Ahad, 6 Mac 2011

Teks Ucapan Alu-aluan Perdana Menteri Sempena Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2011


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan rahmat dan rahim-Nya kita berjaya menganjurkan edisi ke-5 PABM. Tahniah dan syabas kepada Kementerian Pengajian Tinggi serta semua pihak yang telah bersama-sama berganding bahu menjayakan acara tahunan ini bagi memperkasa bahasa Melayu bukan sahaja di dalam negara tetapi merentasi sempadan budaya ke seantero dunia.

PABM adalah satu bentuk transfomasi dalam pengantarabangsaan bahasa Melayu. Selang lima tahun pertandingan ini diadakan, kita telah lihat peratusan tawaran pengajian bahasa Melayu telah meningkat dengan ketara di gedung-gedung ilmu di serata dunia. PABM edisi ini disertai oleh peserta yang datangnya dari enam benua, sebagai bukti bahasa Melayu telah melata di segenap penjuru dunia.

Ia juga satu bentuk kesinambungan usaha kerajaan untuk menjana keutuhan bahasa Melayu agar ia bukan sahaja berupaya bergerak seiringan dengan persekitaran semasa malah signifikan dengan perubahan arus globalisasi. PABM mencerminkan iltizam, cita-cita dan hasrat kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia untuk terus melihat bahasa Melayu berkembang di kalangan bukan penutur aslinya.

Sebagai rakyat Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus merasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu ampuh mencorak ritmanya yang tersendiri dan semakin mekar di persada dunia. Keadaan ini tidak berlaku kepada semua bahasa utama dunia kerana ada bahasa yang lenyap di telan arus gobalisasi manakala sebahagian yang lain pula semakin hanyut dibadai gelombang arus perubahan zaman.

Bila menyentuh soal kegemilangan lampau, kita akan mengimbau puluhan bahasa yang pernah menjadi lingua franca perdagangan di dunia suatu masa lalu, namun hari ini ada yang tidak lagi mampu mempertahankan bahasa mereka dalam gelora arus perdana.

Syukur Alhamdulillah, perkara ini tidak berlaku kepada bahasa Melayu kerana rumpun Melayu yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam selaku pendukung utamanya mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu menarik masyarakat dunia belajar akan bahasa dan budaya kita. Legitimasi ini membuatkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang cukup berpengaruh, sebagai bahasa kelima terpenting dalam landskap pembangunan arus dunia.

Sejarah membuktikan keutuhan bahasa Melayu mampu bertahan sejak dari kurun ke-7 lagi. Mungkin ada pasang surutnya, namun secara umum bahasa Melayu berupaya berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa perdana lain. Meskipun bahasa Melayu tidak sepenting bahasa Inggeris, tetapi ia dapat mengekalkan kegemilangannya sebaris bahasa Arab, Perancis dan Mandarin dalam urusan perdagangan dan geopolitik.

Oleh itu, kerajaan memberi jaminan bahawa bahasa Melayu akan tetap dipertahankan walau dalam apa cara sekalipun, selaras dengan Perkara 152 perlembangaan negara. Percayalah bahawa kerajaan tidak akan sekali-kali meminggirkan bahasa Melayu, malah kerajaan tetap komited untuk terus mengembangkan kepentingan dan penguasaan bahasa Melayu bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa.

Bagi mempertahankan martabat bahasa Melayu, kita perlu ada kekuatan ekonomi dan politik yang teguh di dalam negara dan di segenap penjuru dunia. Inilah cara yang akan memastikan bahasa Melayu terus kekal subur, walaupun tatkala kita sudah memasuki era negara maju kelak.

Justeru, suka saya mengatakan bahawa inisiatif menganjurkan pertandingan ini merupakan komitmen kerajaan untuk mempromosikan bahasa kebangsaan dalam bidang pengucapan awam demi memartabatkan bahasa Melayu ke persada dunia.

Harapan saya, PABM akan terus menjadi pentas yang penting dalam mencungkil kebolehan dan kemahiran penutur bukan Melayu dalam melontarkan idea pemikiran yang kritis dalam bahasa Melayu serta bersulamkan budaya Melayu.
Selamat bertanding.

DATO' SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK
Perdana Menteri Malaysia

Sumber : http : //www.pabm.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan