Isnin, 26 Mac 2012
ISU SOSIAL : Kawal tingkah laku anak agar tidak bertindak liar
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
Terap nilai kasih sayang dalam aktiviti keluarga
KITA dikejutkan dengan berita kehilangan ramai remaja perempuan sejak mutakhir ini. Kehilangan ini berpunca daripada kejadian culik atau sengaja lari dari rumah atas faktor marahkan keluarga atau mengikut teman lelaki yang hubungan mereka tidak direstui keluarga.
Kejadian ini seperti menggambarkan permasalahan akhlak dalam kalangan generasi muda hari ini agak membimbangkan. Individu yang sanggup merogol, menyeksa dan membunuh adik Nurul Nadira pada hakikatnya hanya berjasad manusia, tetapi hati dan jiwanya lebih jahat daripada binatang.
Ramai remaja kini terbabit dalam masalah moral dan akhlak rendah dengan begitu mudah melanggar peraturan dan undang-undang negara sedia ada dengan terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti merogol, membunuh, menagih dadah, mencuri, peras ugut serta menjadi ahli kongsi gelap.
Pada peringkat sekolah, menurut satu kajian yang pernah dibuat Kementerian Pelajaran pada 2004, hampir separuh kes pelanggaran disiplin yang berlaku berpunca daripada sikap pelajar itu sendiri seperti sentiasa bersifat menentang, bertindak mengikut perasaan, nakal, malas dan sebagainya.
Banyak pihak sudah menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai cara atau kaedah yang perlu diambil bagi membendung permasalahan ini. Namun begitu ada beberapa kaedah dan langkah yang diambil tidak langsung meninggalkan kesan. Kini, masyarakat semakin gusar dengan wujudnya kes culik, bunuh dan rogol dalam kalangan kanak-kanak bawah umur yang sedang hangat diperkatakan. Senario yang agak genting ini jika dibiarkan berterusan, pastinya akan membawa impak besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.
Dalam waktu kita bercakap mengenai strategi mencapai tahap negara maju seperti diimpikan dalam wawasan perdana, hakikatnya semua anggota masyarakat secara keseluruhannya turut memainkan peranan besar bagi menjana kemajuan tersebut seiringan dengan proses pembangunan rohani masyarakat, tugas ini jika ingin dilihat meninggalkan kesan yang terbaik, maka ia perlu dilakukan secara kolektif atau bersama.
Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia tertentu dan mengikut tahap keilmuan dimiliki seseorang individu.
Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)
Sesuai dengan situasi mengejar kemajuan yang begitu drastik mutakhir ini, maka amat wajar kesedaran daripada semua pihak perlu ditingkatkan memandangkan kemajuan yang dicita-citakan adalah tanggungjawab bersama. Justeru, tugas atau peranan membendung dan membanteras gejala sosial ini tentulah juga menjadi beban tanggungjawab yang harus dipikul bersama untuk menanganinya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada dinyatakan tanggungjawab setiap umat mukmin yang perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku depan mata sama ada dengan lidahnya, tangannya dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya menyatakan kebencian dan kejelekan terhadap maksiat dan kemungkaran yang berlaku itu.
Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama yang sedang dalam usia remaja, ibu bapa memainkan peranan cukup besar menentukan hala tuju dan arah hidup mereka seharian. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelak mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai jenis gejala sosial yang tidak langsung mendatangkan manfaat kepada diri mereka sendiri.
Bukan setakat mengawasi dan mengawal pergerakan mereka, ibu bapa juga perlu mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan dengan diiringi nilai kasih sayang yang berpanjangan. Anak memerlukan perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa. Justeru, jika ibu bapa dengan sengaja atau tidak mengabaikan tugasan berat lantaran terlalu sibuk mengejar kemajuan diri dan keluarga tanpa mempedulikan anak dan menyelesaikan permasalahan yang sering melanda anak remaja, siapakah yang harus dipersalahkan?
Kita bersyukur dengan beberapa tindakan dan langkah drastik yang diambil Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri untuk menyekat jenayah berat yang dikatakan banyak menyumbang ke arah gawatnya gejala sosial yang melanda negara.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, riwayat Ibnu Majah, baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara yang mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu.”
Justeru itu, semua anggota masyarakat perlu sama-sama berusaha memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah Taala sudah berpesan dalam kitab suci Al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa jua bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan. (maksud ayat 2, surah al-Maidah).
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan