Isnin, 18 April 2011

ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa mesti beri kerjasama bantu kerajaan atasi obesiti di sekolah

Makanan ringan : Antara makanan "kegilaan" golongan kanak-kanak

LARANGAN penjualan minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan di kantin sekolah bagi mencegah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar adalah langkah tepat ke arah mewujudkan masyarakat sihat dan bebas daripada penyakit berpunca daripada pengambilan makanan tidak seimbang. Pihak sekolah juga akan memantau Indeks Berat Badan (BMI) pelajar bagi menentukan tahap kesihatan mereka, yang direkodkan dalam kad laporan masing-masing. Ia bertujuan melihat keadaan pelajar berkenaan sama ada beratnya ideal dengan ketinggian berdasarkan umur. Kedua-dua langkah terbaru itu diputuskan oleh Kabinet 4 April lalu dan ia pastinya dialu-alukan oleh ibu bapa, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha membendung masalah obesiti di kalangan pelajar. Keputusan itu dibuat kerana kajian Kementerian Kesihatan mendapati lebih 15 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit tidak berjangkit dan 60 peratus daripadanya adalah remaja berusia 18 tahun ke bawah yang rata-ratanya pelajar sekolah rendah dan menengah yang mengalami obesiti serta diabetes. Dalam usaha menangani masalah berkenaan, Kabinet memutuskan bahawa semua minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan dilarang dijual di kantin sekolah, berkuat kuasa serta-merta. Larangan itu turut dikenakan ke atas penjaja yang berniaga di luar pagar sekolah kerana menjual makanan kurang zat, tinggi kandungan gula dan lemak kepada pelajar selepas waktu persekolahan. Sebahagian besar penjaja ini juga menjual makanan ringan dan minuman yang diperbuat dengan bahan murah serta menggunakan pewarna tanpa mengikut piawaian yang dibenarkan.

Menerusi langkah yang diputuskan itu, pegawai Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran akan memantau peniaga yang menjual makanan ringan tidak berzat dan memudaratkan di kantin dan luar sekolah seperti yang diumumkan kelmarin. Sebelum ini isu berkenaan sering dibangkitkan dalam mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak pengurusan sekolah kerap memberi alasan bahawa mereka tidak ada kuasa untuk menghalang peniaga daripada berniaga di luar pagar sekolah dan hanya pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk menghalang peniaga terbabit. Kita memahami kekangan yang dihadapi pihak pentadbiran sekolah dan berharap dengan adanya ketetapan terbaru kerajaan ini, pihak sekolah akan dapat bertindak secara proaktif dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut. Amalan pemakanan tidak sihat ini boleh menyebabkan pelajar berasa letih dan tidak bermaya dan sering tertidur di dalam kelas. Sebaliknya, makanan yang seimbang sudah tentunya akan menyebabkan badan dan otak menjadi cergas, dan ini akan membantu pelajar membaiki prestasi mereka dalam pelajaran. Namun, langkah membendung kegemukan di kalangan pelajar ini juga perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa di rumah. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka dibekalkan dengan makanan dan minuman berkhasiat dan tidak menggemukkan. Sebagai panduan kepada ibu bapa bagi memantau pertumbuhan dan pemakanan anak mereka, Kabinet juga memutuskan agar guru mengukur data berat badan serta ketinggian pelajar dan kemudian mencatatkannya di dalam buku rekod. Selain itu, guru akan mencatatkan cadangan kepada ibu bapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan obesiti pelajar. Langkah ini penting bagi mengelakkan risiko penyakit mudarat yang mungkin dihidapi pelajar pada usia masih muda, seperti masalah buah pinggang, darah tinggi, kardiovaskular, strok dan kanser. Langkah ini diharap dapat membantu mengubah cara hidup rakyat dengan mengamalkan budaya pemakanan seimbang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan