Rabu, 1 Februari 2012

ISU AGAMA : Tangani isu umat dengan bijaksana


Oleh MOHAMAD ABDULLAH

TERDAPAT banyak isu yang dihadapi oleh umat Islam di negara kita kebelakangan ini yang amat merisaukan. Dalam banyak keadaan seperti biasa kita menuding jari kepada pihak lain. Dalam isu murtad misalnya, kita lebih banyak menyalahkan mereka yang sering agresif berbuat demikian.

Namun, penyelesaian sebenar berada di tangan umat Islam sendiri. Hakikatnya kita tidak boleh mengubah orang lain, tetapi kita berupaya untuk mengubah diri sendiri dengan sokongan kuat institusi, organisasi dan semua yang berkait dengan Islam.

Jika kita percaya bahawa Islam itu syumul, maka penyelesaian holistik harus kembali kepada umat Islam dalam memperkukuh dan memperkasa dirinya dalam pelbagai cara dengan menggunakan kebijaksanaan, penuh hikmah dan ilmu pengetahuan yang dikuasai.

Umat Islam termasuk di negara kita tidak pernah kurang dengan mereka yang mempunyai ilmu dan kemahiran. Umat Islam malah memiliki segala-galanya, tetapi yang kurang agaknya adalah dari segi tindakan yang berkesan untuk menangani setiap isu. Umat Islam berbalah atas hal-hal yang mempunyai kepentingan tertentu, baik bersifat peribadi atau pun politik sehingga isu sebenar tenggelam dan menguntungkan orang lain.

Perbalahan seperti ini barangkali amat dinantikan oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan kerana di sebalik perbalahan adalah keuntungan kepada mereka yang menunggu peluang dan bijak mengambil kesempatan.

Isu-isu asas yang berkaitan dengan kebajikan dan pemerkasaan institusi dan organisasi untuk membantu umat Islam perlu dilihat sebagai salah jihad yang dapat membantu mengurangkan gejala-gejala yang mengancam umat Islam hari ini.

Kerana itu, tugas paling penting adalah memperkasakan semula institusi, organisasi dan segala yang bertunjangkan Islam agar berupaya menggembleng kekuatan umat Islam bersatu dan melaksanakan amanah bagi menghadapi segala cabaran yang ada.

Institusi masjid, musolla dan surau misalnya yang berada hampir di setiap kampung, pekan, bandar dan daerah harus terlebih dahulu dilihat sebagai mekanisme utama dalam pembangunan dan penyelesaian segala masalah ummah.

Jabatan, pihak berkuasa agama, Pusat Islam dan institusi seperti masjid dengan struktur yang jelas harus menjadi pemangkin kepada usaha ini. Semua institusi ini mesti menjadi model pengurusan Islam yang disegani dan tempat rujukan dalam apa jua masalah hidup dalam membantu ummah.

Masjid dan institusi Islam ini harus dilengkapkan dengan segala kemudahan termasuk Internet dan para pengurus yang profesional dan bijak memainkan peranannya secara berhemah dalam menggembleng kekuatan anak kariah untuk menjadi tempat perbincangan, menjalinkan kerjasama dan mengambil tindakan susulan terhadap masalah-masalah.

Justeru, data maklumat tentang kepakaran setempat termasuk dalam aspek kaunseling, pembangunan ekonomi dan sebagainya harus dibekalkan dan diuruskan dengan baik dan bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Malah, apabila seseorang remaja dan anak muda misalnya menghadapi jalan buntu, terjebak dalam kancah kehidupan dan terbabas daripada norma hidup biasa, masjid boleh menjadi salah satu tempat mendapat bantuan. Mereka menjadi sahabat untuk dibimbing dan dibantu supaya melihat hidup lebih positif dan jalan kemuliaan yang ditunjukkan oleh al-Quran dan sunnah sebagai pilihan.

Sebelum ini dapat dilakukan, mereka yang mengurus masjid malah mereka yang dianggap hebat penguasaan agama, para pemimpin masyarakat dan sebagainya harus lebih mesra kepada golongan ini. Ummah tanpa memandang rendah kepada anak muda atau mereka yang berhadapan dengan masalah, tersilap langkah atau terjebak dalam isu seperti penyalahgunaan dadah, HIV/AIDS, pelacuran dan kehidupan gelandangan yang dianggap sebagai musuh yang harus dijauhi.

Jika stigma ini dapat diatasi, maka banyak masalah lain dapat diselesaikan. Badan-badan sukarela Islam yang berteraskan isu universal boleh memainkan peranan lebih aktif dalam merealisasikan hasrat ini yang boleh berpusat di masjid atau Pusat Islam, menggembleng tenaga membantu mengatasi masalah, memahami dan mendekati orang yang menghadapi tekanan hidup serta menghulur tangan sebagai saudara dan sahabat membantu dengan penuh ikhlas, berhemah dan kasih sayang.

Jika masjid dan musolla di seluruh negara, boleh dihubungkan secara talian, maka perkongsian kepakaran dapat diwujudkan dengan lebih baik. Misalnya dengan penubuhan program seperti pementoran, khidmat bantuan untuk kesejahteraan bersama dan sebagainya supaya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Bantuan boleh dihantar kepada mana-mana tempat lain yang memerlukan khidmat sokongan kepakaran berkenaan melalui komunikasi Internet dan telekomunikasi canggih yang ada sekarang ini dengan cepat dan pantas. Institusi-institusi Islam memerlukan pengurusan profesional yang dapat melakukan tugas secara bersepadu termasuk memanfaatkan teknologi yang ada dengan lebih pantas dan berkesan.

Ini belum lagi melihat masjid dan musolla yang berpotensi amat besar dalam pembangunan ekonomi ummah selaras dengan aktiviti sosial yang dibangunkan. Di samping itu pelbagai kaedah lain juga boleh difikirkan untuk tujuan ini.

Khutbah Jumaat misalnya tidak wajar lagi berjela-jela hingga lebih ramai jemaah yang tertidur mendengar bacaan khatib. Kaedah yang lebih terkini, termasuk menggunakan multimedia yang bersesuaian perlu difikirkan dan diberikan pertimbangan.

Kebijaksanaan amat penting dalam mengembalikan maruah dan persepsi terhadap Islam dalam kedudukan yang sewajarnya, Bersikap menuding jari dan hanya melihat kesalahan orang lain, apatah lagi melihat kesungguhan mereka memancing umat Islam untuk meninggalkan Islam seharusnya mencabar kita untuk mengukuhkan diri dan mengambil tindakan yang penuh hemah, kasih sayang dan "passionate" kepada apa yang dilakukan.

Kita harus belajar daripada Rasulullah SAW yang mendidik jiwa ummah dan tokoh-tokoh dakwah Islam yang melihat segala isu universal sebagai satu kaedah pembangunan umat Islam secara luas dan terbuka. Isu-isu kemanusiaan dan mewujudkan kesejahteraan, pengisian jiwa dengan ketuhanan dan sebagainya menjadi teras utama bagi mengajak dan mendidik umat Islam kembali kepada ajaran agama.

Ia perlu dilihat dalam perspektif yang betul tanpa dipengaruhi oleh pegangan politik atau kepercayaan apatah lagi ketaksuban terhadap tokoh tertentu, sebaliknya berlandaskan kebenaran hakiki, kesejahteraan ummah dan masa depan umat Islam sejagat seluruhnya termasuk membangunkan persepsi dan kepercayaan bahawa Islam mampu menyediakan jalan penyelesaian terhadap masalah dan kemelut yang ada.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan