Sabtu, 24 Mac 2012
ISU PENDIDIKAN : Pendekatan berbeza didik anak disleksia
Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my
RELAKAH anda mendengar suara-suara masyarakat mengatakan anak anda tidak cerdik atau tidak normal seperti kanak-kanak lain?
Lebih menyedihkan, guru di Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan sekolah menegur tentang kebolehan membaca serta menulis anak-anak itu yang agak ketinggalan berbanding pelajar lain sehingga membuatkan para pengajar hilang sabar.
Disebabkan kekurangan yang dihadapi kelompok kanak-kanak itu maka persepsi malas, terus melekat terhadap mereka gara-gara keengganan untuk mencuba menulis serta membaca dengan betul.
Nasihat kepada guru-guru di luar sana, jangan berharap mereka untuk mampu menulis dan membaca dengan cemerlang jika anda mengajar mereka dengan teknik sama seperti pelajar-pelajar normal lain.
Jika berdepan situasi tersebut, harus anda ketahui bahawa anda sedang berdepan dengan golongan disleksia iaitu kumpulan individu yang mengalami kesukaran membaca, menulis dan mengeja.
“Kurangnya pendedahan dan kesedaran dalam kalangan guru serta ibu bapa terhadap disleksia menyebabkan kekeliruan terhadap masalah yang dihadapi golongan disleksia. Secara kasar ia mungkin dilihat sebagai individu buta huruf yang perlu dimasukkan ke dalam kelas pemulihan khas tetapi, sebenarnya mereka memerlukan pendekatan pembelajaran berbeza,” jelas Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM), Sariah Amin.
Proses pembelajaran golongan disleksia perlu melengkapi penggunaan deria-deria utama seperti sentuhan, bunyi serta penglihatan kerana ia akan menjawab semua persoalan yang bersarang dalam fikiran mereka.
Jelas Sariah, golongan disleksia kebiasaannya berdepan masalah membezakan huruf a, d dan g disebabkan bentuknya yang serupa walaupun cara membunyikannya berbeza.
Sembilan pusat PDM
Bagi mengatasi kekeliruan tersebut, blok-blok huruf tersebut akan diletakkan di hadapan mereka dan mereka akan diberi penjelasan tentang perbezaan huruf tersebut.
“Contohnya, huruf d akan dikenali mereka sebagai huruf a yang mempunyai tangkai di atas sementara huruf g mempunyai ekor di bawah.
“Penjelasan itu juga perlu didatangkan secara visual dan sentuhan agar mereka benar-benar memahami perbezaan huruf-huruf tersebut,” kata Sariah lagi.
Sejak penubuhan PDM pada 1999, persatuan tersebut terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada kanak-kanak disleksia dengan mewujudkan sembilan buah pusat pembelajaran di seluruh Malaysia.
Menerusi program pembelajaran tiga bulan di pusat pembelajaran tersebut, golongan disleksia akan diberi bimbingan serta perhatian khusus bagi mengatasi masalah mereka.
Seperti yang diketahui, golongan disleksia memerlukan tumpuan khusus, jadi setiap kelas di pusat PDM hanya memuatkan lima pelajar secara maksimum dengan seorang guru mengajar tiga subjek teras.
Subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik diajar oleh guru yang sama untuk setiap kelas bagi mewujudkan kemesraan dan keselesaan dalam kalangan mereka.
Intan Nur Jannah Mat Nawi, guru di pusat PDM Ampang memberitahu, mengajar kanak-kanak disleksia sangat menguji kesabaran serta memerlukan kemahiran tinggi.
“Mereka sangat jujur dan kadang-kadang kata-kata mereka boleh membuatkan kita rasa hendak marah dan putus asa untuk mengajar mereka.
“Ada juga di antara mereka yang pemalu dan tidak mahu bercakap apabila bertemu orang baharu, tetapi disebabkan sifat mudah mesra tidak sukar bagi mereka menyesuaikan diri,” ujar Jannah yang mula berkhidmat sejak 2005 lagi.
Pembelajaran di pusat PDM difokuskan kepada auditori, sentuhan dan sebutan di mana setiap pendekatan digabungkan agar impak yang diterima mereka lebih berkesan.
Jelas Jannah, perkataan-perkataan yang diajar perlu dieja mengikut bunyi perkataan itu disebut dan susunan perkataan dalam ayat juga perlu senada agar mereka tidak mengalami kekeliruan.
Tambah guru yang berumur 24 tahun itu lagi, proses mengajar kanak-kanak disleksia perlu dilakukan secara berperingkat serta tidak terlalu mendadak.
elain alat bantuan belajar seperti komputer, barangan permainan seperti permainan blok dan tanah liat juga penting bagi golongan disleksia menjana kreativiti mereka.
Sariah memberitahu bahawa pelajar-pelajar disleksia di pusat PDM akan diberi masa selama 30 minit untuk bermain kedua-dua permainan tersebut sebelum kelas bermula.
Ujar Sariah, mereka yang berada pada tahap disleksia serius kebiasaannya mengalami masalah menggerakkan tangan ketika menulis.
Penggunaan tangan dengan cara menekan dan membentuk ketika bermain permainan tersebut dikatakan dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus yang dialami mereka.
Jiwa sensitif
Jika di sekolah-sekolah biasa, mungkin kanak-kanak disleksia akan ditegur dengan agak keras sekiranya mereka gagal menangkap apa yang diajar guru.
Bagaimanapun di pusat PDM, guru-guru terlatih tersebut tidak perlu menegur mereka menerusi kata-kata kerana ia akan mengundang kepada permasalahan lain.
“Kanak-kanak disleksia amat sensitif, jika dimarah mereka akan menunjukkan sikap negatif dan menjadi nakal.
“Oleh sebab itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil mereka bodoh atau apa jua gelaran yang boleh membuatkan mereka berasa rendah diri.
“Jika mereka berterusan dilayan dengan cara begitu, maka apabila dewasa mereka akan terjebak dengan pelbagai masalah sosial,” kata Sariah yang telah 12 tahun menjadi penaung PDM.
Seorang ibu yang menghantar anaknya ke pusat PDM Ampang, Emilia Radzwan memberitahu, anak sulungnya, Muhammad Aqil Akmal dikesan mengalami disleksia pada awal tahun ini.
Luah Emilia, Aqil yang kini berusia lima tahun mempunyai masalah untuk bercakap dan mengenali abjad ketika berada di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).
“Dia susah hendak memberitahu apa yang hendak dicakapkan, seolah-olah dia perlu berfikir dengan lama sebelum dapat mengeluarkan kata-kata tersebut.
“Pada mulanya saya dan suami tidak mengesyaki apa-apa tetapi, setelah teringat situasi serupa yang terjadi kepada seorang saudara, kami terus membawa Aqil menjalankan pemeriksaan.
“Setelah dia disahkan mengalami disleksia, kami mengambil keputusan mengeluarkannya daripada taska dan menghantarnya ke pusat PDM,” luah Emilia yang bekerja sebagai perunding pelancongan.
Kini, selepas tiga bulan mengikuti program di pusat PDM, Aqil yang mengalami disleksia tahap sederhana sudah mengenal huruf, nombor, mengeja malah, dapat memegang pensil dengan betul.
Walaupun begitu, Emilia memutuskan untuk menyambung tiga bulan lagi tempoh pengajian Aqil di ‘sekolah’ disleksia itu agar anak pertama daripada dua beradik tersebut boleh membaca dengan lancar.
Bukan Emilia sahaja memilih untuk menyambung program anaknya di pusat PDM, malah ramai ibu bapa melakukan perkara sama kerana inginkan perkembangan yang lebih baik sehingga mereka betul-betul bersedia untuk kembali ke sekolah biasa.
Tiada tajaan
Perjuangan PDM mendidik anak-anak disleksia bagaimanapun masih perlu dibiayai ibu bapa sendiri kerana tiadanya dana yang diperuntukkan buat persatuan itu.
Ibu bapa perlu membayar yuran pengajian sebanyak RM450 sebulan dan bagi mereka yang tidak berkemampuan, PDM akan membantu mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat.
“Setakat ini hanya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa badan korporat yang sudi menghulurkan bantuan kepada persatuan kami.
“Kami percaya ramai kanak-kanak disleksia di luar sana yang ingin menuntut ilmu di sini tetapi disebabkan sekatan kewangan, ibu bapa mereka terpaksa membantutkan hasrat tersebut.
“Diharapkan akan ada pihak-pihak tertentu yang sudi mengembalikan sinar harapan buat mereka agar dapat belajar secara percuma kelak,” ujar Sariah jujur.
Ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka yang mengalami disleksia ke pusat PDM bolehlah melayari www.dyslexiamalaysia.org.my dan menghubungi mana-mana pusat PDM yang berhampiran untuk keterangan lanjut.
Sumber : http : http://www.kosmo.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Sy jumpa blog ini pada tahun 2022..masih menggali ilmu untuk mengajar anak-anak Disleksia di sekolah..Salam dari Terengganu.Guru Disleksia SK Padang Hiliran.
BalasPadam