Selasa, 27 Mac 2012
ISU SOSIAL : Anak lari ikut kekasih, ibu bapa makan hati
Oleh Noraini Razak
RAMAI yang marah-marah membaca kisah anak gadis bawah 15 tahun melarikan diri gara-gara mengikut kekasih. Marah sebab kehilangan mereka pada mulanya disangkakan diculik.
Boleh saja kita bayangkan betapa risau si ibu dan bapa gadis berkenaan apabila anak mereka tidak pulang ke rumah.
Perkara pertama terlintas di fikiran tentulah yang buruk-buruk. Lebih-lebih lagi statistik gadis hilang, diculik, dirogol dan dibunuh semakin bertambah. Hati ibu mana yang tidak risau.
Selepas 24 jam kehilangan, laporan polis dibuat kerana bimbang keselamatan si anak. Apabila laporan polis dibuat tentulah berita kehilangan si anak gempar di media cetak dan elektronik.
Selepas berita kehilangan dilaporkan, tiba-tiba anak yang hilang didapati melarikan diri. Bukan kerana masalah di rumah, bukan juga kerana didera jauh sekali tidak cukup makan. Anak gadis yang disangkakan hilang rupa-rupanya lari mengikut kekasih.
Apa perasaan ibu bapa? Apa pula perasaan masyarakat yang sebelum itu amat bersimpati dengan kejadian tersebut. Simpati melihat air mata ibu dan bapa meratapi kehilangan anak. Tentunya perasaan simpati bertukar marah apabila kehilangan tersebut rupanya ada kaitan dengan kisah cinta gadis bawah umur.
Gejala anak gadis lari dari rumah kerana cinta apatah lagi melibatkan teman lelaki yang berusia dan sudah berumah tangga memang membimbangkan. Sepatutnya lelaki dewasa menjadi pembimbing anak-anak gadis terutamanya yang boleh saja dikatakan hampir sebaya dengan anak mereka.
Belum masanya anak gadis berusia 15 tahun atau di bawah 18 tahun diheret ke alam percintaan yang indahnya hanya sementara. Tidak adil juga membiarkan mereka terjerumus ke alam angan-angan.
Pada usia tersebut anak-anak gadis sepatutnya memandang jauh, melihat masa depan yang gemilang dan bukannya membiarkan diri tenggelam dihanyutkan perasaan.
Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa gadis bawah usia 18 tahun sebenarnya masih lagi tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak. Mengapa kanak-kanak? Mungkin kerana pada usia tersebut anak-anak gadis memerlukan perlindungan, belaian kasih sayang keluarga dan perhatian yang bukan sedikit.
Bayangkan jika pada usia tersebut mereka masih tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak, di mana rasionalnya untuk kita membiarkan gadis sunti menyerahkan masa depan yang masih panjang kepada seorang lelaki seusia atau terlebih usia, sudah berkahwin dan kerja pun tidak seberapa.
Saya bersetuju dengan pandangan banyak pihak bahawa gadis bawah usia 18 tahun sering terkhilaf dalam membuat keputusan. Malah adakalanya apa yang mereka buat mendatangkan bencana pada diri sendiri.
Mereka tidak mampu menjangkakan kesan di sebalik keputusan yang dibuat. Baik gadis mahupun remaja lelaki bawah umur sebenarnya masih memerlukan bimbingan untuk memastikan jajaran otak mereka terdorong kepada perkara-perkara positif.
Sebab itu ada peruntukan undang-undang khusus untuk mereka supaya kehidupan mereka dapat dipandu agar tidak menyeleweng daripada jalan lurus yang sememangnya telah terbentang di hadapan mata.
Dalam hal remaja melarikan diri kerana cinta siapa sebenarnya yang mahu dipersalahkan? Adakah pengaruh filem, televisyen atau pentas hiburan yang semakin tipis batasnya?
Atau pun kegagalan membentuk jati diri menjadikan anak-anak muda bawah umur baik gadis mahu teruna mudah sahaja terjerumus ke lembah hitam. Mahu disalahkan ibu bapa, atau pihak sekolah atau pemerintah?
Dalam banyak kes, gadis yang melarikan diri tidak semuanya dilahirkan dalam keluarga bermasalah. Ada yang dibelai, diasuh supaya berbudi pekerti, namun akhirnya tewas. Justeru soal siapa salah tidak seharusnya berbangkit sebaliknya jalan penyelesaian yang mesti dicari.
Terkandung di bawah akta yang sama bahawa anak gadis dan teruna yang bertindak sehingga boleh merosakkan diri sendiri mesti dibawa ke mahkamah dan dirujuk ke pusat penjagaan sementara.
Justeru, mungkin ibu bapa mesti diberi penjelasan dan penerangan bahawa dalam keadaan anak-anak tidak mahu mendengar kata kerana terlalu asyik bercinta, maka mahirkan mereka dengan Akta Kanak-kanak.
Biar mereka tahu apa yang boleh dilakukan jika anak-anak terus enggan mendengar kata. Jika anak kembali ke rumah kemudian lari lagi mengikut kekasih maka laksanakan apa yang terkandung di dalam akta tersebut.
Maklumkan kepada anak-anak bahawa mereka mungkin boleh ditempatkan di rumah perlindungan untuk lebih dididik dan diasuh, jika asuhan ibu bapa tidak dihiraukan.
Bagi ibu bapa, jangan malu berkongsi beban atau masalah. Membiarkan masalah terlalu lama akan berakhir dengan padah termasuk anak lari mengikut kekasih.
Kita sentiasa simpati kepada ibu bapa yang kehilangan anak, terutamanya dalam kes yang tidak `tulen’ iaitu mengikut kekasih hati.
Sesungguhnya ibu bapa lebih mengetahui gejolak hati anak gadis atau anak teruna mereka. Jika sekilas ikan di air boleh ditentukan jantan atau betina, maka tidak sukar untuk ibu bapa mengetahui sama ada anak mereka melarikan diri kerana cinta, didera ataupun diculik.
Naluri keibuan sangat sensitif untuk menyimpulkan apa sebenarnya yang menimpa anak mereka.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan