Sabtu, 24 Mac 2012

ISU KESIHATAN : Empat Elemen Diterapkan Hindar Penyakit Tidak Berjangkit


JITRA: Empat elemen utama perlu diterapkan kepada masyarakat Malaysia bagi menghindarkan mereka daripada terjebak dengan penyakit tidak berjangkit, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

"Dalam pelan stategik, kita menekankan bahawa kita perlu menerapkan empat elemen utama iaitu pemakanan yang sihat mengikut piramid makanan Malaysia, mengamalkan aktiviti fizikal, kempen menangani stres dan menghindarkan diri dari amalan negatif seperti merokok dan mengambil alkohol," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Cara Hidup Sihat dan Cergas di Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Mahsuri dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata trend masyarakat pada ketika ini lebih menjurus kepada pemakanan yang sihat dan aktiviti fizikal tetapi pada masa yang sama perlu diterapkan supaya masyarakat tidak mengambil alkohol dalam kehidupan seharian.

Katanya dalam perjalanan menuju ke arah negara maju pada tahun 2020, Malaysia berhadapan dengan cabaran penyakit dan itu adalah fenomena global yang bukan sahaja dialami oleh Malaysia tapi juga berlaku di negara-negara membangun yang lain.

"Ini bukan sahaja berlaku di negara kita tetapi di negara serantau. Jadiperkara ini adalah harga yang perlu kita jelaskan apabila kita menuju ke arahnegara maju," katanya.

Rosnah berkata dengan faktor negara yang sedang menuju ke arah negara maju,kadang-kadang masyarakat memilih jalan yang mudah seperti memilih makanan segeradalam kehidupan seharian, jadi bagi kementerian, kempen-kempen kesihatan harusdiadakan dan ia tidak boleh dijalankan secara bersendirian.

"Kempen-kempen ini bukan sahaja menjurus kepada sesetengah golongan sahajatetapi kita mulakan dari anak-anak kecil iaitu bermula di peringkat sekolahrendah dengan program doktor muda, di sekolah menengah dengan Kelab Prostar dan juga di peringkat universiti.

"Jadi kumpulan sasaran kita luas iaitu dari golongan kecil sehinggalah ke peringkat warga emas boleh kita libatkan untuk memastikan bahawa masyarakat faham bagaimana hendak membudayakan aktiviti cara hidup sihat ini," katanya.

Katanya setiap kempen kesihatan yang dilakukan, masyarakat bukan sahajaditerapkan dengan aspek pendidikan tetapi mereka turut dibudayakan dengan saringan pemeriksaan kesihatan memandangkan ancaman penyakit tidak berjangkit merupakan ancaman yang tidak boleh dipandang remeh.

"Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan 50 peratus kematian penduduk dunia adalah disebabkan penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, kencing manis, kanser, tekanan darah tinggi dan sebagainya dan disebabkan itu kementerian giat menjalankan kempen kepada masyarakat bagi menyedarkan mereka tentang bahayanya penyakit itu," katanya.-BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan