Jumaat, 16 Mac 2012

ISU BAHASA : Upaya Membudaya Atau Memasyarakatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan Belum Sepenuhnya Tercapai


Oleh : ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my)

KUALA LUMPUR: Ibu segala masalah yang dihadapi oleh negara ini dalam pelaksanaan dasar bahasa yang berkait rapat dengan proses pembinaan negara itu sendiri ialah ketidaktekalan sikap, pendirian dan pelaksanaan yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor tidak memahami peranan bahasa sebagai salah satu asas pembangunan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, (DBP) Profesor Dr Awang Sariyan ketika berkata demikian turut menegaskan, ketidakfahaman tentang peranan bahasa sebagai asas pembangunan negara adalah disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang konsep dan falsafah pembangunan.

Ini kerana katanya, falsafah pembangunan umumnya lebih dikaitkan oleh sejumlah orang dengan pembangunan fizikal sehingga faktor bahasa dan budaya dianggap tidak penting dalam usaha mengejar kemajuan.

"Malang sekali, sejumlah yang bersikap demikian ialah orang Melayu yang menjadi warganegara teras, baik daripada segi jumlah mahupun sejarahnya sebagai bangsa asal penduduk negara ini.

"Kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi umumnya ternyata begitu prihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya.

"Sebilangan orang Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan budayanya (sendiri)," kata Dr Awang dalam kertas kerja bertajuk "Kemajuan Bahasa dan Persuratan Melayu Di Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa: Cabaran dan Pelan Tindakan".

Kertas kerjanya itu dibentangkan dalam Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu DBP dengan kelompok-kelompok pemegang kepentingan yang berlangsung di Menara DBP di sini pada Rabu dan Khamis.

Enam kelompok kumpulan berkepentingan yang diundang dalam muzakarah itu ialah (i) persatuan bahasa, sastera dan penulis; (ii) media; (iii) sains dan teknologi; (iv) persatuan profesional; (v) persatuan bukan kerajaan, belia, seniman dan karyawan dan (vi) keagamaan.

Matlamat muzakarah ini adalah untuk mendapatkan saranan, pandangan dan masukan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan yang mempunyai peranan utama dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu.

Kata Dr Awang lagi, dalam soal pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan, negara seringkali menjadi tikus yang membaiki labu.

“Kita sering membuat diagnosis yang silap dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah. Sebagai contoh dalam soal yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah serta universiti diagnosis yang dilakukan ternyata silap sehingga penyelesaian terhadap masalah ini menjadi silap juga.

“Kiasan yang dinyatakan oleh Tan Sri Ainuddin Wahid, naib canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia amat tepat dalam menggambarkan diagnosis yang silap itu iaitu ‘lain yang luka lain yang dibebat’,” tegas Dr Awang.

Dengan perkataan lain, kata Dr Awang, sesudah setengah abad merdeka, dapat dikatakan bahawa upaya membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah (bidang) lain yang menunjang kehidupan bertamadun belum sepenuh-penuhnya berhasil.

Kata Dr Awang lagi, adalah perlu diakui bahawa ada penjawat awam, sarjana dan kalangan dalam sektor lain yang memahami erti dan sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara tetapi pada masa yang sama dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang tidak peduli akan nasib bahasa Melayu di bumi sendiri.

Pembinaan “sikap bahasa” katanya, ternyata perlu menjadi salah satu keutamaan dalam strategi perancangan bahasa kebangsaan untuk setengah abad mendatang dan seterusnya.

Anggota masyarakat, tegas beliau, perlu disedarkan bahawa kecukupan “pakaian dan makanan” bukan satu-satunya matlamat kehidupan kerana ada agenda yang lebih besar daripada sekadar “hidup untuk makan”.

“Sekali lagi kita perlu belajar daripada sikap prihatin rakyat bukan Melayu yang meskipun mencapai ekonomi yang baik namun tetap memiliki rasa kepedulian yang tinggi kepada nasib bahasa dan budaya mereka,” ujar Dr Awang.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan