Jumaat, 26 Mac 2010

Sastera tempatan terpinggir?

Datuk Dr. Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10

Oleh Aznan Bakar

pengarang@utusan.com.my

SIAPA di kalangan generasi muda kita hari ini yang kenal akan nama seperti Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad atau Arena Wati? Nama-nama besar dalam dunia sastera ini cukup asing pada mereka.

Malah generasi Internet, ipod dan komputer riba ini merasakan sastera tidak lagi penting dan tidak menyumbang apa-apa dalam kehidupan.

Jadi, tidak hairanlah ruang yang diberikan untuk aktiviti sastera di negara ini semakin hari semakin sempit.

Berbeza dengan masyarakat barat, karya-karya milik penulis besar seperti William Shakespeare terus disanjung hingga hari ini.

Hasil karya tersebut terus dicari termasuk di kalangan generasi muda dan masih dijual secara meluas kerana ia terus diminati.

Tetapi karya penulis lama kita yang bergelar Sasterawan Negara hendak dijadikan buku teks pun tidak layak.

Seolah-olah apabila seorang sasterawan itu meninggal dunia, hasil karyanya yang dianggap tidak ternilai turut dikuburkan bersama.

Jika ada yang mengingati sekalipun hanya oleh kelompok-kelompok kecil melalui majlis tidak rasmi.

Adakah ini bermakna hasil karya tempatan semakin terpinggir?

Jika hendak dikaitkan dengan budaya membaca, masyarakat kita suka membaca. Sebab itu kedai-kedai buku daripada jenama antarabangsa memenuhi setiap pusat membeli belah. Begitu juga dengan kedai-kedai kecil.

Tetapi boleh dikatakan 99 peratus buku yang dijual diimport. Karya sastera penulis luar negara memenuhi rak pameran.

Tetapi jangan tanya buku yang ditulis Arena Wati, Usman Awang, A. Samad Said atau Shahnon Ahmad. Sebabnya pasti anda akan mendapat tenungan yang tajam dari penjaga kaunter. Jawapannya juga pasti tidak ada.

Jika ada sekalipun hanya beberapa naskhah sahaja.

Senario ini memberi gambaran masyarakat kita hari ini tidak tahu menilai jerih payah golongan bergelar sasterawan ini.

Sudah payah mereka berfikir, mencipta dan menghasilkan bahan untuk dikongsi dengan masyarakat tidak diberi layanan yang setimpal.

Sebab itu golongan penulis di negara ini tidak mampu hidup senang apatah lagi bergelar jutawan seperti di Barat. Paling tinggi diberi anugerah bergelar datuk ketika usia memasuki senja.

Hal-hal berkaitan diri dan kerja mereka sekadar dibincang melalui persidangan, seminar atau wacana yang terhad kepada kelompok tertentu.

Kebelakangan ini media cetak juga semakin kurang memberi tempat kepada bahan-bahan bercorak sastera atau aktivitinya. Seminggu sekali dianggap memadai.

Di media elektronik aktiviti berkaitan sastera ini langsung tidak dipeduli kecuali jika tetamu yang hadir adalah orang besar.

Mulai tahun ini juga pelajar sekolah akan mengkaji karya-karya seperti "Budak Rap", "Legenda Budak Setan" dan "Untuk Tiga Hari" yang hanya berkisar kepada kisah-kisah cinta remaja.

Hairan juga kenapa karya-karya mereka yang bergelar Sasterawan Negara tidak diberi keutamaan sebagai buku teks di sekolah. Sedangkan novel-novel mereka sarat dengan semangat perjuangan, patriotisme dan nilai-nilai hidup serta kaya dengan nilai kesusasteraan yang tinggi.

Novel-novel Shahnon misalnya, banyak berkisar tentang kehidupan yang mampu mengajar generasi muda akan pentingnya menghargai apa yang mereka nikmati hari ini kerana ia hasil usaha dan kerja keras generasi dahulu.

A. Samad Said pula banyak mengisahkan tentang hidup di zaman perang. Sementara karya-karya Usman Awang mampu meniup semangat perjuangan dan bersangkut paut dengan peristiwa besar negara.

Adakah ini memberi gambaran bahawa sastera tempatan yang sarat dengan nilai kesusasteraannya semakin dipinggirkan?

Sebaliknya, karya-karya moden yang lebih komersial diangkat semata-mata atas pertimbangan untung dan rugi.

Atau masalah ini berpunca daripada para penggiat sastera itu yang menyifatkan diri mereka sebagai kumpulan elit yang hanya bergaul sesama sendiri?

Sebab itu aktiviti sastera hari ini dikatakan hanya membabitkan kelompok yang sama hingga menyebabkan ia tidak berkembang.

Hanya mereka yang pakar dalam bidang ini dan mereka yang menggelar diri mereka sebagai penggiat sastera sahaja yang mampu menjawabnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan