LEBIH 91,000 pelarian kini berada di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Daripada jumlah itu, seramai 19,000 pelarian kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah tetapi jika diperhalusi kepada usia persekolahan, jumlahnya 13,900 orang.
Bagaimanapun Wakil UNHCR di Malaysia, Alan Vernon berkata, hanya 5,100 pelarian atau 30 peratus yang belajar di sekolah manakala 70 peratus lagi tidak bersekolah.
"Jumlah tidak bersekolah begitu besar maka beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) prihatin terhadap perkara ini dengan memberi peluang pendidikan kepada komuniti itu.
"Namun apa yang lebih membimbangkan kerana tidak banyak kemudahan pendidikan untuk golongan muda berumur 12 tahun ke atas," katanya kepada Mingguan mStar.
Alan berkata, kanak-kanak pelarian tidak bermasalah, namun sekiranya mereka tidak diberikan pendidikan pada usia muda maka akan memberi masalah kemudian hari.
"Mereka hanya menetap sementara di Malaysia dan akan diserahkan ke negara ketiga atau dihantar pulang ke negara asal masing masing.
"Pendidikan awal membantu memberi persediaan kepada mereka apabila berada di negara terbabit serta memberi sumbangan kepada masyarakat," katanya.
Sehubungan itu katanya, masih banyak perkara perlu diperbaiki melibatkan tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran dan paling penting adalah sumber kewangan. Walaupun masyarakat menyedari tentang kepentingan pendidikan namun tidak dinafikan segelintir ibu bapa pelarian enggan menghantar anak mereka ke sekolah.
Mereka bimbang anak-anak berkemungkinan ditahan oleh pihak berkuasa berikutan pelarian masih dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Maka tidak hairanlah banyak sekolah untuk pelarian beroperasi di rumah berbanding membangunkan kemudahan pendidikan lebih terancang," kata Alan.
Beliau berkata, kanak-kanak pelarian mempelajari bahasa tetapi apa yang penting sebagai permulaan dalam kehidupan mereka adalah kebolehan membaca dan menulis.
Sehubungan itu, UNHCR berharap agar lebih banyak penyertaan masyarakat tempatan memberikan sumbangan sama ada sukarelawan atau keperluan pendidikan.
Alan berkata, pada masa sama, UNHCR berusaha mencari jalan untuk bekerjasama rapat dengan NGO dan kerajaan bagi memperbaiki kualiti dan peluang pendidikan.
"Diharapkan dengan kesedaran dan keprihatinan semua pihak, ia dapat meningkatkan bilangan kanak-kanak pelarian yang belajar di sekolah.
"Kami perlu berusaha untuk mencapai matlamat itu kerana sudah ada perkembangan mengenainya namun perlu diperkasakan lagi untuk ke arah lebih baik," katanya.
Setakat ini, terdapat 67 sekolah komuniti untuk pelarian di seluruh negara di mana sebahagian besarnya diuruskan oleh sukarelawan pelarian sendiri.
UNHCR memberi sokongan kepada program pendidikan seperti latihan perguruan, peruntukan buku teks, geran sekolah, sumbangan dana dan khidmat sukarelawan.
Terdapat 322 sukarelawan berdaftar dengan UNHCR dan daripada jumlah itu seramai 163 orang ditempatkan di 40 sekolah komuniti untuk mengajar beberapa subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Sumber : http://mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan