Isnin, 26 Mac 2012
ISU PENGAJIAN TINGGI : Lepaskan penuntut ilmu daripada ikatan penghutang muda
Oleh : Azrina binti Sobian
BARU-BARU ini, penulis menyertai bengkel pengurusan wang dan hutang. Oleh itu, penulis mahu berkongsi perkara menarik yang mungkin boleh membuka mata kita mengenai hakikat kehidupan masa kini dan peranan yang boleh dimainkan umat Islam, atau lebih khusus, institusi sosioekonomi Islam dalam membantu meningkatkan mutu hidup umat Islam di negara ini.
Salah seorang peserta bengkel ini berkongsi pengalamannya yang menghadapi bebanan hutang, atau lebih khususnya, hutang pendidikan. Peserta itu melanjutkan pengajiannya di peringkat diploma di salah sebuah pusat pengajian tinggi negara. Oleh sebab dia datang dari keluarga yang tidak berada, maka dia tidak mempunyai pilihan selain memohon pinjaman pengajian dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membiayai pengajiannya.
Apabila pengajian tamat, dia dikehendaki membayar semula pinjaman. Dalam hal ini, jumlah yang perlu dibayar adalah RM60,000 dan apabila faedah dikenakan maka jumlah bayaran keseluruhan mencecah RM72,000! Ini merupakan satu jumlah yang sangat besar.
Ia merupakan satu hutang besar yang perlu ditanggung peserta itu yang usianya mungkin sekitar 23 hingga 25 tahun. Usia ini pastinya terlalu muda menanggung hutang sebanyak RM72,000 itu.
Berdasarkan kisah ini, kita semua pasti berasa simpati dengan nasib anak muda lepasan pusat pengajian tinggi kini yang sudah pun menanggung hutang tatkala tamat pengajian mereka. Jika dulu, graduan menerima bantuan pendidikan daripada kerajaan (misalnya melalui biasiswa JPA). Ketika itu, apabila tamat pengajian, mereka masih perlu membayar semula bantuan itu namun jumlahnya tidak banyak kerana bantuan asal telah mendapat diskaun berdasarkan keputusan peperiksaan.
Malah, ada di antara graduan yang tidak perlu membayar sesen pun kerana keputusan cemerlang. Bagi yang perlu membayar, jumlah pinjaman itu tidak dikenakan apa-apa kadar faedah. Namun, keadaan kini nyata berbeza.
Kisah yang dipaparkan tadi membawa kita kepada beberapa persoalan dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan. Merujuk kepada persoalan, kita tertanya-tanya, kenapa sistem bantuan pendidikan kini akhirnya menjadikan para graduan itu ‘penghutang muda’.
Kita mahu melihat malah menggalakkan anak-anak kita melanjutkan pengajian mereka. Namun, apabila tamat pengajian dan memperoleh ijazah yang belum tentu menjamin mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan – mereka pula perlu menanggung hutang untuk puluhan tahun kemudiannya.
Kasihan, itulah perkataan yang boleh menggambarkan nasib mereka ini! Untuk pengetahuan pembaca, dari pandangan hidup Islam, para pelajar boleh dikelaskan dalam golongan fisabilillah.
Fisabilillah lazimnya difahami sebagai golongan yang berjuang atau berperang di jalan Allah SWT. Bagaimanapun, ada segelintir fuqaha’ yang memberikan pengertian yang lebih luas terhadap makna fisabillah iaitu meliputi semua bentuk kebajikan yang dilakukan untuk meninggikan agama Allah SWT. Oleh itu, terdapat segolongan fuqaha’, misalnya segelintir dari mazhab Hanafi, yang mengkelaskan penuntut ilmu sebagai tergolong dalam kumpulan fisabilillah.
Ini kerana, matlamat menuntut ilmu itu boleh dikira sebagai satu fardu kifayah demi meninggikan agama. Dalam konteks ini, para penuntut ilmu atau pelajar, tidak kira dia kaya atau miskin, dianggap sebagai sebahagian daripada golongan fisabilillah.
Untuk pengetahuan pembaca, pemerintah mempunyai tanggungjawab tertentu untuk membantu golongan fisabilillah ini. Bantuan yang diberikan itu adalah dalam bentuk pemberian zakat. Zakat itu hendaklah digunakan bagi tujuan meneruskan usaha golongan fisabillah tadi dan memenuhi keperluan kehidupan yang umum. Sebagai contoh, bagi penuntut ilmu, wang zakat yang diterima hendaklah digunakan untuk menuntut ilmu kerana Allah SWT dan seterusnya bagi memenuhi keperluan umum penuntut ilmu itu.
Berdasarkan penjelasan di atas, maka para fisabillah pelajar ini perlu dibantu oleh pemerintah. Untuk itu, pelajar, tidak kira dalam kategori mana pun, perlu mendapat bantuan sepenuhnya daripada pemerintah untuk meneruskan pengajian mereka. Jika hal ini benar-benar boleh berlaku maka tidak akan timbul isu graduan menjadi penghutang muda.
Dengan itu, perlulah difikirkan kaedah bantuan oleh pemerintah kepada golongan pelajar ini. Jika bantuan secara percuma tidak mampu diberikan kepada semua pelajar maka perlulah difikirkan satu sistem bantuan pendidikan lain.
Dalam hal ini, sistem bantuan pendidikan itu hendaklah sistem yang mesra pelajar. Mesra bermaksud, tidak menzalimi. Namun begitu, jika sistem sudah wujud dan dilihat seperti ada yang tidak kena maka penilaian semula kepada sistem itu perlu dilakukan agar ia bebas dari menzalimi para graduan.
Dalam masa sama, apakah pula peranan institusi sosioekonomi Islam dalam hal ini? Untuk pengetahuan pembaca, institusi sosioekonomi Islam ini merujuk kepada pusat zakat, wakaf, baitulmal dan sebagainya. Seperti yang disebutkan tadi, tidak dapat dinafikan bahawa bantuan telah diberikan kepada beberapa golongan pelajar namun bantuan ini amat terhad.
Terhad yang dimaksudkan itu ialah ia tidak merangkumi semua pelajar. Namun, melihatkan keadaan graduan Muslim kini yang terpaksa meminjam dan kemudiannya menanggung hutang, maka tidakkah terfikir oleh mereka bantuan yang boleh diberikan untuk membantu golongan tersebut? Sesungguhnya, amat mulia jika kita dapat memberikan bantuan kepada penuntut ilmu untuk melanjutkan pengajian dan seterusnya mengelakkan beban hutang.
Kisah yang dipaparkan tadi juga memberikan kita beberapa pengajaran. Paling penting, sebagai ibu bapa masa kini, kita harus sedar bahawa jika mahu anak-anak melanjutkan pengajian, maka soal kos juga perlu dipertimbangkan, bukan semata-mata kursus apa yang hendak dipelajari.
Dalam hal ini, kos pendidikan akan sentiasa meningkat naik. Oleh itu, aspek tabungan perlulah diambil kira. Sedarkah kita bahawa masyarakat Melayu selalu dikaitkan dengan amalan menabung yang rendah? Tidak kira sama ada ini satu hakikat atau andaian, soal tabungan masa hadapan tidak boleh dipandang remeh.
Usaha membuat tabungan ini merupakan satu persediaan menghadapi sesuatu kemungkinan pada masa hadapan. Di dalam al-Quran, kisah Nabi Yusuf mentafsir mimpi Raja Mesir boleh dijadikan panduan. Nabi Yusuf a.s. menasihati sang Raja bercucuk tanam secara bersungguh-sungguh selama tujuh tahun bagi menghadapi tujuh tahun kemarau kemudiannya (Surah Yusuf, 12:47-49).
Kisah ini wujud bukan semata-mata untuk menunjukkan mukjizat Nabi Yusuf mentafsir mimpi tetapi kisah ini juga penting bagi membuktikan kepada kita bahawa aspek persediaan menghadapi sesuatu perubahan dalam hidup juga harus diberikan perhatian.
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan