Khamis, 24 Mac 2011

Muhyiddin : Isu Interlok selesai dengan baik

Ahli Panel Bebas Mengkaji Pindaan Interlok

KUALA LUMPUR 24 Mac - Isu novel Interlok sudah selesai apabila kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada 19 perkara itu, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya dan digantikan dengan perkataan 'golongan yang sama'.

Menurutnya, tiga perkara lagi iaitu berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai.

Katanya, daripada 13 lagi perkara yang berbaki, tujuh perkara turut diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan 'errata' di dalam novel itu bagi membuat pembetulan dan pengguguran.

Jelasnya, enam perkara lain juga selesai kerana penulis turut bersetuju untuk meminda perkataan 'tuhan' kepada 'dewa' dan menggugurkan frasa 'orang berkulit hitam'.

"Panel Bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan 'tali' dipinda kepada 'taali.

"Alhamdulillah, dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada kerajaan, isu ini telah dapat diselesaikan dengan baik.

"Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit manapun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar. Dengan persetujuan yang telah dicapai, kementerian menganggap bahawa isu ini telah selesai," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam)serta empat lagi pertanyaan ahli Parlimen lain berhubung kedudukan Interlok sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pelajar tingkatan lima pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kata Muhyiddin, kementerian akan menyediakan glosari bagi memperjelaskan beberapa frasa dan konsep dalam novel itu untuk memudahkan pelajar memahami konteks novel yang memaparkan kehidupan harmoni masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penelitian yang dicapai oleh Panel Bebas membuktikan bahawa pengguguran frasa yang menyebabkan kemelut pada novel Interlok adalah satu testimoni nyata bahawa tiada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja rundingan.

Jelasnya, semua ahli panel termasuk wakil masyarakat India bersetuju untuk menyerahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit membuat suntingan yang wajar terhadap novel itu dalam cetakan akan datang.

Tambah beliau, episod Interlok menjadi bukti kepada rakyat negara ini betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat-menghormati antara kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia terus subur.

Beliau seterusnya merakamkan penghargaan kepada ahli Panel Bebas iaitu Pengerusi, Prof. Datuk Shamsul Amri Baharuddin; isteri penulis Interlok yang mewakilinya, Datin Siti Saroja Basri; Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan; Datuk Termuzi Abdul Aziz; Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin; Prof. Dr. NS Rajendran; G. Krishnabahawan dan penulis bebas, Uthaya Sankar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan MIC yang telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri selaku Menteri Pelajaran untuk mengambil keputusan bersama bagi menyelesaikan isu itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan