Isnin, 19 Mac 2012

ISU PEMBANTU RUMAH ASING : Belajar hidup tanpa khidmat warga asing


Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my


Kebergantungan amah Indonesia punca Jakarta letak syarat tak masuk akal

KEKECOHAN yang timbul ekoran syarat baru Indonesia supaya pembantu rumah dari republik itu hanya menjalankan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700, seharusnya membuka mata kita, bukan saja dari segi rundingan dan perjanjian dengan pihak berkuasa di sana tetapi kepada soalan paling asas – selama mana kita mahu bergantung kepada khidmat rakyat asing.

Walaupun syarat dinyatakan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman, itu dianggap keterlaluan, malah tidak masuk akal, ia dilaporkan hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara Kerajaan Indonesia dan Malaysia.

Keputusan rundingan itu antara lain menetapkan penghantaran pembantu rumah Indonesia akan mengikut kemahiran masing-masing dalam empat bidang tertentu iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Penetapan empat bidang khusus itu kononnya sebagai langkah memastikan amah yang dihantar ke Malaysia benar-benar terlatih dan bagi memudahkan majikan di negara ini.

“Seorang tenaga kerja Indonesia (TKI) yang dihantar ke Malaysia akan menjalankan satu tanggungjawab saja. Jika dia diperlukan untuk menjaga anak, maka jaga anak sajalah. Tetapi jika majikan mahukan TKI melakukan semua empat tugas khusus itu, maka mereka harus mengambil empat TKI melakukan kerja itu,” kata Dr Reyna seperti dipetik dalam laporan itu.

Ini bermakna jika seorang pembantu rumah itu digajikan untuk memasak, tugasnya hanyalah memasak dan tidak melakukan tugas lain seperti mengemas rumah dan mengasuh. Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada amah yang sama, perlu dibayar RM700 lagi jika dia diminta mengemas rumah, menjadikan gajinya RM1,400 sebulan. Dan jika dia diminta mengasuh anak pula, maka gaji bulanannya ialah RM2,100.

Jika benar seperti dilaporkan bahawa keputusan itu adalah hasil rundingan JTF, timbul tanda tanya apakah pegawai yang mewakili Malaysia dalam rundingan itu hanya mengiyakan? Apakah mereka tidak bertanya apakah syarat yang sama dikenakan kepada majikan di negara lain yang mengambil amah Indonesia?

Atau adakah pihak Malaysia dalam rundingan itu menerima syarat sedemikian kerana mahu isu kemasukan pembantu rumah Indonesia yang berlarutan hampir tiga tahun ini diselesai segera?

Hakikat bahawa belum ada seorang pun pembantu rumah Indonesia dihantar secara rasmi ke Malaysia sejak Indonesia menarik balik pembekuan penghantaran pada 1 Disember lalu, jelas menunjukkan mereka tidak lagi berminat berbuat demikian.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan di negara ini.

Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan beberapa peruntukan, terutama berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.

Pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ditarik balik berikutan kesepakatan dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.

Bagaimanapun penghantaran pertama pembantu rumah Indonesia tertunda beberapa kali sehingga ke hari ini.

Perdana Menteri, yang turut terkejut dengan keputusan terbaru Indonesia itu kerana ia bercanggah dengan persefahaman yang dicapainya dengan Presiden Susilo, kelmarin berkata kerajaan akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai perkara itu.

Sementara kita menyambut baik kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu ini, kita juga berharap pihak berkuasa segera merangka strategi jangka panjang, bukan saja untuk menamatkan kemelut ini tetapi lebih penting lagi mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja Indonesia bukan saja untuk pembantu rumah tetapi dalam semua sektor pekerjaan.

Selagi kita dilihat terlalu bergantung kepada Jakarta, selagi itulah mereka mengenakan pelbagai syarat sehingga kita perlu berlutut mengharapkan ihsan.
Pengalaman kita dalam pelbagai bidang dengan Indonesia, walaupun diberi jolokan saudara serumpun, cukup untuk membuktikan hakikat ini.

Yang jelas, kesepakatan dicapai pada peringkat tertinggi kerap dikusutkan pada peringkat pelaksana seperti yang berlaku pada isu penghantaran pembantu rumah ini.

Begitupun, kita tidak boleh menyalahkan Indonesia semata-mata selagi kita sendiri tidak berusaha untuk tidak mengharapkan khidmat mereka. Kekukuhan ekonomi republik itu dan kemampuan menyediakan pekerjaan pada gaji lebih lumayan dengan sendiri mengurangkan minat rakyatnya bekerja di luar negara.

Kerana itu, sama ada suka atau tidak, kita perlu belajar hidup tanpa khidmat rakyat asing. Langkah pertama ialah melaksanakan pelbagai cadangan sebelum ini untuk kurangkan kebergantungan itu.

Dalam soal pembantu rumah misalnya, pelbagai cadangan dan kertas kerja sudah dikemukakan seperti pusat asuhan di tempat kerja, wanita bekerja dari rumah, khidmat amah tempatan dengan bayaran berdasarkan jam bekerja dan pelbagai cadangan lagi.

Dalam soal pembantu rumah ini, kita seharusnya mengikut cara hidup rakyat di negara maju di mana golongan yang benar-benar berkemampuan mempunyai pembantu rumah sepenuh masa. Majoriti rakyat mereka, termasuk golongan menengah hanya menggunakan khidmat pembantu sambilan sama ada sebagai pengasuh atau mengemas rumah. Namun bayarannya agak lumayan sehingga mendorong anak gadis dan pelajar bekerja.

Kita juga harus mencari jawapan benarkah rakyat di negara ini ‘malas’ melakukan kerja yang dilakukan oleh tenaga asing sekarang baik dalam sektor pembantu rumah, pembinaan, perladangan, perkhidmatan dan perniagaan.

Atau adakah itu hanya helah majikan yang sememangnya mahukan pekerja asing kerana mahu mengelak daripada membayar lebih dan melakukan tanggungjawab sosial mereka.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan