Isnin, 13 Disember 2010

ISU PELARIAN : 'Kehidupan Semula' Untuk Kanak-Kanak Pelarian

Sebahagian kanak-kanak pelarian Myanmar yang mendapat kemudahan pendidikan di Malaysia.

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PERSEKITARAN sunyi sepi deretan bangunan kedai empat tingkat terbengkalai yang dipenuhi rumput lalang begitu menyeramkan.

Pasti ramai beranggapan lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan itu sekadar menjadi markas penagih dadah atau kongsi gelap.

Namun rasa hiba menyelubungi diri penulis tatkala melihat sebilangan kanak-kanak kecil berbaris menuruni tangga dari aras satu di salah sebuah unit blok bangunan itu.

"Itulah kanak-kanak pelarian Myanmar yang sedang menunggu waktu rehat," kata Henry Martinus kepada penulis yang tergamam melihat keadaan itu.

Masakan tidak, walaupun dalam keadaan serba daif yang mungkin tidak pernah difikirkan manusia bahawa kawasan itu sebenarnya dibangunkan sebagai sekolah.

Hakikatnya, itulah senario yang dihadapi Henry, seorang rakyat tempatan yang menjadi sukarelawan demi memperjuangkan nasib kanak-kanak pelarian di negara ini.

Dia mengasaskan sekolah Joy Bausum yang dahulunya dikenali sebagai Agape Home School sejak tahun 2007 bagi memberi peluang pendidikan kepada golongan itu.

Sekolah berkenaan mempunyai empat kelas yang menghimpunkan seramai 75 pelajar berusia dari lima sehingga 17 tahun.

Pada masa ini, seramai lima guru secara sukarela mengajar kanak-kanak pelarian itu bagi subjek Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Seni dan Muzik.

Henry berkata, sebilangan kanak-kanak itu tidak pernah pergi ke sekolah dan antaranya sudah lama meninggalkan alam persekolahan selama beberapa tahun.

"Idea membuka sekolah ini bertujuan memberi kesedaran mengenai betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan manusia, ibarat kehidupan semula selepas merasai keperitan dan kesengsaraan ekoran kemelut yang berlaku di negara asal.

"Keadaan ini sebenarnya mematangkan diri malah sebagai persediaan untuk mereka menyesuaikan kehidupan baru apabila dihantar ke negara ketiga," katanya.Riak wajah tenang Henry bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kesedihannya kerana tidak mampu menyediakan kemudahan lengkap untuk kanak-kanak yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

Itulah cabaran yang terpaksa dihadapi dengan sumber kewangan terhad yang mengharapkan ihsan sumbangan daripada gereja dan individu perseorangan.

"Namun kanak-kanak ini tidak pernah merungut malah lebih ceria kerana menerusi pendidikan itu mereka dapat merasai kehidupan seperti orang lain.

"Mereka tidak minta kemewahan. Apa yang mereka mahu adalah kehidupan dan itu yang mereka peroleh apabila belajar di sekolah," katanya.

Sementara itu, di sekolah lain di Kuala Lumpur, Khampi seorang warga Myanmar cekal membantu anak-anak senegaranya mendapatkan peluang pendidikan.

Dia yang tiba di Malaysia empat tahun lalu merupakan antara tulang belakang di Pusat Pendidikan Zomi (ZEC) untuk kanak-kanak pelarian Myanmar bagi etnik Zomi.

Bermula hanya satu cawangan dengan seramai 30 kanak-kanak pada November 2007, ZEC kini mempunyai lebih 300 pelajar di enam cawangan.

Memulakan sesi pembelajaran dari pukul 10 pagi hingga 3 petang itu, masing-masing beroperasi sekitar Kuala Lumpur, Cheras, Klang dan Kajang.

Khampi berkata, sekolah itu memberikan pengalaman sebenar kepada kanak-kanak pelarian itu bagi membina masa depan lebih baik.

"Pendidikan membantu kanak-kanak ini membangunkan negara mereka bagi mengembalikan harapan selepas melalui kemelut sebelum ini.

"Ia juga sebagai usaha memupuk kesedaran agar mereka lebih memahami tentang dunia luar termasuk penerimaan komuniti pelarian di negara ini," katanya.

ZEC mengenakan yuran sebanyak RM25 sebulan turut menyediakan kemudahan asrama bagi pelajar yang tinggal berjauhan dengan sekolah.

Pusat pendidikan itu turut menerima sumbangan kewangan serta keperluan daripada individu, gereja dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bukan mudah untuk mengawal selia kanak-kanak pelarian di bawah satu bumbung, kata Khampi yang turut dibantu oleh sukarelawan Myanmar dan Malaysia.

Cabaran besar baginya apabila kanak-kanak itu tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Senario itu paling dibimbangi Khampi serta ibu bapa kanak-kanak terbabit namun pada masa sama tidak menafikan pendidikan amat penting dalam kehidupan.

"ZEC adalah sekolah komuniti yang membuka minda kanak-kanak pelarian ini agar mereka berasa lebih dihargai seolah-olah diterima oleh masyarakat tempatan.

"Sekolah ini adalah peluang untuk mereka membuka hari baru dalam kehidupan mereka yang lebih baik maka berikanlah ruang yang lebih untuk itu," katanya.

Sumber : http://mstar.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan