MENTERI di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala, membentangkan peranan subsidi sempena Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Aizuddin Saad
SAMA ada negara ini akan bebas sepenuhnya daripada penggantungan subsidi bergantung kepada kerelaan hati rakyat untuk memahami senario persaingan dunia hari ini demi generasi masa depan. Betul, tidak ada orang yang begitu mudah melepaskan apa yang sekian lama dinikmati walaupun menyedari hakikat, mereka tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada subsidi. Langkah untuk mengurangkan subsidi di negara ini bukanlah perkara baru. Walaupun pada suatu ketika rakyat agak ‘malu’ apabila dikaitkan dengan mentaliti subsidi, jika ada ura-ura untuk memansuhkannya, ia sering terhalang. Mungkin ketika itu, kaedah menyampaikan maklumat kurang jelas dan rakyat tidak dapat menerima rasional perlunya subsidi dikurang atau dimansuhkan.
Hari ini pembiayaan subsidi yang begitu besar menyebabkan kerajaan terpaksa meminjam. Dengan pembayaran subsidi berterusan, kerajaan terpaksa menanggung hutang berpanjangan. Tahun lalu kerajaan berhutang untuk menanggung subsidi yang RM74 bilion. Mungkin masanya sudah tiba untuk kerajaan melihat semula bayaran subsidi ini khasnya berhubung subsidi sosial, makanan, tenaga dan infrastruktur termasuk tol. Kita yakin, pengurang atau pemansuhan subsidi akan melegakan akaun negara.
Subsidi ternyata menyumbang kepada beberapa kesan negatif. Sebagai contoh, subsidi tenaga (petrol, gas cecair asli, LPG dan elektrik) mencatatkan jumlah RM23.5 bilion tahun lalu. Subsidi itu menyebabkan harga petrol lebih murah berbanding negara jiran. Akibat, bahan api itu diseludup ke negara jiran. Ini bermakna, Malaysia turut membiayai subsidi petrol rakyat negara jiran. Ini turut meningkatkan kos penguatkuasaan bagi melengkapkan keperluan logistik, membiayai kemudahan, penyelenggaraan serta pemantauan.
Gula dan minyak masak juga dijual dengan harga subsidi. Akibatnya, pengguna mengambil gula secara maksimum dan kerap membazir. Gula berlebihan menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengalami obesiti dan kencing manis yang turut menghasilkan pakej penyakit darah tinggi, jantung atau buah pinggang. Akibatnya, kos kerajaan membiayai subsidi perubatan meningkat. Gula juga diseludup ke negara jiran. Ini mencetuskan rentetan akibat yang saling berangkai dan rencam. Mengikut semangat asal, subsidi bermakna membantu pihak yang memerlukan. Tetapi, kini semakin jelas, subsidi kerajaan lebih banyak meliputi pihak yang berkemampuan atau dinikmati mereka yang tidak berhak.
Sewajarnyalah kerajaan menggariskan kerangka kerja merasionalisasikan subsidi untuk bergerak ke depan secara lebih ekonomik dalam perubahan sosiopolitik sekarang. Langkah itu juga akan mengelakkan pembaziran dan penyalahgunaan yang merugikan berbilion ringgit setahun.
Umumnya, subsidi menyebabkan peningkatan defisit bajet dan hutang sekali gus mengancam keupayaan kerajaan melaksanakan pembangunan negara. Semua unsur negatif ini tidak sewajarnya dibiar berterusan. Menyusun semula keutamaan dalam soal pembiayaan subsidi akan membolehkan kerajaan lebih fokus membela golongan kurang berkemampuan seterusnya membina masyarakat yang mampu berdikari. Merasionalisasikan subsidi juga bermakna melebarkan komitmen kerajaan meningkatkan taraf sosioekonomi setiap rakyat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan