Oleh Shuhairimi Abdullah
Konsep kesepaduan ukhuwah perlu berpandu Islam agar kesejahteraan ummah terjamin
BANYAK kepincangan berlaku dalam institusi masyarakat antaranya disebabkan mengutamakan nilai materialistik, bersifat individualistik, terpengaruh faktor peredaran semasa serta nilai negatif lain. Nilai murni perlu dijadikan keutamaan dalam proses membangunkan institusi manusia.
Meskipun nilai murni itu subjektif, mengetepikan nilai moral rohaniah akan menjadikan pembangunan insan tidak menyeluruh. Mengabaikan nilai luhur yang mempengaruhi tingkah laku manusia juga memberi impak negatif kepada perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu.
Justeru, nilai murni bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula terbaik mendidik masyarakat mengenai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia hak dan tanggungjawab sosial lain.
Masyarakat yang dididik dengan kawalan nilai murni akan berjaya mencipta budaya masyarakat penyayang dan bertoleransi terhadap kepelbagaian perbezaan agama serta budaya. Maka dengan itu lahirlah masyarakat penyayang.
Dalam kaca mata Islam, sistem perhubungan sosial perlu dijalinkan dengan dua syarat utama. Pertama, melalui pemeliharaan semangat persaudaraan, kerjasama dan tautan kasih sayang sesama Muslim.
Kedua, pemeliharaan hak, tanggungjawab dan kehormatan individu merangkumi ruang lingkup tujuan syariah iaitu darah, harta, maruah dan akal.
Atas kepentingan dijelaskan itu, Yusuf al-Qaradawi dalam al-Halal wa al-Haram fi al-Islam menegaskan jika berlaku pelanggaran atau pencerobohan ke atas syarat itu secara rigid, perbuatan terbabit dihukum sebagai haram.
Balasan diterima bersesuaian kesengsaraan dan kerugian ditimbulkan boleh memberi impak daripada aspek moral atau material ke atas individu terbabit.
Bagi menyubur dan memantapkan lagi sistem interaksi sosial manusia, ia perlu diadun dengan nilai akhlak Islam. Doktrin akhlak bertindak sebagai sumber kuasa rohaniah berfungsi mengawal seseorang Muslim daripada melakukan perbuatan keji menurut pertimbangan agama.
Akhlak juga memandu manusia kepada perilaku yang bersifat mahmudah. Secara fitrahnya, pembangunan insan berorientasikan akhlak luhur tidak akan mewujudkan konflik dengan kepentingan asas manusia disebabkan itu diberi jaminan daripada Ilahi kepada hamba-Nya yang bertakwa.
Oleh itu, pembangunan manusia yang mengutamakan orientasi nilai akhlak akan memberi impak positif terhadap penyempurnaan kesejahteraan manusia dalam pelbagai aspek kehidupan. Melalui pengamalan nilai murni dalam diri individu muslim bersumberkan akhlak Islamiah akan mengelak mereka dicemari dengan nilai negatif seperti sombong, pentingkan diri dan hasad dengki.
Islam tidak hanya melihat dan menilai personaliti manusia dari aspek zahiriah semata-mata tetapi mengambil kira aspek personaliti dalaman (batiniah) manusia. Keseimbangan personaliti manusia dari sudut zahiriah dan batiniah diikat nilai akhlak menggerakkan manusia bertindak secara positif mengikut tatacara ditentukan Islam.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka. Dan orang yang beriman dengan ayat Tuhan mereka. Dan orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun). Dan orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) Sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan, dan merekalah orang yang segera memperolehnya.” (Surah al-Mu’minun, ayat 57-61)
Objektif utama interaksi manusia bertujuan menjamin kesejahteraan kepada semua makhluk merangkumi kebahagiaan semasa di dunia dan berkesinambungan di akhirat. Penekanan konsep kesepaduan ikatan ukhuwah adalah manifestasi kepatuhan tauhid yang menyeru keadilan dan kasih sayang serta mentaati Allah secara mutlak.
Jika manusia melakukan pencerobohan secara tidak munasabah dan untuk kepentingan diri maka perbuatan itu dikategorikan sebagai zalim. Perbuatan dan tingkah laku itu sudah tentu bertentangan dengan prinsip Islam yang murni.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan