Isnin, 23 Januari 2012

ISU BAHASA : Kemelut penulis muda


Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@Bharian.com.my


Tunduk pada tuntutan pasaran dengan karya popular?

DUNIA penulisan sastera tanah air menyaksikan perkembangan menggalakkan dengan bertambahnya pemain dalam industri penerbitan negara sehingga lebih ramai penulis muda mahupun pendatang baru menyaksikan karya mereka memasuki pasaran buku negara.

Bagaimanapun, adakah perkembangan itu turut memaparkan sumbangan penulis muda dalam memperkasakan kesusasteraan di Malaysia sepanjang 2011 atau berlegar kepada dunia sastera yang terpisah di antara memenuhi kehendak pasaran dan secara tidak langsung karya intelektual terpinggir?

Pensyarah Sastera, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ariff Mohamad berkata, mulai 1990-an jumlah penerbitan semakin banyak, justeru ia semakin rencam dari segi teknik, tema, namun novel Melayu masih tercari-cari kekukuhan dan kemantapannya meskipun disuakan pelbagai teori sastera bersifat tempatan sekian lama.

“Penulis juga berhadapan dengan kehendak pasaran kerana kerja menulis kini sama seperti kerja lain. Seseorang penulis juga memerlukan wang untuk perbelanjaan. Dalam keadaan demikian bukan sedikit penulis yang menulis atas kehendak pasaran sehingga kehendak intelektual terpinggir,” katanya.

Ariff mengingatkan salah tanggap berhubung novel dengan kehendak intelektual yang sebenarnya bukanlah seperti yang sering disalah tanggap sebagai novel dengan wacana persoalan keilmuan dan falsafah tinggi kerana sebenarnya novel biasa, tetapi membawa persoalan serius layak dimasukkan dalam genre terbabit.

Salah faham dengan maksud novel intelektual mendorong pengarang muda Malaysia kebelakangan ini terbelah kepada novel popular seperti Ombak Rindu karya Fauziah Ashari dan novel serius seperti Bila Nyasrah Kata Tak Mahu karya Aidil Khalid.

Menyifatkan jurang antara penulis muda Borneo dan Semenanjung sebagai terlalu jauh jaraknya, Ketua Satu Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Jaafar Hamdan berkata, penulis muda di tanah tumpah darahnya seakan-akan menyembunyikan diri atau menyimpan kuku dalam persada nasional.

“Mereka mungkin berasa persada kenegerian lebih selamat. Ia sudah dibangkitkan dulu di Berita Harian. Isu itu menjadi polemik di Sabah dan Sarawak. Bagusnya kesan daripada isu itu, penulis muda Borneo mula sedar dalam dunia yang tanpa sempadan ini, mereka perlu berani, jangan berasa rendah diri,” katanya.

Jika dilihat suatu waktu dulu, Sarawak tidak kurang dalam melahirkan penulis hebat seperti Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah, Jais Sahok dan Zaini Ojea, antara penulis mapan yang nama mereka dikenali dan kerap menjadi perbicaraan dalam kalangan dunia kritikan dan kajian sastera.

Dewasa ini antara penulis muda Sarawak yang menonjol ialah Roslan Jomel, Abizai, Mohd Ali Salim, Rosani Hiplee dan Hipani Alwi. Sabah juga tidak jauh ketinggalan dengan penulis muda yang prolifik ketika ini antaranya termasuklah Pena Alam, Dayangku Mastura dan Ismi Nailofar.

“Dari sudut pemikiran dalam pengkaryaan, penulis muda Borneo tidak jauh berbeza dengan penulis muda di Semenanjung. Yang membezakan ialah teman penulis di Semenanjung berada di pusat kesusasteraan yang mewah dengan kegiatan sastera,” katanya.

Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Mohd Hanafi Ibrahim pula berpendapat, istilah muda terlebih dulu perlu diperjelaskan kerana ia menimbulkan banyak perdebatan berhubung dasar pembahagiannya iaitu apakah mengikut usia atau kematangan berkarya.

“Jika mahu dikelompokkan mengikut usia, ia bermaksud pengarang yang lahir pada 1971 dan ke atas, tetapi ada yang mempersoalkan pendekatan ini. Untuk saya, perkembangan penulis muda yang perlu didokumentasikan sebaiknya menerusi penyelidikan bermutu.

“Ini perlu memandangkan jika mereka banyak menyumbang untuk memperkasakan sastera Malaysia, tetapi tanpa dokumentasi yang baik, ia tidak akan dapat menjadi rujukan untuk generasi seterusnya dan jika ini berlaku, alangkah ruginya?,” katanya.

Dr Mohd Hanafi memberi contoh program penulisan anjuran DBP, Minggu Penulis Remaja (MPR) yang melahirkan ramai penulis sebenarnya sudah menulis sejak usia belasan tahun dan meskipun tidak semua daripada peserta program menjadi, tetapi yang berjaya hampir semuanya menghasilkan karya bermutu.

“Antara peserta MPR yang menonjol namanya pada persada sastera tanah air ialah Zaen Kasturi yang mendapat pengiktirafan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA), manakala Faisal Tehrani pula menerima Anugerah Penulis Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA),”

Bagi penulis muda di luar program MPR yang perlu diberi perhatian ialah Syed Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir yang mengemukakan subjek kemanusiaan sejagat menerusi kumpulan cerpennya, Sekeping Ruh di atas Bantal dan Serigala dan Sekuntum Tulip.

“Rata-rata cerpen SM Zakir yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah penulisan SEA 2011 bertitik tolak daripada motif untuk mencapai kebenaran dan di situlah letaknya nilai estetika pada karyanya."

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan