Sabtu, 6 Ogos 2011

ISU AGAMA : Sistem pengurusan Islam perlu transformasi


Oleh Zulkiple Abd Ghani


Isu pembahagian kuasa antara kerajaan negeri, Pusat wajar dibuat dengan teliti


SATU hakikat yang perlu kita terima ialah kita hidup dalam sebuah dunia yang dinamik dan sering berubah. Perubahan berlaku saban masa dan babitkan pelbagai faktor, daripada perubahan cuaca, siang dan malam hingga kepada perubahan teknologi. Dalam al-Quran Allah menyebut dengan jelas iaitu Allah tidak akan mengubah kedudukan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang mengubahnya.

Perubahan atau transformasi tentu untuk menuju kepada suatu kedudukan lebih baik. Dalam istilah bahasa Arab, ada pelbagai perkataan yang boleh dirujuk berkaitan transformasi – tajdid (pembaharuan), islah (pembaikan), ihya (penyemarakan), taghyir (perubahan), tabdil (penggantian), takwin (pembentukan), dan hijrah. Ini bermakna, transformasi bukan asing dalam ajaran Islam dan kehidupan umat Islam.

Satu persoalan menarik ialah apakah pengurusan hal ehwal Islam dalam konteks negara kita juga perlu mengalami transformasi dan jika perlu, apakah perkara yang perlu ditransformasikan?

Ada dua keadaan yang perlu difahami dalam isu ini. Pertama, transformasi dalam hal ehwal Islam perlu dirujuk kepada undang-undang dan peraturan yang termaktub. Ia akar tradisi yang perlu dipelihara dan jika memerlukan perubahan, ia perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati.

Perkara 11 Fasal (1) Perlembagaan memperuntukkan: “Setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) untuk mengembangkannya.” Fasal (4) memperuntukkan iaitu walaupun setiap individu bebas menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi bagi penganut agama bukan Islam tidak dibenar mengembang agamanya di kalangan orang Islam.

Satu perkara lagi yang penting berkaitan akar tradisi ini ialah peruntukan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan diperkukuhkan lagi dengan kuasa diberi kepada Kerajaan Negeri di bawah perkara 11 Fasal (4) Perlembagaan Persekutuan iaitu negeri boleh membuat undang-undang bagi memelihara akidah orang Islam daripada dicemari.

Perlembagaan juga memperuntukkan supaya aspek pelaksanaan dan pentadbiran hal ehwal Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri dan Raja atau Sultan sebagai ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.

Perkara (3) Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: “Dalam tiap-tiap negeri selain negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam di negerinya mengikut cara dan setakat diakui dan ditetapkan oleh perlembagaan negeri itu, manakala dalam Fasal (5) memperuntukkan: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.” Bagi Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang, Yang di-Pertuan Agong adalah sebagai Ketua Agama Islam di negeri berkenaan.

Keistimewaan, hak dan kuasa Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri tidak boleh tersentuh dan ia termaktub dalam Perlembagaan dan juga satu jaminan bahawa agama Islam dilindungi dan dipayungi Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Raja Negeri. Sistem (tanzim) yang mempunyai akar tradisi dan perlu dipelihara dan diperkukuhkan.

Keadaan kedua ialah memahami apakah perkara dalam pengurusan hal ehwal Islam yang perlu kepada transformasi? Seterusnya apakah proses dan pembentukan (takwin) untuk mewujudkan ‘sistem pengurusan Islam’ yang lebih luas dan dinamik untuk menghadapi arus perubahan di dalam dan luar negara yang semakin mencabar dari sehari ke sehari?

Sistem dianggap sebagai organisasi dan struktur yang terpimpin dan mengandungi pelbagai elemen dan nilai yang saling terkait. Kerja untuk mewujud, menambah baik dan mengukuhkan sistem memerlukan sumbangan pelbagai pihak yang pakar dan berpengalaman. Di samping itu, proses dan pengalaman yang telah berlalu sangat baik untuk dijadikan panduan dan pengajaran.

Dalam konteks transformasi sistem pengurusan Islam di Malaysia, sangat perlu difahami peraturan yang termaktub dalam undang-undang dan norma yang sedia dipegang. Isu pembahagian kuasa antara kerajaan negeri dan pusat serta kebijaksanaan pelaksanaan perlu diperhatikan.

Walaupun pentadbiran agama Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, pada peringkat Persekutuan, Kerajaan Pusat masih mempunyai tanggungjawab bertindak selaku penyelaras dan pelaksana kepada semua keputusan dibuat khusus oleh Majlis Raja-Raja dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI).

Dalam hal ini, agensi kerajaan yang bertanggungjawab pada peringkat Persekutuan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Kewujudan JAKIM kini yang melalui evolusi daripada urusetia kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 1968 dan kemudian Bahagian Hal Ehwal Islam Malaysia (BAHEIS) adalah satu proses transformasi yang dinamik diwujudkan kerajaan.

Selain itu, kewujudan JKSM selaku peneraju kepada kehakiman syariah ialah keputusan tepat yang menggambarkan keprihatinan kerajaan untuk memartabatkan profesyen berkaitan. Sementara itu, JAWHAR selaku agensi yang masih baru perlu memfokus kepada kewujudan sistem yang lebih berdaya saing khususnya dalam mengangkat kedudukan wakaf dan zakat di samping membantu menambah baik urusan haji yang sudah dikenali di seluruh dunia.

Penulis ialah Profesor Dakwah dan Media di Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan, USIM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan