan lenggok skripnya walaupun dengan wajah baru kita tukar sedikit, namun skrip jawi itu, ayat-ayat dalam al-Quran itu, ayat-ayat dalam hadis itu perlu kembali menjadi igauan kita atau impian kita.
Oleh kerana ini tidak berlaku, maka apa yang disebut oleh Ruth Benedict (buku Pattern of Culture) itu benarlah iaitu kita tidak dapat keluar dari kepompong yang menyekat kita untuk bertindak proaktif menerusi budaya kita sendiri.
Saya telah bandingkan iaitu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang bahasanya sekarang bukan lagi sekerat ular tetapi hanya seperhitungan, sekecil-kecil dan sependek-sependek yang dapat kita baca.
Di negara Arab, didapati SMS itu masih dalam jawi sebahagiannya seperti di Mesir, Jordan dan di beberapa tempat. Tetapi di sini, kita tentu tidak memikirkan hal itu semua, jadi bagi kita untuk mempersoalkan dalam konteks komunikasi, apakah wajar atau tidak kita cuba menskripkan jawi menerusi SMS.
Ini namanya local content atau kandungan tempatan. Apabila dilihat dalam telefon bimbit, bahasa Mandarin boleh di SMS dari Hong Kong ke Singapura dan juga dari setempat ke tempat yang lain.
Apa yang ingin saya cetuskan adalah minda terbuka untuk membantu bibit budaya kita kembali. Soal yang penting dijawab kini apakah agensi budaya yang menyatukan kita adalah bahasa. Tetapi kalau bahasa tidak tercetus dalam hati kita untuk menggemblengkan tenaga, kita tidak akan sampai ke mana.
Kita hanya boleh menyanyi dalam lagu kita, bersenandung lagu lama dalam bahasa kita, tetapi kita tidak menjiwai bahasa kita.
Soalnya, apakah pembaharuan yang boleh kita bawa ini memerlukan pendekatan politik. Bukan itu sahaja tetapi kesedaran di kalangan kita seperti perkara 160 Perlembagaan Malaysia iaitu seseorang yang berbahasa Melayu secara lazim beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Adakah ketiga-tiga itu kita isi dengan ketiadaan jawi kita, dengan salahnya kita bercakap sekarang, dengan rencong dan sukarnya kita berhubung dalam bahasa Melayu dan sentiasa menggunakan perkataan-perkataan orang lain.
Jawapan itu ada di dalam, cuma bagi kita yang hadir dan bagi mereka yang membuat dasar, mungkin apa yang disebut sebagai kilatnya beliung sudah ke kaki dan kilatnya cermin sudah ke muka.
Dalam konteks inilah, saya mengucapkan tahniah kepada Perpustakaan Negara, kepada Utusan Melayu, kepada cerdik pandai dan rakan-rakan yang masih tersisip di dalam dadanya untuk berjuang.
Sebab itu apa yang diserukan oleh Datuk Aziz Ishak perlu kita ambil sebagai natijah baru iaitu disisipkan dalam pemikiran kita dan saya pohon juga kepada Kementerian Pelajaran supaya soal tulisan jawi ini diperluaskan sedikit formatnya dan juga anjuran kita menerusi aktiviti.
Oleh yang demikian, saya suka memberikan komitmen kepada Utusan iaitu komitmen yang telah kita berikan selama ini sejak 2006 akan kami teruskan.
Tentu sekali orang-orang yang berskripkan yang lain seperti yang saya sebutkan tadi akan bertanya, apakah hanya dengan sokongan kerajaan sahaja maka Utusan dapat menerbitkan akhbar Utusan Melayu? Kita mahu menerangkan dan menyatakan kepada pengkritik kita, akan sampai masanya orang Melayu mampu mengeluarkan akhbar Utusan Melayu dalam konteks tulisan jawinya sendiri tanpa sumbangan orang lain.
Kita harus mencipta beberapa permulaan. Pertama adalah bagi kita menyedarkan korporat-korporat yang berwajib untuk menyumbangkan kepada penyelidikan dan promosi tulisan jawi ini menerusi pensosialan memasyarakatkan jawi dalam beberapa aspek.
Beberapa program kuiz, program mengarang dan juga penonjolan di televisyen serta radio perlu kita lakukan. Gurindam, pantun, perumpamaan mesti kita galakkan semula dan mengenal skrip jawi itu sebagai skrip budaya dan tamadun kepada orang Melayu.
Mari kita lihat bagaimana Tun Sri Lanang menulis bukunya, masa itu rumi tidak ada maka sejarah Melayu lahir. Bagaimana Hamzah Fansuri menjadi seorang intelek dan menyumbangkan kepada penulisannya, bagaimana undang-undang 99 Negeri Perak ditulis.
Semua ini mesti menaikkan semula perasaan hilang pusaka dan sekiranya hilang pusaka ini dapat kita rasai, kementerian ini dengan rakan-rakan di swasta dan juga kawasan-kawasan perjuangan yang lain, kita peruntukan bagi mereka azam dan program itu.
Setelah itu, mungkin dapat kita lihat semula bagaimana jawi dibudayakan dalam penulisan dan untuk itu kementerian ini ingin mencadangkan bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka kita terbitkan cerpen dan novel pendek dalam tulisan jawi.
Selain itu, parti politik yang utama, UMNO seharusnya memainkan peranan mengedarkan akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan.
Sekiranya kita mempunyai 138 pejabat penerangan di bawah kementerian ini, saya kira setiap hari Isnin harus kita letakkan edisi Utusan jawi di meja jabatan penerangan itu.
Inilah sebahagian daripada langkah-langkah yang mungkin dapat kita laksanakan secara sementara sebelum penggemblengan pemikiran dan tenaga dapat kita juruskan seterusnya.
Janganlah dirasakan bahawa saudara berseorangan dalam hal ini. Kami akan meneruskan peranan sebagai sahabat dan juga sebagai orang yang boleh diharapkan semasa kita memerlukan pertolongan.
Yang lebih penting pada saya adalah orang Melayu sendiri harus dijagakan daripada tidur mereka dan menghargai tulisan jawi ini. Soalan terakhir, adalah setakat mana mereka boleh berbuat demikian. Ini harus kita juruskan kepada program-program yang disajikan menerusi beberapa kementerian termasuk pelajaran, kementerian ini sendiri dan beberapa kementerian lain.
Menentukan had-had dan peranan kementerian adalah satu hal, tetapi ia merupakan satu hal yang lain bagi masyarakat sendiri untuk mengambil bahagian.
Dalam keadaan sebeginilah maka pada tengah hari ini, kita harus melafazkan kalau tadi kita telah disebutkan dalam selokanya apa yang harus kita dakapkan di dada kita berhubung dengan tulisan jawi.
Pulasan berduri di seberang
Ada jua di kampung Pandan
Tulisan jawi tetap dikenang
Selama hayat dikandung badan
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan