Rabu, 23 Mac 2011

SMS Tuanku Munawir SBP paling cemerlang

Pengetua SM Sains Tuanku Munawir, Sabuddin Sani (berjaket) bersama para pelajar cemerlang menunjukkan isyarat "satu" selepas muncul sekolah terbaik kebangsaan dalam peperiksaan SPM 2010 di Seremban, Negeri Sembilan.

SEREMBAN 23 Mac - Penambahbaikan program serta modul pembelajaran yang berkesan menjadikan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SMSTM), di sini dinobatkan sebagai sekolah berasrama penuh (SBP) paling cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Pencapaian membanggakan itu turut menyaksikan 143 daripada 266 calon SPM sekolah berkenaan memperoleh pangkat A dalam semua mata pelajaran termasuk 16 calon mendapat pangkat A+ dalam semua subjek.

Pengetuanya, Sabuddin Sani berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha, disiplin, kerjasama serta komitmen yang tinggi daripada semua pihak termasuk tenaga pengajar, ibu bapa khususnya pelajar.

''Saya bersyukur dengan keputusan ini dan lebih menggembirakan apabila berjaya mengekalkan rekod cemerlang lima tahun berturut-turut . Hari ini, kami diberitahu SMSTM menjadi 'juara' peringkat kebangsaan," katanya.

Beliau ditemui di sekolah berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Seremban (Saser), di sini hari ini.

Sabuddin berkata, antara program dan modul pembelajaran sokongan yang diterapkan di sekolah itu adalah seperti kelas tambahan malam, 'lonjakan Saujana', 'Perkampungan Ilmu', bengkel latih tubikelas pagi dan program 'Guru Muda'.

Sementara itu, seorang pelajar cemerlang SMSTM, Muhammad Fahim Hanaffi Azahan, 17, berkata, kaedah pembelajaran akademik yang diterapkan di sekolah berkenaan banyak membantunya meraih keputusan 10A+.

''Guru banyak memberi tunjuk ajar selain dorongan dan bantuan daripada ibu bapa serta rakan-rakan juga sedikit sebanyak menjadi faktor penyumbang kepada keputusan saya ini," jelas pelajar berasal dari Ampang, Selangor itu yang bercita-cita menjadi ahli geologi.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Fateh Mohd. Lani, 17, berkata, walaupun sedih kerana bapanya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana mengalami jangkitan darah, kejayaan meraih 10 A+ akan menggembirakan keluarganya.

''Saya amat berterima kasih kepada semua guru serta rakan-rakan yang banyak membantu mencapai keputusan ini," ujarnya yang turut mengakui program akademik khas yang diwujudkan oleh pihak sekolah menjadi pemangkin terhadap kejayaannya itu.

Bagi, D. Aghilan, 17, pula, kejayaannya memperoleh 10A+ itu merupakan hasil bantuan semua pihak.

"Sekolah ini memang bagus, mereka akan pastikan tiada pelajar yang tercicir dan kalau lemah, rakan-rakan lain pasti akan membantu,"katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

1 ulasan:

  1. Tahniah dan terima kasih kepada guru-guru SASER kerana telah mendidik anak saya selama DUA tahun di sekolah tersebut. Walaupun anakanda saya tidak dalam senarai pelajar yang cemerlang, tetapi saya tumpang gembira atas kejayaan SASER mengekalkan kejayaan sebagai sekolah ranking pertama di SBP. Khabarnya telah berlaku peningkatan GPS daripada 0.98 tahun lalu kepada 0.89 tahun ini. Tahniah!!!

    BalasPadam